Laporan Ringkas Kajian: Tahap Pengetahuan, Sikap dan Amalan Terhadap Isu Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Kalangan Dewasa di Malaysia

Laporan Ringkas Kajian: Tahap Pengetahuan, Sikap dan Amalan Terhadap Isu Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Kalangan Dewasa di Malaysia

Isu perlindungan kanak-kanak masih kurang mendapat perhatian masyarakat (United Nations Children’s Fund, 2014; Mohammad Ramzi, 2015; Dahake et. al. 2018) dan komuniti setempat secara umumnya walaupun golongan ini merupakan golongan yang perlu dilindungi sepanjang masa.

Setiap saat kanak-kanak menjadi mangsa orang dewasa samada ibubapa, penjaga ataupun dewasa lain yang mana sepatutnya memberikan perlindungan dari segenap aspek kehidupan (Mohammad Ramzi, 2015; Dahake et. al. 2018). Hal ini kerana kanak-kanak merupakan generasi pelapis yang akan membangunan sesebuah negara.

Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak merujuk kepada individu yang berusia di bawah 18 tahun (Abas, 2012; Jabatan Kebajikan Masyarakat, 2021). Beberapa istilah penting:

Perlindungan kanak-kanak merujuk kepada strategi pencegahan dan intervensi bagi membendung kes-kes penderaan, pengabaian, eksploitasi dan keganasan dalam kalangan kanakkanak di bawah 18 tahun (Abas, 2012; Jabatan Kebajikan Masyarakat, 2021).

Pengabaian kanak-kanak adalah kegagalan untuk memberikan dan menyediakan semua keperluan asas seperti keperluan nutrisi, kesihatan, fisikal, rumah, emosi, pendidikan, psikologi untuk kanak-kanak. Malah kegagalan ini dapat memberikan ancaman kepada kehidupan kanakkanak (Abas 2012; Jabatan Kebajikan Masyarakat, 2021).

Penderaan kanak-kanak merupakan tindakan pencabulan terhadap hak individu kanak-kanak untuk terus hidup dan berkembang secara sihat dan bermaruah. Ini termasuk penderaan seksual, fizikal dan emosi dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun (Abas 2012; Jabatan Kebajikan Masyarakat, 2021).

Terdapat jurang yang besar terhadap tahap pengetahuan, sikap dan amalan dalam kalangan masyarakat (United Nations Children’s Fund, 2014; Dahake et. al. 2018) dan komuniti setempat berkenaan isu perlindungan kanak-kanak di Malaysia.

Atas dasar itu, penyelidikan ini dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap pengetahuan, sikap dan amalan orang dewasa terhadap isu-isu perlindungan kanak-kanak di Malaysia terutama berkaitan dengan isu-isu penderaan dan pengabaian.

Justeru itu, laporan penyelidikan ini secara ringkasnya menyediakan maklumat demografi dan statistik secara deskriptif sahaja. Soalan kajian dalam talian yang telah dilaksanakan ini menggunakan data seramai 1148 responden dari seluruh negara pada 2021 dalam kalangan dewasa yang mempunyai pelbagai tahap pendidikan, jantina, bangsa, umur dan negeri. Soal selidik Pengetahuan, Sikap dan Amalan telah digunakan dalam kajian ini. Semua responden kajian yang terlibat adalah secara sukarela dan boleh menarik diri pada bila-bila masa.

Pengelidikan dan laporan ini merupakan hasil kolaborasi antara Wanita IKRAM Malaysia bersama Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Prof. Madya Dr. Zaharah Sulaiman (Universiti Sains Malaysia)

MUAT TURUN KAJIAN DI SINI:

Kajian Tahap Pengetahuan, Sikap dan Amalan Terhadap Isu Perlindungan Kanak – Kanak Dalam Kalangan Dewasa di Malaysia

Projek SALAM : Eksplorasi Suara Anak-Anak Malaysia

Projek SALAM : Eksplorasi Suara Anak-Anak Malaysia

Projek SALAM : Eksplorasi Suara Anak-Anak Malaysia

Projek SALAM Wanita IKRAM 2024
Selangor, 22 Septembar 2024 – Projek Sayangi Anak Malaysia (SALAM) telah dilancarkan pada 22 September 2024 oleh Wanita IKRAM dan disokong oleh IKRAM Lembah Jaya (IKRAM LJ) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kerjasama dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Pangsapuri Taman Ampang Mewah juga memainkan peranan penting dalam memastikan penglibatan komuniti setempat.
 
Projek SALAM ini diusahakan dengan matlamat untuk mengumpul suara dan pandangan anak-anak Malaysia mengenai ruang komuniti yang sedang dalam proses pembangunan. Inisiatif ini melibatkan 70 kanak-kanak dari pelbagai latar belakang yang memberikan pendapat dan idea mereka tentang keperluan dan harapan untuk ruang tersebut.

Projek ini juga melibatkan kutipan dana melalui permainan interaktif bernama Explorace, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan penyertaan masyarakat terhadap isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan komuniti. Peserta permainan berpeluang untuk menyumbang sambil menikmati pengalaman yang mendidik dan menyeronokkan.

Projek SALAM bukan sahaja berfungsi sebagai platform untuk mendengar suara anak-anak, tetapi juga sebagai langkah proaktif dalam merancang dan membangunkan ruang yang lebih inklusif dan sesuai untuk generasi akan datang. Diharapkan, hasil daripada inisiatif ini akan membawa kepada pembangunan ruang yang lebih responsif terhadap keperluan masyarakat.
 
Dengan semangat kolaborasi dan inovasi, Projek SALAM berusaha untuk memberikan platform yang adil dan saksama bagi anak-anak Malaysia, memastikan bahawa mereka tidak hanya menjadi pemerhati dalam proses pembangunan, tetapi juga sebagai penggerak utama dalam membentuk masa depan komuniti mereka.

Sekitar Projek SALAM di Pangsapuri Taman Ampang Mewah

Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kanak-kanak 2023

Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kanak-kanak 2023

Sambutan-Hari-kanak2-2023 wanita ikram

Pada 20 Nov, sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, telah berlangsung secara ‘online’ Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kanak-kanak 2021 anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia, Wanita IKRAM Malaysia, SALAM dan KIND.

Antara acara yang telah dijalankan adalah:

1. Pelancaran Sambutan Hari Kanak-kanak

2. Pemasyhuran Pertandingan Pidato Piala Ketua Wanita IKRAM

3. Forum Sayangi dan Lindungi Anak-anak Malaysia

Ahli Panel termasuk:

1. Dr. Alizi Alias – Pengerusi Psikospiritual IKRAM (PSI) & Ahli Psikologi Organisasi

2. Pn. Dzilal Abdul Aziz – Pengurus, Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (TERATAI) & Kaunselor Berdaftar

Analisis terhadap Statistik Kanak-Kanak yang Memerlukan Pemeliharaan & Perlindungan Kanak-Kanak di Malaysia

Analisis terhadap Statistik Kanak-Kanak yang Memerlukan Pemeliharaan & Perlindungan Kanak-Kanak di Malaysia

Pendahuluan

Kanak-kanak merupakan aset terpenting kepada pembentukan generasi dan pemimpin masa depan  sesebuah negara. Namun mereka berkemungkinan menjadi liabiliti jika kita gagal memberi perhatian sewajarnya terhadap permasalahan yang mereka hadapi. Isu berkaitan kanak-kanak tidak akan pernah berakhir, sebaliknya menuntut kesedaran, komitmen secara kolektif dan kolaborasi daripada banyak pihak untuk menambah baik ekosistem yang melingkungi golongan ini.

Laporan ini bertujuan untuk menghimpun dan membuat beberapa analisis khusus berkaitan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di Malaysia. Data-data ini diperolehi daripada Laporan Buku Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diterbitkan setiap tahun. Analisis dan rumusan yang dibuat adalah berdasarkan data yang diterbitkan dari tahun 2009 hingga 2018. Justeru itu diharapkan, analisis ini dapat membantu Wanita IKRAM Malaysia merangka aktiviti advokasi kanak-kanak dengan lebih terfokus.

Kami berdoa semoga Allah memberikan jalan keluar dan petunjuk untuk kita menjalankan usaha pembelaan dan advokasi kanak-kanak, bagi memastikan hak dan kepentingan mereka terus dilindungi.

“analisis ini dapat membantu Wanita IKRAM Malaysia merangka aktiviti advokasi kanak-kanak dengan lebih terfokus”

Data 10 Tahun

Saban tahun data kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mencatatkan angka yang tinggi. Statistik tahun 2018 melaporkan sebanyak 6,274 kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan (Carta 1). Ini bermaksud bagi setiap 1jam 20 minit, seorang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

“bagi setiap 1 jam 20 minit, seorang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.”

Carta 1 juga menunjukkan trend bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan telah meningkat dari tahun ke tahun untuk tempoh selama 10 tahun. Secara purata, kadar peningkatan ini adalah sebanyak 10% setahun dengan peningkatan tertinggi pada tahun 2010 sebanyak 17% diikuti tahun  2018 sebanyak 13%. Ternyata peningkatan ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Populasi kanak-kanak berumur bawah 18 tahun menunjukkan trend yang menurun dari tahun 2010 hingga 2018 yang membabitkan penurunan sebanyak 5%. (JKM, 2016). Data ini juga sejajar dengan data yang diterbitkan oleh Bank Dunia yang menunjukkan kadar kesuburan wanita di Malaysia menurun dari 2.17 pada tahun 2009 kepada 2.00 pada tahun 2018. (The World Bank, 2018)


Carta 1: Statistik Kanak-Kanak Memerlukan Pemeliharaan dan Perlindungan 2009 – 2018.

Talian kasih

Secara umumnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan 11 kategori perujuk bagi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Kategori perujuk ini merangkumi Hospital Kerajaan, Orang Awam, Talian Kasih, Ahli Keluarga, Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKMD), Sekolah, Tadika, Media, Polis, Pengamal Perubatan Swasta dan Lain-Lain (termasuk RKK, NGO, Kaunseling, Surat dan Mahkamah Tinggi).

Carta 2  menunjukkan peratusan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mengikut Kategori Perujuk dari tahun 2016-2018. Hospital Kerajaan merekodkan rujukan kes tertinggi, diikuti orang awam, Talian Kasih dan ahli keluarga.


Carta 2: Statistik Kanak-Kanak Memerlukan Pemeliharaan dan Perlindungan 2016 – 2018:           Kategori Perujuk

Dapatan ini menunjukkan trend yang membimbangkan bagi tempoh selama 3 tahun terakhir ( sehingga 2018), apabila hospital kerajaan mencatatkan rujukan melebihi 50% kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Intervensi awal yang lemah dari kalangan ahli keluarga dan orang awam bermungkinan menjadi faktor utama hospital kerajaan merekodkan rujukan kes tertinggi ini. Rujukan ini hanya dibuat selepas berlakunya konsekuensi yang lebih buruk melibatkan kecederaan fizikal, emosi dan seksual terhadap kanak-kanak terbabit.

“hospital kerajaan mencatatkan rujukan melebihi 50% kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan”

Talian Kasih yang dilancarkan semenjak 2015 ternyata hanya merekodkan secara purata 5% ke 6% rujukan bagi kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

Terdahulu dari itu, Talian Kasih dikenali sebagai Talian Nur yang mempunyai perkhidmatan Childline (2011,) sebelum ianya ditukar kepada Talian Teledera dan  dijenamakan semula kepada Talian Kasih.

Keberkesanan talian ini harus dikaji dengan lebih terperinci terutama dari sudut pemasaran, dan penggunaannya yang lebih mesra pemanggil terutama di kalangan kanak-kanak.

Data Mengikut Negeri

Data 5 tahun berturut-turut (2014-2018) menunjukkan Negeri Selangor terus merekodkan angka tertinggi kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah, Sabah dan Negeri Sembilan. (Carta 3)


Carta 3: Statistik Kanak-Kanak Memerlukan Pemeliharaan & Perlindungan 2014-2018:  Mengikut Negeri

Namun jika angka ini dinormalisasikan kepada jumlah populasi kanak-kanak mengikut negeri, WP Kuala Lumpur mencatatkan kadar tertinggi iaitu 2.7 bagi setiap 1000 kanak-kanak. Ini diikuti oleh Negeri Sembilan, WP Putrajaya, dan Selangor. (Carta 4)

“WP Kuala Lumpur mencatatkan kadar tertinggi iaitu 2.7 bagi setiap 1000 kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan”


Carta 4:  Kanak-Kanak Memerlukan Pemeliharaan dan Perlindungan 2018 – berdasarkan kepadatan populasi kanak-kanak mengikut negeri.

Analisis ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak di kawasan bandar (urban) lebih terdedah kepada penderaan, pengabaian, keganasan dan eksploitasi apabila enam negeri yang mencatatkan kadar tertinggi merupakan negeri yang lebih berkepadatan penduduk di kawasan bandar dan terletak di pantai barat. Pembangunan dan migrasi penduduk ke bandar ternyata memberi kesan yang membimbangkan terhadap keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.

Dialog Profesion Kerja Sosial “Melindungi Kanak-Kanak: Era Digital”

Dialog Profesion Kerja Sosial “Melindungi Kanak-Kanak: Era Digital”

Kanak-kanak di era digital kini lebih mudah terdedah dengan pengaruh yang tidak baik dan memerlukan akta yang boleh melindungi mereka seperti akta Kanak-kanak 2001 atau akta 611 dan akta ini merangkumi  pemeliharaan, perlindungan, pemulihan, penyertaan dan perkembangan kanak-kanak.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Encik Mohamad Ali Taib berkata, statistik bilangan kanak-kanak di Malaysia sehingga Disember 2021 iaitu sebanyak 4.71 juta adalah kanak-kanak lelaki dan 4.42 juta kanak-kanak perempuan.

“Walaubagaimanapun, peranan JKM sahaja tidak cukup bagi membantu kanak-kanak yang terjebak dengan jenayah tidak kira mangsa atau pelakunya kerana isu ini memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak seperti pegawai akhlak, pekerja sosial, pembantu pelindung dan pekerja kesihatan bagi memastikan kesejahteraan perkembangan serta perlindungan kanak-kanak ini,” demikian kata Mohamad Ali, dalam sesi Dialog Profesion Kerja Sosial “Melindungi Kanak-Kanak: Era Digital” anjuran Institut Sosial Malaysia dan Persatuan Pekerja Sosial Malaysia,  bertempat di Auditorium Institut Sosial Malaysia (ISM) yang diadakan secara dalam talian pada 20 Julai 2022, yang mana Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia berpeluang menghadirinya.

Terdapat Undang-Undang am dan khas

Sesi diteruskan dengan perkongsian Penolong Setiausaha (Advokasi & Undang-Undang, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, SUHAKAM) YBrs. Sitti Najihah Md Rusli, yang menjelaskan bahawa terdapat undang-undang am dan khas yang diwujudkan bagi melindungi kanak-kanak daripada jenayah amang seksual, pornografi, buli siber serta hacking.

“Sebanyak 47% daripada pengguna internet adalah kanak-kanak berusia 5-17 tahun, 70% mangsa pornografi kanak-kanak adalah berusia dari 11-13 tahun termasuk kanak-kanak lelaki dan 164 laporan jenayah pornografi kanak-kanak diterima dari Malaysia,” ujarnya yang mengejutkan para peserta.

Beliau turut menggalakkan masyarakat untuk menjadi lebih prihatin dan membuat aduan melalui laman web rasmi SUHAKAM jika melihat hak asasi kanak-kanak dicabul.

Jenayah seksual kanak-kanak adalah isu global

Seterusnya, sesi dirancakkan lagi dengan perkongsian oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, PDRM Bukit Aman, ACP Siti Kamsiah Hassan.

“Sebanyak 70% jenayah seksual melibatkan kanak-kanak perempuan dan keselamatan kanak-kanak di era digital ini merupakan isu global.”

Menurutnya, antara faktor yang mempengaruhi kanak-kanak untuk terjebak dengan jenayah child pornography, child grooming dan sextortion adalah berdasarkan aktiviti peer-to-peer seperti gaming, pengaruh media sosial dan penggunaan aplikasi digital tanpa pengawasan dan pemerhatian daripada kedua ibu bapa.”

“Namun, harus difahami bahawa kanak-kanak ini merupakan mangsa kerana ciri-ciri pemangsa selalunya merupakan orang yang mempunyai kedudukan, kuasa, diberi amanah dan dikenali seperti bapa, warden, pendakwah, paderi dan sebagainya.”

Selain itu, beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak menyebarluaskan gambar kanak-kanak yang merupakan mangsa kerana ia akan memberikan kesan terhadap psikologi mangsa dan masa depannya.

Kanak-kanak mempunyai hak menggunakan media

“Dalam era digital kini, kanak-kanak mempunyai hak untuk menggunakan media digital bagi mendapatkan maklumat, pendidikan dan penyertaan. Namun tidak dinafikan bahawa mereka juga berisiko tinggi untuk terdedah dengan kandungan media yang tidak sesuai dan dihubungi oleh pemangsa jika mereka terlampau banyak berkongsi tentang diri mereka,” jelas Timbalan Pengarah, Program Komuniti, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) En. Ts. Md Tahir Musa.

Selain itu, beliau menyarankan ibu bapa agar memainkan peranan dengan lebih aktif dan celik siber supaya dapat memantau aktiviti anak mereka dalam dunia digital dengan menggunakan perisian keselamatan penapisan tambahan, mengelakkan daripada berkongsi tentang profiling kanak-kanak (seperti makanan kegemaran anak dan sebagainya) juga mendidik kanak-kanak tentang perkara yang boleh serta tidak boleh dikongsikan dalam media sosial. 

Menurut Pengarah Childline Foundation YBhg. Datin Wong Poai Hong pula, setiap 1 daripada 3 kanak-kanak menggunakan internet, 92% kanak-kanak berusia dari 13-17 mempunyai akaun di media sosial dan 2 daripada 5 kanak-kanak mempunyai pengalaman buruk dengan internet.

“Dalam konteks buli siber, Malaysia merupakan negara ke-2 tertinggi selepas India di Asia Tenggara yang memberikan kesan negatif terhadap kanak-kanak yang berusia dari 11-13 tahun,” ujarnya mendedahkan tentang penggunaan singkatan perkataan dalam kalangan kanak-kanak supaya ibu bapa lebih cakna terhadap aktiviti anak mereka.

Enam Strategi keselamatan dan kesejahteraan

Beliau turut berkongsi 6 strategi yang boleh digunakan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak iaitu:

1) Mendidik kanak-kanak untuk memahami dunia digital dan cara untuk melindungi maklumat peribadi mereka

2) Menggunakan perisian keselamatan bagi peranti yang digunakan

3) Membina kemahiran mendengar secara aktif semasa berbual dengan anak

4) Melayan anak dengan baik dan penuh hormat

5) Mendidik anak untuk berfikir secara kritikal dalam membuat keputusan yang terbaik dan

6) Meminta bantuan jika menghadapi sebarang masalah. 

Memberikan sokongan kepada mangsa

Dalam sesi tersebut, Pengurus Perkhidmatan, Pusat Perkhidmatan Wanita (WCC) YBrs. Puan Mangleswary Subramaniam pula menerangkan tentang perkhidmatan yang mereka sediakan bagi membantu wanita dan kanak-kanak dalam memperkasakan hak serta melindungi mereka daripada sebarang bentuk keganasan dan ketidakadilan.

“Antaranya, kami menyediakan perkhidmatan kaunseling secara percuma dan tempat perlindungan bagi wanita serta kanak-kanak yang sedang berada dalam krisis,” kata Mangleswary.

Jelasnya lagi, WCC juga bekerjasama dengan hospital kerajaan dan memberikan sokongan mahkamah kepada mangsa, membuat kolaborasi dengan komuniti untuk mendidik kanak-kanak tentang penderaan seksual dan pencegahan keganasan siber dan sebagainya. 

Sesi dialog tersebut diakhiri dengan peringatan kepada semua agar sentiasa prihatin dengan isu yang berkaitan dengan kanak-kanak di sekitar kita serta lebih proaktif membina kerjasama yang baik bersama badan kerajaan dan bukan kerajaan juga institusi dalam melindungi hak kanak-kanak Malaysia. 

Pelancaran Sambutan Hari Kanak-Kanak 2021

Pelancaran Sambutan Hari Kanak-Kanak 2021

Pada 20 Nov, sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, telah berlangsung secara ‘online’ Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kanak-kanak 2021 anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia, Wanita IKRAM Malaysia, SALAM dan KIND.

Antara acara yang telah dijalankan adalah:

1. Kuiz Live SALAM bernilai RM300 e-wallet.

2. Ucapan Ketua Wanita IKRAM dan Pemasyhuran Pertubuhan Kanak-kanak Idaman Nasional (KIND).

3. Pemakluman Pemenang Pertandingan. 

4. Perkongsian Hasil Kajian – Isu Perlindungan Kanak-Kanak Di Malaysia : Dr Abd Rahman Ahmad Badayai.

5. Temu Bual ‘Anak Kita Masa Depan Kita’ bersama Prof Madya Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Pesuruhjaya SUHAKAM.