8 Mac 2021
“Kepimpinan Wanita Pasca COVID-19: Pilih untuk
Saksama”
Wanita IKRAM Malaysia mengucapkan “Selamat Hari
Wanita” kepada semua wanita di mana sahaja anda berada.
Tarikh 8hb Mac setiap tahun merupakan ‘Hari
Wanita Sedunia’ yang menjadi lambang solidariti terhadap wanita di seluruh
dunia. Ia bertujuan untuk menghargai pengorbanan wanita serta mengiktiraf
pencapaian wanita dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, politik dan
kebudayaan.
Pada tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menetapkan tema sambutan Hari Wanita
Sedunia 2021 sebagai “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran”.
Di peringkat antarabangsa pula, Wanita
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menetapkan tema sambutan yang lebih
khusus dengan suasana semasa dunia yang berdepan dengan sebuah pandemik, iaitu
“Women in Leadership: Achieving an equal future in a COVID19 world” atau
“Kepimpinan Wanita: Meraih Masa Hadapan Yang Sama Rata Dalam Dunia Bersama
COVID19”.
Tema PBB ini bertujuan untuk menekankan
kepentingan adanya pemimpin yang cakna terhadap kebajikan dan keperluan wanita
dalam dunia yang terkesan akibat pandemik COVID19.
Akhbar tempatan telah banyak melaporkan kesan
langsung pandemik COVID19 terhadap golongan wanita. BH Online pada 6hb April
2020 melaporkan bahawa seramai190,000 orang telah terjejas disebabkan pandemik
COVID19.
Satu kajian oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNFPA) pada bulan September 2020 mendapati sebanyak 30% daripada ibu tunggal
tidak boleh bekerja berbanding kadar pengangguran kebangsaan iaitu sebanyak 5%.
Kajian itu turut mendapati sebanyak 80% wanita daripada ibu tunggal mengalami
tekanan emosi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)
turut melaporkan sebanyak 4872 aduan kes keganasan rumahtangga telah diterima
sepanjang tempoh PKP, iaitu peningkatan sebanyak 14% daripada biasa.
Data serupa turut dilaporkan oleh Talian Kasih KPWKM
yang mencatatkan bilangan kes sebanyak 1929 dalam tempoh yang sama.
Impak negatif terhadap sosio-ekonomi golongan
wanita ini telah banyak dihurai oleh kajian di peringkat antarabangsa. Pada
kebiasaannya, golongan wanitalah yang terpaksa memikul peranan tambahan dalam
mengurus rumah tangga, anak-anak atau penjaga informal (informal caregiver)
bagi ahli keluarga yang sakit, di samping bekerja sepenuh masa dari rumah. Oleh
yang demikian, semestinya mereka memerlukan sokongan padu daripada suami dan
keluarga khususnya, serta masyarakat dan pihak berwajib amnya.
Hak yang dituntut oleh golongan wanita
sewajarnya perlu berlandaskan lunas-lunas agama yang meraikan fitrah manusiawi
dan kekuatan serta kelemahan kedua-dua golongan lelaki dan wanita. Lantas, dalam
menuntut keadilan, prinsip kesaksamaan perlu ditekankan.
Oleh itu, bersempena Sambutan Hari Wanita
Sedunia 2021, Wanita IKRAM ingin menyeru kepada semua pihak, wanita khususnya untuk:
1. Berusaha meningkatkan kemampuan diri lantas tampil
mengambil kedudukan memimpin serta membimbing ahli keluarga dan masyarakat. Hal
ini perlu untuk mengisi ruang-ruang pembangunan yang ada demi membela dan
memartabatkan kedudukan wanita yang disesuaikan dengan peranan dan
tanggungjawab seperti yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
2. Terus berusaha mendorong dan mengingatkan
kaum lelaki, suami dan bapa agar terus berperanan sebagai pelindung kepada
wanita walau di mana sahaja mereka berada. Anak-anak lelaki perlu dididik untuk
memahami tanggungjawab ini. Wanita ke hadapan bukan bertujuan untuk mengambil
alih tugas dan tanggungjawab asas kaum lelaki yang telah diamanahkan kepada
mereka, sebaliknya untuk saling melengkapkan dalam menyumbang kepada
kesejahteraan umat dan negara.
3. Berterusan melengkapkan diri dengan ilmu
pengetahuan. Bekalan diri ini diperlukan dalam meneruskan perjuangan membela
nasib golongan wanita terpinggir mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh
syariat.
4. Mengambil peranan dalam menentukan
kepimpinan negara bagi memastikan agenda pembelaan kepada kaum wanita dan
pembangunan negara dilaksanakan dengan adil dan saksama. Wanita perlu menyedari
bahawa pengaruh dan sokongan kita mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara
harmoni yang bebas dari segala penyelewengan dan rasuah.
Semoga dunia pasca COVID19 membawa masa depan
yang lebih saksama untuk wanita keseluruhannya.
Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia