Di antara pandemik dan prioriti agenda kanak-kanak

KENYATAAN MEDIA

Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia

20 November 2020

DI ANTARA PANDEMIK DAN  PRIORITI AGENDA KANAK-KANAK

20 November setiap tahun merupakan tarikh sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia. Ianya menjadi satu sambutan yang memberi refleksi sejauh mana kita sebagai individu, masyarakat dan negara telah memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kehidupan kanak-kanak yang merangkumi aspek kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan partisipasi, sejajar dengan Dasar Kanak-Kanak Negara dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak yang digunapakai di Malaysia. Sehingga kini, pelbagai sasaran pembangunan untuk kanak-kanak telah berjaya dicapai. Namun, pandemik COVID-19 yang melumpuhkan sistem sosial dan ekonomi secara global sudah  pastinya turut memberi impak besar kepada golongan kanak-kanak.

Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada bulan 18 Mac 2020 dan bersambung hingga kini (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) telah menyebabkan hampir 5 juta kanak-kanak terjejas pembelajaran secara formal di sekolah-sekolah. Risiko keciciran semakin meningkat apabila statistik melaporkan 7% kanak-kanak daripada golongan pinggiran di Kuala Lumpur telah hilang minat untuk ke sekolah. Manakala 9 daripada setiap 10 kanak-kanak juga tidak mempunyai peranti yang sesuai untuk meneruskan pembelajaran di atas talian.

Sungguhpun pembelajaran di atas talian ini dipraktikkan untuk mengekalkan keterlibatan murid sepanjang tempoh pembelajaran, namun sudah pasti ia tidak dapat mengganti sepenuhnya interaksi psiko-sosial-emosi yang diperlukan dalam kehidupan kanak-kanak. Prosedur Kendalian Standard (SOP) yang menghalang mereka beriadah di taman rekreasi mahupun mengunjungi rumah ibadat telah memberi kesan terhadap lagi perkembangan fizikal, emosi, sosial, kognitif, komunikasi dan spiritual  sekaligus meninggalkan kesan negatif terhadap kesihatan mental mereka. Hal ini ditambah lagi dengan kes penderaan dan pengabaian yang melibatkan kanak-kanak yang merupakan golongan bawah umur yang semakin meningkat rentetan dari ibu bapa dan penjaga yang terkesan dan tertekan dengan pandemik COVID-19.

Menyedari dan merasai hakikat kepada situasi yang dinyatakan di atas, Wanita IKRAM dengan ini menyarankan perkara-perkara berikut;

1. Dalam suasana pembelajaran di atas talian, ibu bapa perlu mengambil peranan bahu-membahu bersama guru dalam memastikan proses pembelajaran anak-anak berlangsung dengan baik dan berkesan. Motivasi berterusan amat diperlukan oleh anak-anak bagi memastikan mereka kekal bersemangat untuk meneroka ilmu dan mencapai cita-cita. Peranan ibu bapa sudah pastinya amat kritikal pada waktu ini dan mereka tidak wajar disibukkan dengan alasan komitmen kerja sahaja.

2. Pada era pandemik COVID-19 ini, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu segera bertindak dalam menyediakan sokongan fasiliti dan solusi praktikal yang boleh dimanfaatkan bagi melancarkan lagi pembelajaran. Ianya termasuk memperkasakan tv-pendidikan sebagai medium asas untuk memastikan perkembangan kognitif kanak-kanak tidak terbantut. Di Eropah, sekolah merupakan institusi terakhir yang ditutup kerana interaksi sosial dan emosi dilihat sebagai elemen yang amat penting dalam perkembangan kanak-kanak.

3. Majlis Agama, institusi masjid dan rumah ibadat perlu lebih proaktif dalam menyantuni kanak-kanak supaya situasi pandemik COVID-19 tidak terus menjadikan kanak-kanak mengalami defisit kepercayaan dan kekeringan ikatan kerohanian. Institusi ini perlu bergandingan bersama agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan anggota masyarakat yang prihatin untuk menyumbang tenaga, idea dan kepakaran mereka dengan menyediakan fasiliti interaksi sosial yang dapat membina perkembangan spiritual, sosial dan emosi.

4. Masyarakat perlu proaktif dalam membina persekitaran komuniti selamat untuk kanak-kanak lebih-lebih lagi di musim pandemik COVID-19. Intervensi awal oleh jiran tetangga komuniti setempat amat penting bagi mengelakkan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak dari segi fizikal, emosi dan juga seksual menjadi semakin parah sehingga memungkinkan berlakunya kes-kes jenayah yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa kanak-kanak.

5. Taman-taman dan pusat pusat rekreasi perlu dibuka dengan operasi kawalan yang sesuai bagi memastikan perkembangan fizikal, sosial, emosi, kognitif, dan komunikasi kanak-kanak dapat berjalan dengan baik. Tanpa aktiviti fizikal di luar rumah, kanak-kanak akan terdedah dengan risiko penggunaan gajet yang keterlaluan jika tiada pemantauan yang sewajarnya dibuat oleh ibu bapa.

Pandemik COVID-19 yang dihadapi pada waktu ini tidak seharusnya menghalang kerajaan dan anggota masyarakat  untuk meletakkan agenda kanak-kanak sebagai prioriti suatu keutamaan. Sejauh mana prioriti keutamaan terhadap kanak-kanak ini diletakkan membuktikan sejauh mana kita menghargai kanak-kanak golongan ini. Kelalaian kita pada hari ini mungkin akan dirasai kesannya oleh generasi akan datang selepas tempoh dua puluh tahun. Pastinya kita mahu mewariskan bumi bertuah ini kepada generasi utuh dan teguh yang akan membawa Malaysia mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama.

Sayangi dan lindungi anak-anak Malaysia.

Selamat menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia 2020.

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *