Peranan agensi wakaf dalam pentadbiran wakaf di Malaysia

Berdasarkan undang-undang di Malaysia, bidang kuasa pentadbiran wakaf terletak di bawah bidang kuasa negeri sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Jadual 9, Senarai II: Senarai Negeri (Perlembagaan Persekutuan, 1963). Setiap negeri menerusi Enakmen/Ordinan Agama Islam masing-masing telah menetapkan bahawa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) merupakan pemegang amanah tunggal bagi harta wakaf di negeri tersebut.

Walau bagaimanapun, peranan wakaf dilihat sukar mencapai tahap kelestarian terutamanya dalam aspek menjana manfaat dan mengurus harta wakaf dengan baik. Masyarakat amat menaruh kepercayaan kepada institusi wakaf untuk menggembleng hartanah wakaf sedia ada di Malaysia yang berjumlah 11,091.82 hektar pada tahun 2015. Antara masalah pengurusan wakaf yang telah dikenal pasti adalah kekangan dari segi operasi, kekangan sumber manusia dan paling utama adalah kekangan dari segi kewangan yang diperlukan untuk melaksanakan fungsi wakaf dengan baik dalam tempoh jangka masa panjang. Oleh itu, bagi mengurus harta wakaf dengan lebih cekap, maka beberapa Majlis Agama Islam Negeri telah mewujudkan agensi wakaf  bagi membantu urus tadbir harta wakaf untuk jangka panjang.

Agensi wakaf merujuk kepada organisasi sama ada dalam bentuk perbadanan, syarikat atau koperasi yang ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mengurus dan membangunkan harta wakaf. Agensi wakaf ini  merupakan hak milik penuh MAIN dan mempunyai punca undang-undang yang sah untuk mengurus dan membangunkan wakaf. Beberapa agensi wakaf telah dikenalpasti berjaya membantu MAIN mengurus harta wakaf seperti di Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Wilayah Persekutuan.

Negeri Sarawak merupakan negeri yang pertama mempunyai agensi wakafnya sendiri iaitu Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang ditubuhkan pada tahun 1984. Walau bagaimanapun, peranan Wakaf hanya dapat dilaksanakan setelah mendapat punca kuasa pelantikan sebagai pemegang amanah wakaf daripada Majlis Islam Sarawak (MIS) pada tahun 2001. Seterusnya Negeri Sembilan menubuhkan agensi wakaf dengan nama Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan (PWNS) pada tahun 2005.

Wakaf Korporat AnNur Berhad, di Johor  juga adalah antara agensi wakaf korporat yang berjaya bermula sejak tahun 2000 dan menggunakan nama baharu ini pada 2009. Negeri Selangor juga menubuhkan Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) pada tahun 2011. Seterusnya negeri lain yang menubuhkan agensi wakaf adalah Negeri Perak dengan nama Wakaf Ar-Ridzuan pada tahun 2016 dan diikuti oleh Wilayah Persekutuan dengan nama Pusat Wakaf Wilayah Persekutuan juga pada tahun 2016.

Penubuhan agensi ini menunjukkan komitmen MAIN selaku pemegang amanah wakaf untuk melaksanakan pengurusan wakaf dengan lebih baik dengan penubuhan agensi wakaf secara korporat. Perubahan pentadbiran wakaf daripada Jabatan Kerajaan kepada agensi wakaf berbentuk korporat ini sebenarnya telah dilaksanakan di beberapa buah negara luar. Sebagai contoh negara Kuwait telah mengkorporatkan institusi wakafnya pada tahun 1993. Manakala negara Qatar telah mengkorporatkan institusi wakaf pada tahun 1996. Singapura telah mengkorporatkan Bahagian Hartanah, Majlis Ugama Islam Singapura kepada Warees Investment Pte Ltd (Warees) pada tahun 2002, diikuti Jordan pada tahun 2003, Emiriah Arab Bersatu pada tahun 2004 dan yang Arab Saudi pada tahun 2016. Justeru itu, penubuhan agensi wakaf oleh beberapa negara Arab juga menunjukkan keperluan untuk mewujudkan agensi wakaf yang ditadbir secara korporat di negara tersebut untuk membantu perkembangan wakaf yang lebih positif.

Agensi wakaf berperanan membantu pihak MAIN menguruskan harta wakaf dengan lebih efisien dan profesional. Walaupun MAIN merupakan pemegang amanah tunggal hartanah wakaf, namun pengurusan hartanah memerlukan mereka yang pakar dan berpengetahuan dalam pengurusan terutamanya berkaitan pembangunan hartanah. Peranan agensi wakaf seperti TBS di Sarawak adalah untuk membangunkan serta meneroka peluang dan potensi hartanah wakaf di Sarawak.

Manakala peranan PWS adalah menguruskan harta wakaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan baik seperti mengkaji, merancang, membangun serta menyelenggarakan aset wakaf.

Peranan Pusat Wakaf Negeri Sembilan (PWNS) pula adalah untuk menjalankan pengurusan wakaf dan perkara-perkara yang berkaitan dengan wakaf secara profesional dan teratur. Peranan yang hampir sama ini menunjukkan bahawa ketiga-ketiga agensi diperlukan oleh MAIN untuk membangunkan dan menguruskan harta wakaf dengan lebih cekap dan profesional.

Selain daripada peranan tersebut di atas, kesemua agensi wakaf ini juga berperanan untuk memungut wakaf tunai yang telah dibenarkan dilaksanakan di Malaysia selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-77 pada tahun 2007 (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 2009). Wakaf tunai ini dapat membantu agensi wakaf membina dan memperolehi dana untuk membangunkan dan mengembangkan aset wakaf oleh pihak MAIN.

Secara amnya, penubuhan agensi wakaf ini dilihat lebih fleksibel berbanding dengan pentadbiran secara terus oleh MAIN yang mempunyai kekangan terdahulu dalam melaksanakan peranan wakaf.Penubuhan agensi wakaf secara korporat oleh MAIN banyak membantu melengkapkan peranan MAIN sebagai pemegang amanah wakaf. Banyak projek dapat dilaksanakan oleh agensi wakaf berdasarkan keupayaan kepakaran dan kebolehan untuk melaksanakannya.

Oleh itu, besar harapan kita supaya agensi wakaf ini terus berusaha membantu menjana manfaat keuntungan dari pengurusan projek wakaf dengan lebih baik selain mempunyai kakitangan yang sesuai untuk pembangunan dan pengurusan wakaf yang efisien.  Bentuk kerjasama oleh agensi wakaf dengan berbagai pihak seperti institusi bank dan institusi pendidikan juga banyak membantu untuk  menjayakan pembangunan wakaf dan menyedarkan masyarakat. Oleh itu, semua faktor yang membantu untuk kelestarian kewangan dapat ditingkatkan dengan penubuhan agensi wakaf ini. Penubuhan agensi wakaf adalah satu perubahan positif yang boleh dilaksanakan oleh MAIN dan sebagai inspirasi kepada negeri lain di Malaysia yang masih belum melantik agensi wakaf untuk membawa pembangunan wakaf ke arah kelestarian kewangan yang lebih cekap dan berjaya di masa hadapan.

Ditulis oleh Dr Amalina Abdullah.

Pensyarah kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.

Timbalan Presiden, Malaysian Association of Muslim Finance Professionals (MFP).

Boleh dihubungi melalui: [email protected]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *