Salah Faham Tentang Nafkah

Salah Faham Tentang Nafkah

Pernah dengar tentang salah faham berkaitan isu nafkah?

Dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga ini, seringkali kita berhadapan dengan pelbagai pandangan dan persepsi yang berbeza mengenai nafkah.

Namun, tahukah anda bahawa salah faham ini antara punca berlakunya pengabaian nafkah?

Jom rungkaikan kekeliruan anda dan mendidik diri membina pemahaman yang lebih mendalam tentang isu ini.

Insight Musim 2: Episod 2
Tajuk: Salah Faham Tentang Nafkah
Hos Insight: Dr. Sakeena Zahidah Mohamed Shah Redza
Tetamu Jemputan: En. Ahmad Shafiai Uda Jaafar (Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh)

Mari kita tonton dalam video ini dan meneliti apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan nafkah dan bagaimana ia harus dilihat dalam konteks membina keharmonian keluarga.

Nafkah Keluarga Sebenarnya Tanggungjawab Siapa?

Nafkah Keluarga Sebenarnya Tanggungjawab Siapa?

Siapa sebenarnya bertanggungjawab atas nafkah keluarga?

Suami sahaja atau kedua-dua suami isteri?

Seperti yang kita tahu dalam Islam, nafkah keluarga adalah satu amanah yang besar dan diberi peruntukan yang jelas.

Mari kita ikuti perkongsian secara lebih lanjut tentang pandangan Islam mengenai tanggungjawab keluarga dalam menanggung nafkah untuk membentuk keluarga yang harmoni dan sejahtera.

Insight Musim 2: Episod 1

Tajuk: Nafkah keluarga sebenarnya tanggungjawab siapa?
Hos Insight: Nur Amirah binti Mohd Pauzi
Tetamu Jemputan: Prof. Dr. Najibah binti Mohd Zin (Pensyarah, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)

Mari kita tonton video di bawah untuk mengetahui lebih lanjut.

Kes Nafkah di Mahkamah Syariah

Kes Nafkah di Mahkamah Syariah

statistik kes nafkah wanita malaysia ikram

Kadar kes perceraian semakin meningkat dalam kalangan pasangan yang baru berkahwin.

Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), satu pertiga kes perceraian berlaku dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan dan kebanyakannya berpunca daripada kecuaian suami dalam memberikan nafkah.

Isu berkenaan nafkah ini tidak boleh dipandang remeh kerana berdasarkan sebuah hadis, nafkah ini bukan sahaja tanggungjawab dan kewajipan bagi suami, malah ia turut menjadi sedekah kepada isteri dan anak serta merupakan pahala untuk para ayah.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu.” (HR Muslim, No. 995)

PERBINCANGAN MEJA BULAT: ISU NAFKAH ISTERI DAN ANAK

PERBINCANGAN MEJA BULAT: ISU NAFKAH ISTERI DAN ANAK

SERI KEMBANGAN – Jawatankuasa Advokasi dan Polisi, Wanita IKRAM Malaysia telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat bertajuk “Isu Nafkah Isteri dan Anak” di Pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia pada 8 Januari 2023, Ahad lalu.

Program ini telah dikendalikan oleh Tuan Zulsyahmi Hussaini bin Kamarulzaman yang merupakan ahli Jawatankuasa Advokasi dan Polisi sebagai moderator, dan disertai oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa penganjur dan golongan pakar dari pelbagai bidang.

Antara matlamat utama perbincangan meja bulat ini diadakan adalah untuk menyediakan ruang kepada golongan pakar mengetengahkan pandangan, pengalaman, penglibatan dan cadangan berkaitan isu nafkah terutamanya di Malaysia.

“Perbincangan ini sebagai langkah permulaan untuk mengenal pasti isu utama yang perlu ditangani dalam konteks pemberian nafkah kepada isteri dan anak,” kata Dr. Roohaida Othman sebagai Pengerusi JK Advokasi & Polisi, Wanita IKRAM Malaysia. Tambahnya lagi, ia bagi membincangkan langkah intervensi kepada pihak yang berkaitan bagi menangani isu pengabaian nafkah isteri dan anak.

Sesi tersebut diteruskan dengan pembentangan daripada Pensyarah Jabatan Amalan Guaman, Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof. Dr. Hajah Najibah binti Md Zain.

“Daripada sudut perundangan, isu nafkah ini sudah sangat baik cuma dari segi kefahaman dan pelaksanaan dalam kalangan masyarakat sendiri tentang pemberian nafkah ini perlu diberikan perhatian,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr Najibah turut menerangkan secara terperinci tentang nafkah daripada sudut dalil agama, peruntukan undang-undang, tanggungjawab membayar nafkah, tatacara pelaksanaan nafkah dalam undang-undang serta khidmat Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).

Slot seterusnya merupakan sesi perbincangan bersama golongan pakar yang hadir daripada Institusi Keluarga Utuh (IKU) En. Rozalli Hashim dan Puan Zarina Azhari, Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM), Dr. Amer Hudhaifah Hamzah dan Dr. Zaiton Ismail, wakil Jawatankuasa Asatizah IKRAM Ustaz Burhanuddin Lukman dan Ustazah Maznah Daud.

Turut bersama Ketua Masyarakat Progresif IKRAM En. Ainullotfi Abdul Latif, Peguam Syarie Pn. Raihan Mustafa Kamal, dan Muhammad Hanif Yahaya, Perancang Kewangan & ahli Malaysian Financial Planning Council (MFP).

Program seterusnya dirancakkan lagi dengan sesi perbincangan bersama pakar yang menjawab persoalan-persoalan daripada senario sebenar tentang isu nafkah ini.

“Nafkah tidak mutlak untuk anak sekiranya suami tidak mampu, isteri juga wajib menanggung anak itu sekiranya isteri mampu,” ujar Ustaz Burhanuddin Lukman.

Dalam pada itu, Pn. Raihan pula menerangkan bahawa jumlah nafkah isteri adalah subjektif dan peguam akan melihat dari sudut keperluan dan kemampuan suami.

“Walaupun isteri turut serta dalam membantu ekonomi keluarga, pihak suami tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab kerana ia boleh menimbulkan konflik dalam rumah tangga tersebut,” jelas Pn. Zarina.

Menurut Dr. Zaiton kepentingan pasangan untuk memahami tentang asas nafkah seperti kewajipan dalam memberikan nafkah adalah kepada suami.

“Sebelum berkahwin lagi perlu ada perbincangan untuk mencapai kesefahaman tentang bahagian kewangan yang boleh dikongsi bersama pasangan demi mencapai kesejahteraan rumah tangga tersebut,” tegas Dr. Zaiton.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Ketua Wanita IKRAM Malaysia Dr Sabariah Baharun menjelaskan bahawa sedar atau tidak, isu nafkah merupakan antara faktor besar yang menyumbang kepada perceraian berpunca daripada kurangnya kefahaman daripada kedua-dua belah pihak.

“Semoga perbincangan meja bulat yang diadakan bersama peguam syarie, pakar kewangan dan kaunselor ini dapat membina momentum serta meneruskan usaha advokasi untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat tentang isu nafkah ini,” harapannya.

 

Nor Shahirah Shaik Amir

Pegawai Media, Jabatan Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Kenyataan Media “Drama Berunsur Lucah Bukan Budaya Kita” 

Kenyataan Media “Drama Berunsur Lucah Bukan Budaya Kita” 

Kenyataan Media

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

Bersama Malaysians Against Pornography (MAP)

“DRAMA BERUNSUR LUCAH BUKAN BUDAYA KITA” 

Baru-baru ini tular di media sosial klip pendek drama Melayu berjudul ‘Perempuan Itu’ yang dijangkakan tayangannya pada bulan Ramadan ini, memaparkan adegan berunsur seksual dan lucah. Walaupun klip video tersebut telah diturunkan daripada media sosial dan pelakon serta syarikat tersebut telah memohon maaf, namun begitu perancangan adegan sedemikian tidak seharusnya dihasilkan sejak dari mula. 

Adegan berunsur seksual dan lucah, sama ada secara langsung atau berkias, tidak sepatutnya dinormalisasikan dalam industri filem dan hiburan. Adegan pornografi seperti ini merosakkan pemikiran anak muda dan paling ditakuti sekiranya ia menjadi ikutan gaya hidup seterusnya budaya dalam kalangan remaja. Ia juga menjatuhkan maruah wanita dan menjadikan wanita sebagai objek seksual. 

Kejayaan sesebuah filem atau drama tidak bergantung kepada adegan murahan seperti aksi lucah tetapi mesej yang hendak disampaikan untuk membangunkan masyarakat. Adegan ini jelas mengambil mudah syariat agama dan menimbulkan salah faham terhadap agama Islam disebabkan majoriti pelakon serta syarikat produksinya terdiri daripada orang Islam. 

Oleh itu, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (Wanita IKRAM) dan Malaysians Against Pornography (MAP) menggesa:- 

1.  Pelakon, pengarah, penyunting, dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri perfileman dan hiburan lebih prihatin dalam menjaga batas agama dan nilai masyarakat. Pengisian drama dan filem di Malaysia harus mengetengahkan nilai bermoral tinggi berlandaskan syariat agama dan budaya masyarakat Malaysia. Sebarang pelanggaran etika yang menyalahi budaya dan moral masyarakat Malaysia daripada mana-mana pihak harus diambil tindakan tegas.

2. Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Lembaga Penapis Filem Malaysia berkaitan perlu meneliti garis panduan agar lebih jelas berhubung perkara ini terutamanya perihal mengukuhkan penguatkuasaan bagi mengelak insiden-insiden seperti ini sama ada di media perdana atau media sosial, berulang kembali. 

3. Penggantungan siaran drama “Perempuan Itu” daripada ditayangkan dalam media perdana disebabkan dengan jelas cuba meraih publisiti murahan dan mengandungi unsur-unsur gangguan seksual secara terang-terangan. 

Wanita IKRAM serta MAP menyarankan semua pihak untuk bersama-sama membanteras apa sahaja bahan pornografi daripada disebarkan dan menular serta menjadi satu normalisasi kepada masyarakat.  

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh 

Ketua Wanita 

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia 

Dr Shamsuriani Mohd Jamal 

Pengerusi 

Malaysian Against Pornography (MAP)

serta disokong oleh

Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (Teratai)

Pertubuhan Penulis Isu-isu Wanita Nasional (PENAWAN)

Persatuan Suri Rumah Rahmah (SRR)

Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM)

Pertubuhan Mawaddah Malaysia