KENYATAAN MEDIA

bersempena

HARI WANITA SEDUNIA 2022

Wanita IKRAM Malaysia mengucapkan “Selamat Hari Wanita Sedunia” kepada semua wanita di mana sahaja anda berada.

Tanggal 8 Mac disambut saban tahun sebagai ‘Hari Wanita Sedunia’ bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan tanpa mengira perbezaan negara, etnik, linguistik, budaya, ekonomi atau politik.

Wanita IKRAM menyambut baik tema sambutan Hari Wanita Sedunia 2022 yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu “Saksama Bersama”. Tema ini adalah selari dengan tema yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu “Gender Equality Today for a Sustainable Tomorrow” atau “Kesaksamaan Gender Hari Ini Untuk Kelestarian Masa Depan” yang menyeru secara khusus kepada tindakan menangani krisis iklim untuk wanita oleh wanita. Walaupun tema PBB tersebut adalah memfokuskan kepada peranan wanita dalam menangani krisis iklim, namun seruan untuk memperkasakan wanita adalah sangat sinergistik dengan tema “Saksama Bersama”.

Suasana negara yang sangat tidak menentu baik dari segi politik dan ekonomi serta kesan krisis iklim seperti perubahan cuaca yang mendadak dan banjir besar menuntut semua wanita untuk terlibat secara aktif melakukan perubahan. Laporan PBB pada tahun 2022 telah menunjukkan bahawa negara yang mempunyai peratus wanita yang lebih tinggi di parlimen cenderung untuk mengamalkan dasar negara yang lebih bijaksana dengan tadbir urus sumber yang lebih saksama dan inklusif. Secara umumnya, wanita cenderung untuk mempertimbangkan keluarga dan komuniti dalam proses membuat keputusan iaitu aspek yang penting untuk mencapai penyelesaian holistik dan menghasilkan tindakan yang berkesan dalam semua situasi. Usaha semua pihak harus digembeling untuk mengkaji peluang serta kekangan yang wujud dalam memperkasakan wanita agar terus bersuara dan terlibat sama dalam membuat keputusan bagi memastikan masa depan negara yang mampan dan saksama untuk semua lapisan masyarakat. 

Seruan “Saksama Bersama” sempena Hari Wanita Sedunia 2022 sewajarnya berlandaskan lunas-lunas agama yang meraikan fitrah manusiawi dengan penuh keadilan. Oleh itu, bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2022, Wanita IKRAM menyeru kepada semua pihak, khususnya wanita untuk terus berusaha:

1.   Meningkatkan keterampilan dan keyakinan diri serta mengambil inisiatif merancang untuk mengisi semua peluang yang ada demi membela dan memartabatkan kedudukan wanita bersesuaian dengan peranan dan tanggungjawab seperti yang telah ditetapkan oleh Allah SWT; 

2. Bersama atas dasar semangat lengkap melengkapi dengan kaum lelaki, suami dan bapa dalam melaksanakan tanggungjawab membangunkan keluarga dan mendidik generasi masa hadapan yang berakhlak, bermaruah dan berdaya saing bagi memajukan negara;

3.  Melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan secara berterusan bagi membela golongan wanita yang teraniaya;

4.  Berperanan dalam menentukan kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti bagi memastikan agenda pembangunan dan pembelaan kepada wanita serta pembangunan negara dilaksanakan dengan adil dan saksama. Wanita perlu memahami bahawa pengaruh dan sokongan kita mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara harmoni yang bebas dari segala penyelewengan dan rasuah.

Semoga penglibatan yang lebih aktif oleh semua wanita dapat membawa masa depan yang lebih saksama untuk wanita dan masyarakat keseluruhannya. 

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh 

Ketua Wanita 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *