Apa itu Fasakh?
Fasakh ialah salah satu cara pembubaran ikatan perkahwinan di dalam Islam. Menurut bahasa, fasakh bermaksud rosak atau putus. Dari segi syarak pula, fasakh ialah melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dengan isteri melalui kuasa yang ada pada hakim atau kadi, atas sebab-sebab dan alasan-alasan yang dibenarkan oleh syarak. Ia adalah proses membubarkan sesuatu perkahwinan melalui perintah mahkamah atas sebab atau alasan tertentu, mesti ada alasan yang munasabah di dalam tuntutan fasakh yang perlu dibuktikan bagi meleraikan sesuatu perkahwinan.
Siapa yang boleh membuat tuntutan Fasakh?
Suami atau isteri boleh memfailkan fasakh di mahkamah, tetapi jarang suami yang menuntut kerana suami mempunyai kuasa talak. Isteri pula tiada kuasa talak, maka isteri mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan melalui tuntutan fasakh.
Siapa yang mempunyai kuasa untuk membubarkan sesuatu perkahwinan melalui fasakh?
Hakim di mahkamah sahaja yang mempunyai kuasa untuk memfasakhkan sesuatu perkahwinan, atas permohonan isteri atau suami.
Apakah prosedur dalam membuat tuntutan fasakh?Amat dinasihatkan untuk melantik mana-mana peguam atau Biro Bantuan Guaman di dalam membuat suatu tuntutan fasakh kerana ia akan memudahkan perjalanan tuntutan fasakh tetapi pihak-pihak boleh memilih untuk memfailkan tuntutan sendiri. Pihak-pihak hendaklah pergi ke Mahkamah yang berkenaan, pergi ke kaunter dan isi borang fasakh yang disediakan dan tulis alasan kenapa hendak membuat tuntutan fasakh, terangkan dengan mendalam(in detail). Tulis betul-betul satu persatu. Kebiasaan pihak-pihak menulis tiada persefahaman, ini adalah alasan yang tidak kuat dan sukar dibuktikan, maka perlu kepada alasan yang munasabah yang boleh dibuktikan dengan tepat seperti yang ada di dalam seksyen di bawah Akta Keluarga Islam negeri-negeri. Ini amat penting kerana apa yang tidak ditulis di dalam pliding atau permohonan tidak boleh ditimbulkan semasa proses perbicaraan kelak. Pihak yang menuntut tidak perlu risau kerana kebiasaannya pihak mahkamah akan membantu dalam proses mengisi borang tersebut.
Apakah sebab-sebab yang membolehkan tuntutan fasakh dilakukan?
Setiap negeri mempunyai undang-undang keluarga Islam tersendiri, menurut seksyen 52 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, terdapat beberapa sebab yang membolehkan seseorang itu membuat permohonan fasakh.
Sebab-sebab yang membolehkan fasakh ialah :-
1. Tempat suami berada tidak diketahui selama lebih daripada satu tahun;
2. Suami tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah selama tiga bulan;
3. Suami dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih;
4. Suami tidak menunaikan kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun.
5. Suami mati pucuk masa berkahwin hingga sekarang dan ini tidak diketahui puan;
6. Suami telah gila selama dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta, vitiligo atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit;
7. Jika perempuan dikahwinkan oleh wali mujbir perempuan sebelum baligh, perempuan masih belum disetubuhi suami dan masih belum mencapai umur 18 tahun, kini menolak perkahwinan itu.
Bagaimanapun permohonan cerai fasakh tertakluk oleh mahkamah dan mahkamah berhak menolak sekiranya mendapati bahawa kesahihan alasan tersebut tidak terbukti. Cara-cara hendak membuktikan alasan yang diberikan Hakim yang mendengar tuntutan fasakh tersebut tidak dapat membuat keputusan yang baik jika tiada pembuktian yang tepat oleh pihak yang menuntut. Di dalam Mahkamah Syariah, pembuktian memerlukan kepada Syahadah iaitu keterangan saksi yang kompeten. Ini sangat penting dalam membuktikan alasan menuntut fasakh tersebut. Selain mengemukakan saksi, bahan pembuktian lain termasuk dokumen, penyata akaun, gambar, SMS, resit-resit perbelanjaan yang digunakan dan lain-lain adalah antara bahan pembuktian yang akan dibicarakan di mahkamah.
Di dalam kes suami yang tidak pulang ke rumah setelah sekian lama, kebiasaanya bicara akan diadakan sebelah pihak oleh mahkamah. Isteri akan failkan tuntutan fasakh di mahkamah dan mahkamah akan minta alamat terakhir suami yang diketahui isteri, kemudian meminta agar saman dihantar ke alamat tersebut untuk menghadiri prosiding di mahkamah. Jika usaha itu gagal, maka mahkamah akan meminta membuat serahan secara gantian, iaitu menampal saman di alamat terakhir atau papan notis mahkamah atau diiklankan di suratkhabar. Kemudian pihak mahkamah akan menjalankan perbicaraan secara sebelah pihak, tanpa kehadiran suami. Di sini ahli keluarga akan dipanggil menjadi saksi dalam memberi keterangan mengenai kehilangan suami tersebut. Mahkamah boleh membuat keputusan membubarkan perkahwinan tersebut walaupun suami tidak hadir ke mahkamah.
Apakah kesan tuntutan Fasakh?
Pembubaran perkahwinan secara Fasakh adalah Ba’in Sughra, bermaksud setelah mahkamah memutuskan pembubaran perkahwinan tersebut, ia tidak boleh dirujuk kembali melainkan dengan akad nikah yang baru.
Dipetik oleh: FB RAA & Associates
Disediakan oleh: Munibah Mohd Azraai (Tetuan Marzila & Munibah)