Sembang Santai Ekonomi Keluarga dengan Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir
Kerap-kali kita bercakap tentang tabung kewangan keluarga semasa ekonomi biasa-biasa. Kini telah 18 bulan dunia menghadapi pandemik covid-19. Kesan yang amat ketara kepada kedudukan ekonomi dunia. Malaysia tidak ketinggalan. Kesannya amat besar kepada masyarakat kita. Ramai yang kehilangan pendapatan kerana aktiviti ekonomi terpaksa dibekukan bagi mengawal penularan wabak covid 19.
Mari sama-sama kita ikuti apa kata pakar kewangan:
1. Apakah ‘tabung kewangan keluarga’ masih relavan untuk diperkatakan di waktu ini?
Jawapan:
InsyaAllah masih ada lagi sebahagian besar masyarakat yang mampu membuat tabungan atau simpanan lebih-lebih lagi setelah mengambil ibrah atau pengajaran situasi kewangan semasa Pandemik. Begitu pentingnya tabungan. Apa lagi jika kita merupakan di kalangan mereka yang terkesan – diberhentikan kerja/dikenakan potongan gaji/disuruh cuti tanpa gaji/usahawan yang terjejas akibat penutupan sektor ekonomi. Kesan tidak menyediakan tabungan kewangan sebelum Pandemik pasti sudah dirasai keperitannya sekarang. Bagi yang berjaya menyimpan secara konsisten atau istiqamah, sudah pasti anda menarik nafas lega sebab tabungan telah berjaya meringankan beban aliran wang tunai anda.
Bagi yang TIDAK terkesan anda sekarang tidak punyai alasan untuk tidak memulakan simpanan atau tabungan sekiranya anda masih liat melaksanakan disiplin ini. Paksa diri sekarang dan syukur bahawa anda bukan dalam kategori mereka yang terkesan dengan pandemik.
Bagi yang cukup cukup makan, carilah ruang untuk tambah pendapatan, masa inilah peluang menggunakan apa sahaja skil atau kemahiran yang anda ada bagi membolehkan anda menjana pendapatan.
2. Bagaimana agaknya cara terbaik penyimpanan dan perbelanjaan masa sebelum kita dilanda Pandemik COVID -19 ini dan masa sekarang yang sedang kita harungi – apa perbezaannya ?
Jawapan:
Perbezaan ketara cara penyimpanan masa Covid19 dan sebelum dilanda Pandemik adalah anda mesti berhati- hati, jangan cepat percaya atau terpedaya dengan janji janji manis promoter skim cepat kaya. Sekarang semakin menjadi-menjadi skim seperti ini sebab potensi jumlah pengeluaran i-citra dan lain lain di kalangan ahli penabung KWSP.
Pilih opsyen simpanan yang selamat seperti SSPNI (Pelan Simpanan Pendidikan PTPTN) atau skim amanah saham yang diluluskan dan senang anda mengeluarkan apabila perlu.
Perbezaan cara perbelanjaan semasa Covid adalah anda mesti berhemah lebih lebih lagi. Rancanglah sebaik mungkin sebab tidak pasti bila keadaan ekonomi akan kembali normal. Jika dulu anda tidak pernah membuat “belanjawan” atau “bajet keluarga”, mulailah sekarang. Carilah pilihan yang lebih menjimatkan atau amalkan “diet perbelanjaan.”
3. Masalah kewangan dulu dan sekarang amat berbeza. Mungkin dulu kita mempunyai masalah kewangan seperti ada hutang-hutang, kita masih ada pendapatan tetap. Sekarang pendapatan kurang dari jumlah hutang yang ada, apakah yang perlu dilakukan bagi mreka yang menghadapi situasi begini?
Jawapan:
Bagi yang terkesan atau mereka yang dalam situasi begini contohnya pendapatan sudah tiada atau berkurangan tetapi hutang masih ada. Walaupun diberi moratorium tetapi akhirnya kena bayar juga. Tindakan untuk menjana pendapatan mesti cepat diikhtiarkan sebelum situasi moratorium ditarik semula.
Catit semua perbelanjaan yang memang amat diperlukan setiap bulan. Cuba mencari alternatif yang paling murah. Jika tidak boleh kurangkan perbelanjaan, kita harus tingkatkan pendapatan, tiada pilihan lain, banyak peluang penjanaan pendapatan tapi hendaklah memilih yang sesuai dengan minat dan keupayaan anda.
Aliran wang tunai terdiri dari dua kategori sahaja, belanja atau simpan. Formula kekayaan yang kami sering berkongsi adalah seperti berikut:
Wang Masuk (pendapatan/pelaburan/sewaan) – Simpanan = Perbelanjaan
Pastikan anda berunding dengan pihak bank dan nyatakan kemampuan anda dalam masa sekarang dan perancangan masa depan untuk langsaikan hutang.
4. Malu untuk menyatakan yang “saya mempunyai masalah kewangan” kerana malu dengan apa orang kata. Akhirnya hidup sengsara & takut untuk keluar dari belenggu masalah tersebut? Komen dan nasihat.
Jawapan:
Jangan malu dengan keadaan kewangan anda sebab anda bukan bersendirian, ia adalah masalah satu dunia. Berdepanlah dengan masalah kewangan anda lebih-lebih lagi dengan pihak bank yang memberi pinjaman. Semua masalah kewangan ada jalan keluarnya. Jangan membuat sebarang keputusan kewangan apabila anda dalam keadaan tidak rasional atau sedang sedih dan kecewa dengan keadaan. Dapatkan ketenangan dengan banyak membaca Al Quran dan tadabbur maknanya sekali. Apabila jiwa sudah tenang barulah keputusan boleh dibuat.
Ayat 155 dari surah Al Baqarah maksudnya:
“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta.jiwa dan buah buahan. Dan sampaikan khabar gembira kepada orang orang yang sabar.”
Ayat 152 dari surah al Baqarah maksudnya:
“Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada Ku dan janganlah kamu ingkar kepadaKu.”
Jika anda buntu, banyak tempat anda boleh mengadu seperti ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) agensi dibawah BNM yang melaksanakan kaunseling kewangan tanpa mengenakan caj/yuran. Jangan sekali-kali pergi ke “AhLong” untuk mendapatkan pinjaman walaupun untuk jangkamasa pendek. Pergilah mengadu nasib dengan pusat pusat zakat atau NGO berhampiran yang ramai menghulurkan bantuan.
5. Pengurusan kewangan ini bukan semata-mata hanya perbelanjaan, penyimpanan & pelaburan.
Ia juga perlu seimbang antara keperluan dan kehendak supaya dengan keseimbangan itu kita merasa sedikit nikmat kehidupan. Adakah anda setuju? Ditakuti hidup ini hanya ditekankan soal bebanan sahaja, tiada sedikit pun usaha untuk bahagiakan diri dan keluarga.
Jawapan:
Pengurusan kewangan seperti dalam Kubah Kehidupan merangkumi pelbagai aspek duniawi dan ukhrawi juga demi mencapai Hayaan Tayyibah, kehidupan yang terbaik.
Islam pandang rendah kepada pemboros dan samakan mereka dengan saudara syaitan sepertimana dalam Surah Al Israa ayat 27 maksudnya:
“ Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Kepentingan membezakan di antara keperluan dan kemahuan akan mengimbangi perbelanjaan kita.
6. Melihat pada zaman sekarang, simpanan kewangan untuk pendidikan dan kesihatan adalah antara antara faktor penting untuk diambil kira dalam bajet keluarga. Berikutan musim Covid 19 memerlukan banyak sokongan perubatan harian untuk hindarkan penyakit dan selain itu pendidikan PDPR juga menelan kos yang tinggi. Sejauhmana dua jenis simpanan ini perlu kita cakna?
Jawapan:
Memang jika sebelum pandemik, lazimnya kita tidak ambil cakna tentang keperluan perlindungan/takaful. Musibah seperti wabak penyakit jarang difikrkan sebagai satu keberangkalian. Tidak pernah kita bayangkan kadar kematian di satu hospital boleh meningkat ke puluhan orang sehari.
Sekarang kita harus bertindak mengambil perlindungan diri dan perlindungan untuk perubatan serta kemasukan ke hospital.
Ambillah perlindungan perubatan yang anda mampu. Untuk tabung Pendidikan anak-anak , tabungan pendidikan SSPIN antara yang terbaik di pasaran dengan dividen tahunan mencecah 4%.
7. Ada rakyat kita sekarang ini dahulunya bekerja tetapi sekarang mula “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.” Mereka sudah tidak fikir perancangan kewangan pada masa akan datang, cukuplah fikirkan sekarang untuk hidup ini. Boleh kongsikan kata-kata semangat bagi mereka ?
Jawapan:
Kata kata semangat sebaiknya diambil dari Al-Quran dan hadith..
Walau apapun terjadi kita mesti pegang pada 5 perkara ini:
- Syukur – apapun terjadi pada kita Allah dah rancang yang terbaik.
- Yakin dengan janji Allah setiap perkara yang berlaku kepada kita ada hikmah yang tersimpan disebaliknya.
- Sedekahlah walaupun kita fikir kita dalam kesempitan ,ada yang lebih sempit.
- Istighfar banyak-banyak, moga Allah ampunkan dosa dan beri jalan keluar dari permasalahan
- Tahajud – rajinlah mengadu pada Allah dengan amalan tahajud, kekuatan akan datang pada anda sebab anda rapatkan diri dengan Yang Maha Kaya
HAJAH ROHANI BINTI DATUK HAJI MOHD SHAHIR
Penulis Buku Perancangan Kewangan Islam
Pakar Perunding Kewangan Islam
Hijrahwealth Management Sdn Bhd
2hb Ogos 2021