Isu perlindungan kanak-kanak masih kurang mendapat perhatian masyarakat (United Nations Children’s Fund, 2014; Mohammad Ramzi, 2015; Dahake et. al. 2018) dan komuniti setempat secara umumnya walaupun golongan ini merupakan golongan yang perlu dilindungi sepanjang masa.
Setiap saat kanak-kanak menjadi mangsa orang dewasa samada ibubapa, penjaga ataupun dewasa lain yang mana sepatutnya memberikan perlindungan dari segenap aspek kehidupan (Mohammad Ramzi, 2015; Dahake et. al. 2018). Hal ini kerana kanak-kanak merupakan generasi pelapis yang akan membangunan sesebuah negara.
Menurut Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak merujuk kepada individu yang berusia di bawah 18 tahun (Abas, 2012; Jabatan Kebajikan Masyarakat, 2021). Beberapa istilah penting:
Perlindungan kanak-kanak merujuk kepada strategi pencegahan dan intervensi bagi membendung kes-kes penderaan, pengabaian, eksploitasi dan keganasan dalam kalangan kanakkanak di bawah 18 tahun (Abas, 2012; Jabatan Kebajikan Masyarakat, 2021).
Pengabaian kanak-kanak adalah kegagalan untuk memberikan dan menyediakan semua keperluan asas seperti keperluan nutrisi, kesihatan, fisikal, rumah, emosi, pendidikan, psikologi untuk kanak-kanak. Malah kegagalan ini dapat memberikan ancaman kepada kehidupan kanakkanak (Abas 2012; Jabatan Kebajikan Masyarakat, 2021).
Penderaan kanak-kanak merupakan tindakan pencabulan terhadap hak individu kanak-kanak untuk terus hidup dan berkembang secara sihat dan bermaruah. Ini termasuk penderaan seksual, fizikal dan emosi dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun (Abas 2012; Jabatan Kebajikan Masyarakat, 2021).
Terdapat jurang yang besar terhadap tahap pengetahuan, sikap dan amalan dalam kalangan masyarakat (United Nations Children’s Fund, 2014; Dahake et. al. 2018) dan komuniti setempat berkenaan isu perlindungan kanak-kanak di Malaysia.
Atas dasar itu, penyelidikan ini dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap pengetahuan, sikap dan amalan orang dewasa terhadap isu-isu perlindungan kanak-kanak di Malaysia terutama berkaitan dengan isu-isu penderaan dan pengabaian.
Justeru itu, laporan penyelidikan ini secara ringkasnya menyediakan maklumat demografi dan statistik secara deskriptif sahaja. Soalan kajian dalam talian yang telah dilaksanakan ini menggunakan data seramai 1148 responden dari seluruh negara pada 2021 dalam kalangan dewasa yang mempunyai pelbagai tahap pendidikan, jantina, bangsa, umur dan negeri. Soal selidik Pengetahuan, Sikap dan Amalan telah digunakan dalam kajian ini. Semua responden kajian yang terlibat adalah secara sukarela dan boleh menarik diri pada bila-bila masa.
Pengelidikan dan laporan ini merupakan hasil kolaborasi antara Wanita IKRAM Malaysia bersama Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Prof. Madya Dr. Zaharah Sulaiman (Universiti Sains Malaysia)
Kanak-kanak merupakan aset terpenting kepada pembentukan generasi dan pemimpin masa depan sesebuah negara. Namun mereka berkemungkinan menjadi liabiliti jika kita gagal memberi perhatian sewajarnya terhadap permasalahan yang mereka hadapi. Isu berkaitan kanak-kanak tidak akan pernah berakhir, sebaliknya menuntut kesedaran, komitmen secara kolektif dan kolaborasi daripada banyak pihak untuk menambah baik ekosistem yang melingkungi golongan ini.
Laporan ini bertujuan untuk menghimpun dan membuat beberapa analisis khusus berkaitan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di Malaysia. Data-data ini diperolehi daripada Laporan Buku Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diterbitkan setiap tahun. Analisis dan rumusan yang dibuat adalah berdasarkan data yang diterbitkan dari tahun 2009 hingga 2018. Justeru itu diharapkan, analisis ini dapat membantu Wanita IKRAM Malaysia merangka aktiviti advokasi kanak-kanak dengan lebih terfokus.
Kami berdoa semoga Allah memberikan jalan keluar dan petunjuk untuk kita menjalankan usaha pembelaan dan advokasi kanak-kanak, bagi memastikan hak dan kepentingan mereka terus dilindungi.
“analisis ini dapat membantu Wanita IKRAM Malaysia merangka aktiviti advokasi kanak-kanak dengan lebih terfokus”
Data 10 Tahun
Saban tahun data kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mencatatkan angka yang tinggi. Statistik tahun 2018 melaporkan sebanyak 6,274 kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan (Carta 1). Ini bermaksud bagi setiap 1jam 20 minit, seorang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.
“bagi setiap 1 jam 20 minit, seorang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.”
Carta 1 juga menunjukkan trend bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan telah meningkat dari tahun ke tahun untuk tempoh selama 10 tahun. Secara purata, kadar peningkatan ini adalah sebanyak 10% setahun dengan peningkatan tertinggi pada tahun 2010 sebanyak 17% diikuti tahun 2018 sebanyak 13%. Ternyata peningkatan ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Populasi kanak-kanak berumur bawah 18 tahun menunjukkan trend yang menurun dari tahun 2010 hingga 2018 yang membabitkan penurunan sebanyak 5%. (JKM, 2016). Data ini juga sejajar dengan data yang diterbitkan oleh Bank Dunia yang menunjukkan kadar kesuburan wanita di Malaysia menurun dari 2.17 pada tahun 2009 kepada 2.00 pada tahun 2018. (The World Bank, 2018)
Carta 1: Statistik Kanak-Kanak Memerlukan Pemeliharaan dan Perlindungan 2009 – 2018.
Talian kasih
Secara umumnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan 11 kategori perujuk bagi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Kategori perujuk ini merangkumi Hospital Kerajaan, Orang Awam, Talian Kasih, Ahli Keluarga, Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKMD), Sekolah, Tadika, Media, Polis, Pengamal Perubatan Swasta dan Lain-Lain (termasuk RKK, NGO, Kaunseling, Surat dan Mahkamah Tinggi).
Carta 2 menunjukkan peratusan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mengikut Kategori Perujuk dari tahun 2016-2018. Hospital Kerajaan merekodkan rujukan kes tertinggi, diikuti orang awam, Talian Kasih dan ahli keluarga.
Carta 2: Statistik Kanak-Kanak Memerlukan Pemeliharaan dan Perlindungan 2016 – 2018: Kategori Perujuk
Dapatan ini menunjukkan trend yang membimbangkan bagi tempoh selama 3 tahun terakhir ( sehingga 2018), apabila hospital kerajaan mencatatkan rujukan melebihi 50% kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Intervensi awal yang lemah dari kalangan ahli keluarga dan orang awam bermungkinan menjadi faktor utama hospital kerajaan merekodkan rujukan kes tertinggi ini. Rujukan ini hanya dibuat selepas berlakunya konsekuensi yang lebih buruk melibatkan kecederaan fizikal, emosi dan seksual terhadap kanak-kanak terbabit.
“hospital kerajaan mencatatkan rujukan melebihi 50% kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan”
Talian Kasih yang dilancarkan semenjak 2015 ternyata hanya merekodkan secara purata 5% ke 6% rujukan bagi kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.
Terdahulu dari itu, Talian Kasih dikenali sebagai Talian Nur yang mempunyai perkhidmatan Childline (2011,) sebelum ianya ditukar kepada Talian Teledera dan dijenamakan semula kepada Talian Kasih.
Keberkesanan talian ini harus dikaji dengan lebih terperinci terutama dari sudut pemasaran, dan penggunaannya yang lebih mesra pemanggil terutama di kalangan kanak-kanak.
Data Mengikut Negeri
Data 5 tahun berturut-turut (2014-2018) menunjukkan Negeri Selangor terus merekodkan angka tertinggi kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah, Sabah dan Negeri Sembilan. (Carta 3)
Carta 3: Statistik Kanak-Kanak Memerlukan Pemeliharaan & Perlindungan 2014-2018: Mengikut Negeri
Namun jika angka ini dinormalisasikan kepada jumlah populasi kanak-kanak mengikut negeri, WP Kuala Lumpur mencatatkan kadar tertinggi iaitu 2.7 bagi setiap 1000 kanak-kanak. Ini diikuti oleh Negeri Sembilan, WP Putrajaya, dan Selangor. (Carta 4)
“WP Kuala Lumpur mencatatkan kadar tertinggi iaitu 2.7 bagi setiap 1000 kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan”
Carta 4: Kanak-Kanak Memerlukan Pemeliharaan dan Perlindungan 2018 – berdasarkan kepadatan populasi kanak-kanak mengikut negeri.
Analisis ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak di kawasan bandar (urban) lebih terdedah kepada penderaan, pengabaian, keganasan dan eksploitasi apabila enam negeri yang mencatatkan kadar tertinggi merupakan negeri yang lebih berkepadatan penduduk di kawasan bandar dan terletak di pantai barat. Pembangunan dan migrasi penduduk ke bandar ternyata memberi kesan yang membimbangkan terhadap keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.