Hadanah (Bhg. 2)

Apakah kelayakan bagi membolehkan seseorang diberi hak hadanah?

Seksyen 82, [Akta 303] memperuntukkan bahawa syarat-syarat menjadi hadinah ialah:

(a) dia seorang beragama Islam;

(b) dia seorang baligh dan sempurna akalnya;

(c) umur yang melayakkan dia memberikan kanak-kanak itu kasih sayang dan pendidikan yang sempurna;

(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah. Seseorang yang terkenal dengan kefasikannya seperti penzina, pencuri, peminum arak, penjudi dan seumpamanya tidak harus mengendalikan hadanah anak-anak;

(e) dia tinggal di tempat kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Apakah perkara-perkara yang boleh menggugurkan hak seseorang terhadap hadanah?

Umumnya, seseorang ibu adalah berhak untuk mendapat penjagaan anak yang masih kecil yang belum mencapai umur mumaiyiz. Namun begitu hak tersebut akan gugur –

(a) jika perempuan itu berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu dan lelaki tersebut bukan muhrim dengan kanak-kanak itu;

(b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;

(c) jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;

(d) jika perempuan itu murtad;

(e) jika perempuan itu cuai atau menganiaya kanak-kanak itu.

Berapa lamakah tempoh hadanah?

Mengikut undang-undang, Seksyen 84(1) [Akta 303] memperuntukkan bahawa tempoh hadanah tamat setelah kanak-kanak mencapai umur mumaiyiz, iaitu tujuh tahun untuk kanak-kanak lelaki dan sembilan tahun untuk kanak-kanak perempuan. Setelah tamatnya hak hadanah, jagaan adalah turun kepada bapa dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah Syariah memerintahkan selainnya.

Siapakah yang berhak ke atas anak yang tak sah taraf?

Hak penjagaan terhadap anak yang tak sah taraf adalah pada ibu atau saudara-mara ibu.

Bagaimanakah hendak memfailkan hadhanah di Mahkamah Syariah?

Failkan kes di Mahkamah Tinggi Syariah di mana kita bermastautin atau dapatkan khidmat guaman daripada Peguam Syarie di Biro Bantuan Guaman atau swasta.

Apakah perkara-perkara yang perlu diambil tindakan bagi membolehkan Jabatan Bantuan Guaman memberi bantuan untuk tuntutan hadanah?

Setiap pemohon yang ingin mendapat khidmat Jabatan Bantuan Guaman perlu mengemukakan dokumen atau butir yang berikut:

  1. Butir-butir Perkahwinan

(a) Surat Nikah Asal/Surat Cerai;

(b) Sijil Kelahiran Anak-anak.

  1. Butir-butir Pihak Kena Tuntut

(a) Nama/alamat/pekerjaan suami/isteri;

(b) Nama/alamat majikan suami/isteri.

  1. Laporan-laporan berkaitan

(a) Runding cara;

(b) Laporan perubatan;

(c) Laporan Polis;

(d) Saksi;

(e) Penyata gaji suami/isteri;

(f) Perakuan daripada majikan suami/ isteri;

(g) Penyata KWSP suami/isteri;

(h) Bukti berhubung dengan pertukaran alamat;

(i) Dokumen-dokumen sokongan lain yang berkaitan, jika ada.

Dipetik daripada Jabatan Bantuan Guaman & Akta 303

Disediakan oleh Munibah Azraai, Peguambela & Peguamcara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *