Amalan berniaga adalah satu usaha yang sangat baik kerana ianya menjadikan satu sumber pendapatan keluarga dan boleh berdikari untuk menyara keluarga. Apatah lagi dalam suasana Covid 19 melanda, ramai yang kehilangan pekerjaan dan pilihan yang ada adalah untuk berniaga atas talian atau pun kecil-kecilan.
Perlulah dipastikan jenis dan kaedah perniagaan juga hendaklah yang halal, menepati konsep syariah terutama untuk peniaga muslim khususnya. Peniaga juga perlu melengkapi diri dengan ilmu perniagaan seperti teknik pemasaran, penentuan harga, proses pembuatan yang betul, pembungkusan barang, jenama, aspek kebersihan barang, proses penghantaran dan lain-lain.
Perkara yang juga penting dalam urus niaga adalah menjaga adab dan etika ketika berurusan dengan pelanggan supaya telus, amanah dan juga meningkatkan kepuasan pelanggan dalam menggunakan produk atau perkhidmatan yang diberikan setimpal dengan harga yang dibayar.
Dalam Islam, ada tiga asas utama iaitu aqidah, ibadah dan akhlak. Secara ringkas, seorang muslim mestilah mempunyai akidah yang benar, keimanan yang kukuh dan percaya kepada Allah swt, termasuklah yakin datangnya rezeki itu dari Allah swt.
Ibadah merujuk kepada amalan solat dan kewajipan lain kepada Allah seperti dalam rukun Islam dan juga menjalankan interaksi sesama manusia dengan baik dan mematuhi syariat Islam seperti urusan keluarga, perkahwinan, ekonomi dan berjual beli, politik, sosial dan alam sekitar.
Akhlak pula adalah satu kelakuan yang baik bagi melaksanakan urusan ibadah dengan baik dan sempurna. Etika dalam berjual beli juga merujuk kepada akhlak seorang peniaga ketika menjalankan urus niaga. Akhlak merupakan istilah yang paling tepat untuk menjelaskan tentang etika seseorang muslim iaitu membuat kebaikan dan mengelakkan dari menipu dan bersikap buruk. Akhlak ini boleh dilihat dari sikap dan kelakuan manusia samada dia menunjukkan perilaku yang baik atau sebaliknya.
Ada kalanya aspek etika dan kejujuran peniaga ini dipandang remeh atau kurang diambil berat oleh pihak pengurusan syarikat atau pemilik kedai kerana mungkin selesai urusan jual beli, dan pembayaran telah dibuat, maka selesai urus niaga tersebut.
Banyak berita berkaitan sikap peniaga di negara ini yang tidak jujur dan malah melakukan penipuan yang boleh dirujuk dalam akhbar dan berita di Internet. Ini termasuklah beberapa aduan pembeli terhadap peniaga di pasar malam, gerai tepi jalan atau di premis perniagaan kecil dan besar. Ada juga penipuan berlaku ketika jual beli secara dalam talian dan berlaku ketika musim wabak virus corona di mana pergerakan keluar rumah adalah terhad dan ramai pelanggan terpaksa membeli secara pesanan luar contohnya melalui Food Panda, Grab Food dan penghantaran ke rumah oleh peniaga makanan. Antara komen pembeli dan pelanggan termasuklah tidak berpuas hati dengan harga jualan makanan yang agak mahal dari biasa, kualiti makanan tidak seperti yang diharapkan, produk yang tidak sama seperti yang diiklankan dan juga aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.
Ada juga penipuan dalam bentuk isi kandungan produk yang sedikit atau dicampur dengan bahan lain supaya lebih berat kandungannya. Kita juga mendapat berita mengenai penipuan dalam penggunaan logo halal untuk produk jualan seperti isu penjualan daging yang diimport dan ada yang mengambil kesempatan dengan menipu isi kandungan pencuci tangan (hand sanitizer) hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan yang banyak pada waktu berlakunya wabak corona virus. Ada juga menjual pelitup muka (face mask) dengan harga yang mahal tanpa mengira keadaan pembeli yang bukan semuanya ada kemampuan terutama golongan miskin dan kategori B40. Ini adalah sebahagian contoh unsur penipuan yang berleluasa dan tidak ada sifat jujur di kalangan segelintir peniaga yang ada di negara ini.
Kesan dari sikap peniaga ini akan membuatkan pembeli merasa serik dan tidak akan membeli lagi dari peniaga tersebut. Pembeli merasakan tertipu dan ini juga satu bentuk penindasan kepada mereka. Dalam hal ini, peniaga mensasarkan untuk mendapat keuntungan perniagaan semata-mata tapi mengabaikan aspek kejujuran dan amanah.
Tidak dinafikan ada peniaga yang sangat menjaga kepuasan hati pelanggan dan akan memberikan lebihan kuih, lauk atau sukatan yang lebih dari yang diminta oleh pelanggan. Ada juga peniaga yang baharu cuba berniaga secara kecil-kecilan dan usaha ini sangat bagus untuk belajar berdikari dan berusaha untuk sentiasa berniat jujur dan amanah dalam melakukan ibadah berniaga ini. Bila perniagaan ini dikira ibadah, maka haruslah dilaksana dengan baik dan berniat pula untuk menyucikan pendapatan dengan mengeluarkan zakat perniagaan ketika cukup tempohnya.
Kejujuran bermula dengan niat yang baik dan berakhlak mulia di mana ianya penting ditekankan supaya mendapat keberkatan dalam urusniaga tersebut. Wang dari sumber jualan ini akan digunakan untuk membeli makanan dan keperluan keluarga peniaga pula. Oleh itu, amat penting kita memastikan sumber pendapatan bukan sahaja yang halal, tetapi juga mendapat keberkatan Allah swt untuk keluarga kita khasnya dan masyarakat umumnya. Keberkatan ini merujuk kepada rahmat Allah swt kepada manusia dalam bentuk kebaikan dan keuntungan berpanjangan.
Wajarlah kita semua mencontohi akhlak yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw yang juga pernah berniaga ketika mudanya. Antara sifat yang patut kita contohi dari Rasulullah saw ialah bersifat amanah serta jujur dalam urus niaga dan ketika berinteraksi dalam hal ehwal muamalat sesama manusia. Sifat jujur ini amat penting dalam perniagaan di mana ianya memberikan kepuasan kepada kedua pihak penjual dan pembeli serta ganjarannya adalah pahala yang besar seperti sabda Nabi saw yang bermaksud: “Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai (siddiqin) dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat At-Tirmizi).
Kejujuran ini membina satu hubungan kepercayaan antara peniaga dan pelanggan dan tidak boleh dicapai jika ada unsur pendustaan dan penipuan. Peringatan juga diberikan dalam firman Allah supaya tidak menipu di jalan yang salah. Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 29 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”
Terdapat syarat dalam jual beli yang sah dan dan mesti dipatuhi oleh kedua penjual dan pembeli supaya mendapat barakah iaitu kebaikan dalam urusniaga tersebut.
Antaranya ialah:
(1) Jenis barangan yang jelas, boleh dilihat dan sumber yang halal.
(2) Harga jualan yang berpatutan dan tiada caj yang terselindung.
(3) Ada ijab dan qabul iaitu lafaz atau tulisan atau butang dalam talian untuk pembelian online sebagai tanda bersetuju atas transaksi jualan.
(4) Ada bukti serahan atau resit atau apa sahaja maklumat yang lengkap termasuk caj penghantaran.
(5) Tawar menawar diharuskan dalam Islam atau pemberian harga diskaun oleh peniaga.
Rasulullah saw juga mengecam dan melarang amalan perdagangan yang dipenuhi tipu daya seperti sabdanya dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Penjual dan pembeli memiliki hak pilih selama belum berpisah. Apabila mereka jujur dan mahu menerangkan (keadaan barang), mereka akan mendapat berkat dalam jual-beli mereka. Dan jika mereka bohong dan menutupi (cacat barang) akan dihapuskan keberkatan jual-beli mereka” (Riwayat Muslim)
Selain itu, peniaga mestilah memastikan sukatan dan timbangan yang betul dalam aktiviti perniagaan selaras dengan firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 35 yang bermaksud: “dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).”
Kesimpulan:
Amatlah baik jika semua peniaga terus mengamalkan prinsip etika dan berakhlak mulia dalam urusan muamalat dan urus niaga sesama manusia. Amalan berakhlak dalam melaksanakan perniagaan sebagai sumber ekonomi keluarga amatlah penting sebagai pra syarat mendapat keberkatan di dalam kehidupan.
Namun pembeli juga seharusnya boleh menegur penjual secara berhemah jika mereka tidak berpuas hati atas sikap peniaga yang tidak jujur dengan menunjukkan bukti yang ada berkaitan produk atau perkhidmatan yang diberikan.
Pihak kerajaan pula bertanggungjawab memberikan kesedaran berkaitan tatacara perniagaan yang beretika dan membuat pemantauan yang berkesan ke atas peniaga-peniaga serta mengambil tindakan sewajar ke atas mereka yang didapati mengamalkan penipuan.
Sama-samalah kita ikuti firman Allah dan sunnah Rasulullah saw supaya beroleh pahala kebaikan, dan keberkatan hidup bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak.
Dr Amalina Abdullah
Pensyarah Kanan
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Putra Malaysia
1 Februari 2021