Kenyataan Media sempena Hari Ibu 2021

Ibu pelindung, ibu dilindungi

Wanita IKRAM Malaysia mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu.

Hari Ibu disambut pada hari Ahad kedua bulan Mei setiap tahun. Pada tahun ini, Sambutan Hari Ibu jatuh pada 9hb Mei dan membawa tema “Ibu Pelindung, Ibu Dilindungi”.

Dalam sebuah hadis daripada koleksi Imam Bukhari, telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. pernah ditanya akan individu yang paling berhak ditujukan amal bakti. Rasulullah s.a.w lantas menjawab “Ibu!” sebanyak tiga kali, dan jawapan keempat, baru disebut “Ayah!”

Hadith ini jelas mengiktiraf pengorbanan seorang insan bergelar ibu terhadap anak-anaknya, bermula daripada penjagaan anak-anak di dalam rahimnya sehinggalah mereka remaja belia.

Seorang ibu memainkan peranan penting dalam memastikan suami dan anak-anaknya beroleh kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga. Ini termasuk memastikan penerapan nilai dan akhlak mulia, keseimbangan pemakanan, serta kesihatan mental dan jasmani ahli keluarganya.

Dalam usaha negara untuk membendung penularan COVID-19 di dalam masyarakat masa kini, kejelasan kefahaman terhadap usaha vaksinisasi dan dokongan usaha tersebut daripada seorang ibu dapat memastikan seluruh ahli keluarganya turut dilindungi daripada jangkitan virus tersebut, dengan izinNya.

Dengan segala pengorbanan yang telah dicurahkan, maka selayaknya insan bergelar “ibu” ini, dikasihi dan dihormati oleh ahli keluarga sehingga ke akhir hayatnya. Semestinya tidak wajar seorang ibu itu disisih dan diabaikan, apatah lagi didera.

Berita Harian Online pada 21hb. Feb 2021 telah melaporkan seorang ibu tua ditinggalkan di tepi jalan oleh anggota keluarga sendiri. Paling menyedihkan apabila kerap terjadi kes-kes jenayah terhadap ibu sehingga berlakunya pembunuhan. Malangnya, jenayah tersebut biasanya dilakukan oleh anak sendiri yang kebanyakkannya terkait kes penyalahggunaan dadah.

Namun tidak dinafikan, kadang-kadang, kedengaran kes ibu mendera anak-anak sehingga mengakibatkan kematian. Naluri keibuan dan sikap ibu sebagai pelindung bagaikan terhapus sama sekali.

Kedua-dua senario ibu sebagai mangsa dan pemangsa ini tidak boleh di ambil mudah. Ianya boleh menjadi wabak yang akan meruntuhkan sistem kekeluargaan di negara ini.

Mengikut tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2019), kadar kemurungan golongan dewasa di Malaysia adalah 2.3 peratus iaitu seramai setengah juta orang. Manakala Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 24 hb. Disember 2020 masih kekal pada tahap sederhana iaitu 7.72.

Sudah pasti, tekanan emosi dan masalah kesihatan mental termasuk kemurungan akibat kesempitan hidup serta hilang arah tujuan yang sebenar menjadi antara sebab senario di atas terjadi. Semestinya perkara ini perlu dihalusi dan ditangani agar masalah-masalah ini dapat dibendung dan ditangani dengan baik.

Oleh itu, bersempena Sambutan Hari Ibu 2021, Wanita IKRAM ingin menyarankan dan mengajak semua untuk;

  1. Memupuk kembali nilai murni di dalam keluarga untuk menghormati dan menyayangi kaum ibu terutama yang sudah berusia pada setiap masa dan ketika.
  2. Mengukuhkan insititusi kekeluargan dengan menyemarakkan ikatan kasih sayang antara satu sama lain di dalam keluarga.
  3. Memberi kesedaran kepada masyarakat secara berterusan dengan ilmu pengetahuan dan peranan sebagai ahli keluarga yang bertanggungjawab.
  4. Pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensinya perlu sentiasa memantau Akta Keganasan Rumahtangga 1994 serta dapat mewujudkan Akta Melindungi Warga Emas bagi melindungi kaum ibu daripada penderaan dan pengabaian oleh anggota keluarga.

Hargailah ibu tersayang selagi mereka masih ada di sisi. Semoga hikmah pandemik mengangkat kembali kemuliaan dan martabat seorang ibu di mata dunia.

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

KeluargaRahmah

IbuPelindungIbuDilindungi

IKRAMCaknaVaksinasiCOVID19

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *