Ketika rumah tidak lagi selamat untuk wanita

Ruang yang selama ini disangka selamat, rupa-rupanya adalah ruang yang paling bahaya untuk wanita. Pada ketika semua berharap rumah adalah pertahanan terakhir wanita, ia menjadi medan pembantaian nombor satu.

Kes keganasan terhadap wanita di dalam rumah semakin meningkat sejak pandemik covid 19. Langkah membendung penyebaran virus dengan mewajibkan tinggal di rumah, membawa bencana baru.

Statistik menunjukkan penderaan rumah tangga meningkat di semua negara yang ‘lock down’, dari 10 peratus sehingga 33 peratus. Di seluruh dunia termasuk Malaysia. Angka peratusan semakin meningkat sekiranya di kota-kota besar yang kebanyakan rumah mereka sudah sedia sempit, seperti rumah flat.

Untuk yang mempunyai suami ataupun ayah yang penyayang, ‘lock down’ adalah satu kebahagian. Namun untuk yang punyai suami yang sudah dibuang kerja, yang sudah tidak tahu daripada mana mendapatkan wang, tekanan akan menyebabkan wanita menjadi pelepas geram.

Apatah lagi sekiranya sebelum ini memang lelaki yang tinggal di rumah itu seorang yang panas baran, pemabuk, dan tidak punya kasih sayang. Kesannya berganda-ganda.

Wanita perlu dilindungi daripada keganasan ini, tetapi bagaimana? Bagaimana mahu melindungi sesuatu yang pada mata ‘sudah terlindungi’, tinggal di rumah bersama keluarga?

Berani membuat laporan kepada pihak berkuasa adalah langkah pertama. Memang seeloknya ia bermula daripada diri wanita itu sendiri. Mereka perlu berani berkata tidak kepada kekerasan. Sekiranya tidak, bukan sahaja mereka yang akan menjadi mangsa, malah anak-anak akan turut terlibat.

Namun, tidak semua punya keberanian itu. Di sinilah peranan jiran-jiran yang baik hati. Sekiranya nampak apa sahaja yang mencurigakan, jangan terus bersangka baik. Simpan sedikit rasa curiga. Pepatah jaga tepi kain sendiri tidak sesuai dalam keadaan begini, keadaan di mana kita ragu-ragu dengan keselamatan jiran kita. Ia hanya sesuai untuk keadaan sekiranya kita berasa cemburu dengan kebahagian dia.

Tindakan awal yang pantas juga perlu dilakukan. Datang memberikan nasihat kepada ‘lelaki ganas’ bukan lagi satu pilihan utama. Wanita ini tadi perlu dipindahkan segera sama ada ke pangkuan keluarga, ataupun pusat perlindungan wanita yang memang sudah sedia kurang. Ia perlu ditambah dan diperbaiki.

Untuk semua itu, peranan kerajaan dan masyarakat sangat penting. Kementerian terbabit perlu meningkatkan kempen ke akar umbi. Bukan sekadar poster di media sosial dan iklan di televisyen. Agak ironi iklan keganasan rumah tangga tertayang ketika wanita sedang ‘dibantai’ oleh yang ‘tersayang’.

Statistik sedia ada sudah menunjukkan, keganasan sangat banyak berlaku di ruang-ruang rumah yang sempit. Para pegawai perlu turun padang. Bermesyuarat dengan ahli jawatankuasa kawasan. Beri mereka latihan dan pelan tindakan susulan. Jadi semua pihak tahu apa peranan mereka.

Ini baru tentang keganasan di dalam rumah, dan belum menyentuh tentang keganasan lain terhadap wanita. Tetapi inilah yang sangat kritikal dalam keadaan semasa.

Keganasan terhadap wanita tidak akan mampu dihapuskan, sekiranya hanya berharap ayah ataupun suami untuk melindungi mereka. Tidak semua wanita beruntung. Ia hanya boleh dihapuskan sekiranya, masyarakat sekitar berkongsi tanggungjawab itu sekali. Ini tugas kita semua, melindungi wanita yang tidak berdaya.

Mohamad Bahruddin bin Mohamad Bekri

Ahli Penawan (Pertubuhan Penulis Isu-isu Wanita Nasioanal)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *