Ketatkan Kawalselia Penggunaan Internet Kanak-Kanak

Ketatkan Kawalselia Penggunaan Internet Kanak-Kanak

Seluruh masyarakat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita yang cukup meresahkan apabila media melaporkan satu insiden malang membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun merogol kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun pada minggu lalu.

Amat mendukacitakan kerana kedua-duanya adalah kanak-kanak dalam lingkungan umur yang perlu dilindungi. Lebih menyedihkan lagi apabila pelaku kesalahan merupakan anak kepada pengasuh yang diamanahkan untuk memberi perlindungan sementara kepada mangsa semasa ketiadaan ibu bapanya.

Sebagaimana yang dilaporkan media, perlakuan tersebut berlaku akibat terangsang selepas menonton video lucah di telefon bimbit. Bagaimana kanak-kanak berusia 12 tahun boleh terdedah kepada gajet dan video lucah yang mendorongnya melakukan perbuatan jijik dan terkutuk itu?

Namun kanak-kanak yang melakukan perbuatan tersebut tidak boleh didakwa sebagai merogol kerana mengikut undang-undang, kanak-kanak lelaki di bawah 13 tahun tidak berupaya melakukan kesalahan rogol. Bagaimana pula perlakuan tersebut boleh berlaku terhadap seorang kanak-kanak kecil sebanyak tiga kali tanpa disedari oleh penjaganya? Bagaimana emosi kanak-kanak mangsa berumur 4 tahun itu?

Hakikatnya ialah kedua-duanya adalah mangsa dari kecuaian orang dewasa dan kedua-duanya memerlukan bantuan segera dan sewajarnya.

Dengan penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia menyeru agar:

1) Setiap individu dewasa dalam masyarakat perlu bersikap prihatin dan menyedari bahawa tanggungjawab melindungi kanak-kanak berada di atas bahu setiap mereka tanpa boleh disangkal lagi

2) Tindakan untuk melindungi kedua-dua kanak-kanak tersebut perlu diambil dengan segera. Kanak-kanak yang didakwa dan yang menjadi mangsa perlu menjalani proses pemulihan dan kaunseling oleh pakar-pakar yang berkaitan.

3) Media perlu memainkan peranan yang berkesan bukan sekadar melapor malah mendidik masyarakat dengan maklumat yang berguna agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi.

4) Ibu bapa perlu peka dan mengambil peranan utama dalam memberikan pendidikan seksual dan kesihatan reproduktif kepada kanak-kanak sesuai dengan usia mereka. Justeru, ibu bapa perlu sentiasa memerhatikan aktiviti anak-anak, perubahan tingkah laku dan tabiat supaya intervensi awal dapat dilakukan sebelum terjadinya ketagihan dan mendorong kepada perbuatan keji ini.

5) Institusi keluarga perlu diperkasakan melalui pendidikan holistik dan menitikberatkan pendidikan agama. Penggunaan gajet seperti telefon bimbit yang mudah kepada akses internet perlu dikawal dan dipantau secara ketat.

6) Tindakan tegas perlu diambil ke atas ibu bapa atau penjaga pelaku sepertimana termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001 di mana ibu bapa mesti bertanggungjawab dan tidak akan terlepas sekiranya anak di bawah jagaan mereka melakukan sebarang perlakuan jenayah. Ini adalah satu cara bagi memastikan kanak-kanak yang telah melakukan jenayah atau yang menjadi mangsa tidak terus hanyut dan menderita.

7) Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui agensinya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu mengenakan kawalan yang sepatutnya terhadap laman-laman web dan portal pornografi daripada dapat diakses di atas talian.

Masalah yang berakar umbi dari ketagihan pornografi ini adalah masalah kita bersama. Setiap kita perlu berperanan mencetuskan kesedaran tentang permasalahan ini dan membantu mengekangnya dari terus merebak. Jika peranan penting ini dipandang serius, dijiwai dan dilaksanakan bersama di semua peringkat, tabiat buruk ini tidak mustahil dapat di kekang hingga akhirnya dapat menjamin masa depan yang sejahtera bagi generasi kanak-kanak kita.

Ustazah Hjh Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita,
Pertubuhan IKRAM Malaysia.
5 Julai 2019

Tingkatkan Usaha Basmi Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak

Tingkatkan Usaha Basmi Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak

KENYATAAN MEDIA
WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
30 OGOS 2019

Baru-baru ini, tular kes seorang warga Malaysia yang dijatuhi hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah United Kingdom atas 17 tuduhan pemilikan bahan-bahan pornografi kanak-kanak dalam pelbagai kategori termasuk kategori ekstrim. Beliau telah dibebaskan selepas 9 bulan dan seterusnya pulang ke Malaysia dan menyambung pengajian PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kebimbangan masyarakat adalah berasas, kerana isu keselamatan kanak-kanak adalah sesuatu yang sangat besar dan harus diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Pedofilia ialah sejenis penyakit mental yang boleh bermula sejak zaman kanak-kanak. Pesakit yang mengidap pedofilia (Pedofil) mempunyai kecenderungan syahwat yang tidak normal dan tidak wajar terhadap kanak-kanak terutamanya kanak-kanak di bawah umur 14 tahun. Ia melibatkan fantasi, rangsangan dan tingkah laku seksual terhadap kanak-kanak pada peringkat umur tersebut.

Menurut kajian antarabangsa, lebih kurang 80% pedofil mengaku tidak menyentuh kanak-kanak, namun mereka mempunyai fantasi seksual terhadap kanak-kanak. Kajian mendapati pedofil banyak menonton pornografi kanak-kanak serta video penderaan seksual kanak-kanak untuk mendapatkan kepuasan seksual mereka sendiri. Sumber utama bahan pornografi dan video ini adalah daripada internet dan media sosial.

Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 telah memperuntukkan hukuman yang jelas terhadap jenayah pedofila. Namun, tindakan pemantauan dan rawatan selepas hukuman dijalankan tidak digariskan dengan jelas. Oleh kerana pedofilia merupakan penyakit mental, pengidapnya boleh kembali semula (relapse) mengalami ketagihan tersebut. Pesakit perlu menjalani proses rawatan dan pemulihan psikiatri dalam jangka masa panjang untuk memastikan pesakit benar-benar pulih dan tidak lagi merupakan ancaman kepada kanak-kanak.

Oleh itu, kami menuntut dan menyarankan agar:

1. Usaha untuk memastikan rawatan dan kawalan berterusan ke atas pedofil yang telah menjalani hukuman undang-undang diteruskan secara terancang, seperti yang diperkatakan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Satu Majlis Tindakan Khas yang dianggotai pakar-pakar bidang perlu diwujudkan untuk mencadangkan rawatan berterusan dan garis panduan melibatkan majikan dan keluarga bagi pesalah-pesalah jenayah seksual kanak-kanak yang telah menjalani hukuman. Majlis yang dicadangkan ini boleh memberi input kepada pihak berwajib terhadap tindakan-tindakan susulan yang sesuai tanpa menghilangkan hak pesalah pedofil yang telah benar-benar sembuh untuk kembali menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab.

2. Daftar Pesalah Seksual dikembangkan dengan memasukkan maklumat semua pesalah seksual sebelum tahun 2017, walaupun mereka tidak melakukan jenayah di negara ini. Pelancong asing yang mempunyai rekod salahlaku seksual di negara mereka tidak wajar dibenarkan masuk ke negara ini. Usaha untuk menyelaraskan maklumat Daftar Pesalah Seksual Malaysia dengan Daftar Pesalah Seksual dari negara-negara lain di peringkat jabatan-jabatan imigresen setiap negara perlu diperincikan dengan mengambil kira peruntukan undang-undang terkait.

3. Mahkamah Jenayah Khas bagi mengendalikan prosiding jenayah seksual terhadap kanak-kanak diperbanyakkan di seluruh negara. Mahkamah ini dianggotai pegawai perundangan yang dilatih untuk memiliki kepakaran untuk megendalikan kes-kes berkaitan jenayah seksual kanak-kanak.

4. Mekanisma untuk memantau gajet, komputer dan segala peralatan elektronik pesalah perlu diwujudkan untuk memastikan mereka tidak lagi terlibat memiliki, menyimpan, menghasilkan, mengedar dan menyebarkan bahan-bahan pornografi kanak-kanak. Selain itu, usaha untuk membanteras penghasilan dan penyebaran bahan-bahan pornografi kanak-kanak oleh mana-mana pihak perlu ditingkatkan.

5. Usaha memberi kesedaran jenayah seksual terhadap kanak-kanak di dalam masyarakat dipergiatkan oleh semua pihak, baik di peringkat kerajaan, swasta dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Pihak sekolah, ibubapa dan komuniti setempat perlu diberi kefahaman tentang bahaya pornografi dan kesannya terhadap masyarakat. Masyarakat harus menyedari bahawa kita semua bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang sejahtera, selesa, selamat dan bermanfaat kepada kanak-kanak.

Semoga Malaysia terus maju dan aman sejahtera untuk anak-anak kita.

Ustazah Hjh Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita,
Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Disokong oleh:
1. Malaysians Against Pornography
2. Yayasan Atfal Jannah
3. Psikospiritual Ikram (PSI)

Penyusuan Susu Ibu: Sistem Sokongan yang Efektif perlu diwujudkan

Penyusuan Susu Ibu: Sistem Sokongan yang Efektif perlu diwujudkan

KENYATAAN MEDIA WANITA IKRAM
2 Ogos 2019 / 1 Zulhijjah 1441H

Semua ibu digalakkan menyusui anak mereka dengan susu ibu sejak lahir sehingga berumur enam bulan dan meneruskannya sehingga mencapai umur dua tahun.

Allah telah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 233,
“Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, yaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan seorang ayah karena anaknya, dan warispun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin menyapih (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Kajian telah menunjukkan bahawa banyak faedah menyusukan bayi dengan susu ibu. Di antaranya ialah perkembangan psikomotor, emosi dan sosial yang lebih baik, perkembangan daya intelek yang lebih baik (IQ tinggi), kurang risiko kencing manis, kanser, jangkitan telinga dan pneumonia, antibodi tinggi untuk melawan penyakit, kurang risiko Sindrom Kematian Mengejut, penghadaman yang mudah, menggalakkan tumbesaran dan banyak lagi.

Menurut World Alliance for Breastfeeding Action (WABA), hanya 40% bayi di bawah umur 6 bulan diberikan penyusuan ibu secara eksklusif manakala 45% meneruskan penyusuan susu ibu sehingga 24 bulan.

Mengikut kajian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, hanya 46% ibu menyusukan bayi mereka untuk tempoh 4 bulan pertama dan Malaysia merupakan antara negara terendah di Asia Tenggara yang memberikan penyusuan susu ibu secara eksklusif.

Temubual yang dijalankan di sebuah Hospital Universiti di Kuala Lumpur menunjukkan 67% ibu memberhentikan penyusuan kerana kekurangan susu ibu serta kebanyakan bayi mula diberikan makanan selain daripada susu ibu seawal umur 3 1/2 bulan.

Para ibu yang berpendapatan tinggi juga didapati memberhentikan penyusuan susu ibu lebih awal berbanding mereka yang berpendapatan rendah.

Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan bagi mencapai sasaran World Health Assembly (WHA) iaitu 50% bayi mendapat penyusuan susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan.

Justeru, Wanita IKRAM menyarankan agar:

1. Pemerkasaan Polisi Perlindungan Sosial untuk ibu bapa yang merangkumi cuti bergaji kepada ibu bapa bagi tujuan penjagaan bayi, polisi tempat kerja yang fleksibel bagi membolehkan penyusuan susu ibu serta bantuan kewangan daripada pihak kerajaan bagi membantu penyusuan susu ibu.

2. Penyediaan ruang khas untuk menyusu di tempat kerja bagi memudahkan para ibu menyusukan bayi atau mengepam dan menyimpan susu.

3. Penerapan nilai yang baik kepada para bapa sebagai penyokong kepada para ibu dalam penyusuan susu ibu.

Ayuh kita berganding bahu mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi memperkasakan peranan ibu bapa yang seterusnya membolehkan penyusuan susu ibu dapat dijalankan dengan baik.

USTAZAH HJH SALLAWAHIU MOHD SALLEH
Ketua Wanita,
Pertubuhan IKRAM Malaysia.