Karnival SALAM 2025

Karnival SALAM 2025

|| Lensa Wanita IKRAM || 16 Februari 2025

Karnival SALAM Meriahkan Komuniti Ampang: Ruang Komunal Kanak-Kanak Dirasmikan

Ampang, Selangor, 16 Februari 2025 – Karnival SALAM anjuran bersama Wanita IKRAM Malaysia, IKRAM Lembah Jaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), serta KRT Pangsapuri Taman Ampang Mewah telah berlangsung dengan jayanya semalam, menyaksikan sambutan meriah daripada penduduk setempat.

Antara agenda utama karnival adalah perasmian Ruang SALAM, iaitu sebuah ruang komuniti yang dibangunkan sebagai tempat interaksi dan pembelajaran selamat untuk kanak-kanak. Inisiatif ini turut melibatkan penambahbaikan Dewan KRT Pangsapuri Taman Ampang Mewah sebagai pusat kegiatan masyarakat setempat. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Puan Hajah Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Ampang.

Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Wanita IKRAM Pusat, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh; barisan kepimpinan Wanita IKRAM Pusat; Prof. Madya Dr. Nor Zalina Harun (UKM); Encik Norhanizan Sahib (LPHS); Encik Ahmad Nizam Samsudin (YDP IKRAM Lembah Jaya); serta wakil-wakil sukarelawan IKRAM Junior dan AJK KRT setempat.

Karnival turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan percuma melalui program PEKA B40, Karnival Kesihatan oleh Klinik Al-Salam, serta Forum Kesihatan yang menampilkan dua ahli panel profesional:

  • Dr. Muaz bin Sayuti, Ketua Penolong Pengarah Sektor Kawalan Tembakau dan FCTC, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

  • Dr. Tasnim Abdul Aziz, Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Dalaman, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Forum ini memberi pendedahan berkaitan bahaya rokok dan vape, isu obesiti kanak-kanak, serta kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.

Golongan kanak-kanak pula turut terlibat dalam Eksplorasi Anak-anak Malaysia 2.0 yang menyasarkan pembangunan sahsiah dan kecergasan mereka melalui pendekatan interaktif dan menyeronokkan.

Penganjur merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama dalam menjayakan karnival ini, khususnya para penduduk, sukarelawan, serta agensi yang terlibat. Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang lebih sihat, selamat, dan harmoni di masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
Emel: [email protected]
Telefon: 03-8945 6999

Sekitar Karnival SALAM