Kenyataan Media sempena Hari Wanita Sedunia 2021

8 Mac 2021

“Kepimpinan Wanita Pasca COVID-19: Pilih untuk Saksama”

Wanita IKRAM Malaysia mengucapkan “Selamat Hari Wanita” kepada semua wanita di mana sahaja anda berada.

Tarikh 8hb Mac setiap tahun merupakan ‘Hari Wanita Sedunia’ yang menjadi lambang solidariti terhadap wanita di seluruh dunia. Ia bertujuan untuk menghargai pengorbanan wanita serta mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan.

Pada tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menetapkan tema sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 sebagai “Wanita Bangkit Mendepani Cabaran”.

Di peringkat antarabangsa pula, Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menetapkan tema sambutan yang lebih khusus dengan suasana semasa dunia yang berdepan dengan sebuah pandemik, iaitu “Women in Leadership: Achieving an equal future in a COVID19 world” atau “Kepimpinan Wanita: Meraih Masa Hadapan Yang Sama Rata Dalam Dunia Bersama COVID19”.

Tema PBB ini bertujuan untuk menekankan kepentingan adanya pemimpin yang cakna terhadap kebajikan dan keperluan wanita dalam dunia yang terkesan akibat pandemik COVID19.

Akhbar tempatan telah banyak melaporkan kesan langsung pandemik COVID19 terhadap golongan wanita. BH Online pada 6hb April 2020 melaporkan bahawa seramai190,000 orang telah terjejas disebabkan pandemik COVID19.

Satu kajian oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada bulan September 2020 mendapati sebanyak 30% daripada ibu tunggal tidak boleh bekerja berbanding kadar pengangguran kebangsaan iaitu sebanyak 5%. Kajian itu turut mendapati sebanyak 80% wanita daripada ibu tunggal mengalami tekanan emosi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) turut melaporkan sebanyak 4872 aduan kes keganasan rumahtangga telah diterima sepanjang tempoh PKP, iaitu peningkatan sebanyak 14% daripada biasa.

Data serupa turut dilaporkan oleh Talian Kasih KPWKM yang mencatatkan bilangan kes sebanyak 1929 dalam tempoh yang sama.

Impak negatif terhadap sosio-ekonomi golongan wanita ini telah banyak dihurai oleh kajian di peringkat antarabangsa. Pada kebiasaannya, golongan wanitalah yang terpaksa memikul peranan tambahan dalam mengurus rumah tangga, anak-anak atau penjaga informal (informal caregiver) bagi ahli keluarga yang sakit, di samping bekerja sepenuh masa dari rumah. Oleh yang demikian, semestinya mereka memerlukan sokongan padu daripada suami dan keluarga khususnya, serta masyarakat dan pihak berwajib amnya.

Hak yang dituntut oleh golongan wanita sewajarnya perlu berlandaskan lunas-lunas agama yang meraikan fitrah manusiawi dan kekuatan serta kelemahan kedua-dua golongan lelaki dan wanita. Lantas, dalam menuntut keadilan, prinsip kesaksamaan perlu ditekankan.

Oleh itu, bersempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 2021, Wanita IKRAM ingin menyeru kepada semua pihak, wanita khususnya untuk:

1. Berusaha meningkatkan kemampuan diri lantas tampil mengambil kedudukan memimpin serta membimbing ahli keluarga dan masyarakat. Hal ini perlu untuk mengisi ruang-ruang pembangunan yang ada demi membela dan memartabatkan kedudukan wanita yang disesuaikan dengan peranan dan tanggungjawab seperti yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

2. Terus berusaha mendorong dan mengingatkan kaum lelaki, suami dan bapa agar terus berperanan sebagai pelindung kepada wanita walau di mana sahaja mereka berada. Anak-anak lelaki perlu dididik untuk memahami tanggungjawab ini. Wanita ke hadapan bukan bertujuan untuk mengambil alih tugas dan tanggungjawab asas kaum lelaki yang telah diamanahkan kepada mereka, sebaliknya untuk saling melengkapkan dalam menyumbang kepada kesejahteraan umat dan negara.

3. Berterusan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Bekalan diri ini diperlukan dalam meneruskan perjuangan membela nasib golongan wanita terpinggir mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh syariat.

4. Mengambil peranan dalam menentukan kepimpinan negara bagi memastikan agenda pembelaan kepada kaum wanita dan pembangunan negara dilaksanakan dengan adil dan saksama. Wanita perlu menyedari bahawa pengaruh dan sokongan kita mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara harmoni yang bebas dari segala penyelewengan dan rasuah.

Semoga dunia pasca COVID19 membawa masa depan yang lebih saksama untuk wanita keseluruhannya.

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh

Ketua Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *