Seremban – Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh, Ketua Wanita IKRAM Malaysia telah hadir ke Program Cahaya Dhuha Sejahtera Jiwa pada 5 Oktober 2024 di Masjid Sri Sendayan.
Turut hadir merasmikan dan memeriahkan program ini, YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturrahim Isteri-Isteri Harapan (KASIH Malaysia), YABhg. Datin Seri Wan Hasni, Yang diPertua BAKRIYAH Negeri Sembilan dan YBhg. Puan Sri Hani, wakil Pengerusi Masjid Sri Sendayan.
Program ini telah menarik minat ramai peserta, terutamanya dalam kalangan wanita bekerjaya, suri rumah, pelajar, golongan muda dan tua. Seramai hampir 2000 orang peserta telah hadir untuk memeriahkan suasana dan turut serta dalam pelbagai aktiviti yang disediakan.
Program telah dimulakan dengan Solat Sunat Dhuha & Bacaan Al-Mathurat Sughra, dan kemudian diteruskan lagi dengan slot tadabbur Surah Al-Insyirah bersama Prof. Dato’ Dr. Haji Mohd Farid Ravi bin Abdullah dan Forum Kesedaran Kesihatan Mental oleh Moderator Puan Dzilal Abdul Aziz (Kaunselor Klinik Psikologi Azlina dan Pengurus Rumah Perlindungan Teratai) dan panel-panel jemputan iaitu Dr. Alizi bin Alias (Pengerusi Psikospiritual Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Pakar Psikologi Organisasi) dan Tuan Haji NorAzman Amat (Pengarah Jabatan Wakaf dan Mal MAINS dan Kaunselor Berdaftar). Terdapat juga Klinik Kaunseling disediakan dan reruai yang menarik.
Program ini merupakan anjuran bersama 𝐊𝐀𝐒𝐈𝐇 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚, 𝐁𝐀𝐊𝐑𝐈𝐘𝐀𝐇, dengan kerjasama 𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐈𝐊𝐑𝐀𝐌 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 dan 𝐌𝐚𝐬𝐣𝐢𝐝 𝐒𝐫𝐢 𝐒𝐞𝐧𝐝𝐚𝐲𝐚𝐧 bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024. Semoga Allah swt memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang setimpal insyaAllah.