Semenjak Disember 2018 sehingga Disember 2019, program Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak-Anak (IMPAK) yang dianjurkan oleh IKRAM seluruh negara telah berjaya memberi impak positif dalam peningkatan skill ibu bapaan kepada lebih 850 ibu bapa B40 seluruh Malaysia. Ujian Pandemik Covid 19, telah menyebabkan usaha ini terbantut pada 2020.
Mengorak langkah berbekalkan semangat baru dalam melalui norma baru, dengan geran yang diperolehi dari Yayasan Hasanah, IMPAK Online 2021 dilancarkan melalui modul pertamanya pada 10 Januari 2021 yang lalu di 4 lokaliti tumpu di Kuala Lumpur. Modul pertama ini telah berjaya dilalui oleh 67 VIP (Very Important Parents); 17 dari Flat Sri Perlis 2, 13 dari Perumahan Awam Jelatek, 14 dari Pangsamurni, dan 23 dari Perumahan Awam Taman Wahyu.
Semua peserta yang rata-rata baru pertama kali mengikuti pembelajaran atas talian menyifatkan pengalaman pertama yang dilalui mereka ini amat berharga. Modul 1 yang memfokuskan kepada Sikap Ibu bapa telah menekankan tentang peri pentingnya ibu bapa untuk mempamerkan sikap yang positif terhadap anak-anak. Melalui maklum balas yang diterima, peserta dapat mengetahui sikap dan cara terbaik untuk berkomunikasi dengan anak-anak. Peserta konsisten memberikan respon terhadap soalan, aktiviti, bertanya, dan berkongsi pengalaman sepanjang program berjalan di atas talian.
Selain kad prabayar untuk data yang diterima oleh peserta setiap minggu, penganjur turut menyediakan hadiah partipisipasi berupa naskah kecil “100 skrip positif untuk anak-anak” dan cenderahati dari Jawatankuasa IKRAM Kawasan untuk terus memotivasikan peserta sepanjang program.
Di harapkan program ini terus mendapat manfaat kepada semua peserta seterusnya memberi kesan positif kepada pembangunan modal insan negara.