Kejelasan Tanggungjawab Asas Kesejahteraan Keluarga

Kejelasan Tanggungjawab Asas Kesejahteraan Keluarga

Laporan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Nasional ke-5 menyatakan bahawa perceraian berlaku adalah disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

Sebab Perceraian Lelaki Wanita
Tidak bersefahaman 56.2% 38%
Curang @ khianat kepada pasangan 11.8% 20.5%
Campurtangan keluarga pasangan 10% 6%
Pasangan tidak bertanggungjawab   15.2%
Tidak menerima poligami   2.8%
Kewangan   4.7%
Ketiadaan zuriat, perjudian, kesihatan, penderaan dan lain-lain 22% 12.8%

Kajian kadar perceraian ini meliputi semua bangsa di Malaysia dan hasil dapatannya adalah sangat membimbangkan. Keutuhan institusi keluarga adalah penting bagi semua kaum, kerana ianya dapat memberi sokongan dan tonggak ketahanan setiap individu dalam masyarakat.  Peningkatan bilangan perceraian setiap tahun terutama di kalangan pasangan muda, menunjukkan bahawa betapa rapuhnya sistem perkahwinan bagi membangunkan keluarga yang harmoni. Perancangan yang rapi untuk mengelakkan lebih banyak berlakunya perceraian dan membantu pasangan muda melalui fasa kritikal lima tahun pertama perkahwinan adalah amat penting.

Antara perkara yang perlu ditekankan dalam kursus perkahwinan adalah kesedaran akan tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap pasangan suami dan isteri setelah mendirikan rumah tangga. Setiap pasangan perlu memahaminya dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Bekalan ilmu pengetahuan berkaitan tanggungjawab sebagai isteri atau suami, ibu atau bapa, dan anak atau menantu perlulah difahami dan dipraktikkan. Termasuklah mengambil iktibar pengalaman pahit dan manis alam berumah tangga yang dilalui oleh generasi ibu bapa mereka.

Dalam melaksanakan tanggungjawab rumah tangga, sebahagian kaum lelaki kurang menghayati makna sebenar istilah “qauwaamun” seperti yang dinyatakan dalam surah An-Nisa ayat 34.  Mereka beranggapan bahawa lelaki adalah pemimpin yang memerintah dan berkuasa ke atas wanita secara mutlak. Tetapi sebaliknya, “qauwaamun” bermaksud pemimpin,  pemelihara dan pelindung kepada wanita. Islam telah memerintahkan supaya wanita dimuliakan baik sebagai ibu, isteri atau pun anak perempuan. Ini bermaksud lelaki bertanggunjawab untuk memastikan kebahagiaan kepada ahli keluarganya dan tidak mengasari serta tidak mengabaikan tuntutan dan hak mereka.

Sebaliknya, wanita bertanggungjawab menyokong dan membantu suami dalam membangunkan keluarga. Wanita sebagai ibu di dalam sistem kekeluargaan bukanlah semata-mata menjaga pengurusan rumah tangga yang baik, menjaga keperluan suami dan memelihara kesihatan keluarga, bahkan untuk mendidik, mengasuh dan membimbing anak-anak. Bagi wanita yang bekerja, perlulah mengimbangi antara kerjaya dan keluarga kerana pelbagai peranan ini boleh menggugat kestabilan dan kesejahteraan seorang wanita.

Persefahaman dengan amalan musyawarah antara suami isteri tentang kaedah menguruskan rumah tangga dan pendidikan anak-anak adalah perlu. Ini bagi mengurangkan berlakunya perselisihan pendapat tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam pengurusan rumah tangga. Oleh itu, kejelasan akan tanggungjawab serta peranan pasangan suami isteri dalam sesebuah keluarga amatlah  penting bagi mengelakkan berlakunya perceraian.

Dihasilkan oleh,

Zarina Bt Azhari

Unit Keluarga

Wanita, Pertubuhan IKRAM Malaysia