Hentikan Keganasan Terhadap Wanita

Kenyataan media sempena Hari Antarabangsa Bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita

25 November 2020

Hentikan Keganasan Terhadap Wanita

Semenjak tahun 1999, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan tarikh 25 November sebagai Hari Antarabangsa Bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita. Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan adalah salah satu pelanggaran hak asasi manusia yang paling meluas, berterusan dan dahsyat di dunia kita hari ini serta masih banyak yang tidak dilaporkan disebabkan oleh stigma dan rasa malu yang berkaitan dengannya. Kelompok wanita yang kerap menjadi mangsa keganasan adalah wanita daripada kumpulan minoriti; orang asal, pendatang dan tebusan; wanita yang hidup dalam kemiskinan dan terasing dari pembangunan; wanita dalam tahanan, wanita cacat dan wanita berumur serta kanak-kanak perempuan.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 57,519 kes keganasan terhadap wanita dilaporkan sejak 2010 hingga Mac 2017. Terdapat sebanyak 23,212 kes atau 40 peratus daripadanya adalah kes keganasan rumah tangga yang melibatkan wanita sebagai mangsa. Data daripada Jabatan Statistik Malaysia pula menunjukkan bahawa kes keganasan rumah tangga adalah sebanyak 69,978 kes dari tahun 2010 sehingga Mei 2018. Manakala bagi kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tempoh 2010 hingga 2016 dalah sebanyak 28,365 kes. Statistik terkini PDRM iaitu pada Januari hingga November tahun lalu mempamerkan 4,963 kes melibatkan penderaan seksual terhadap wanita.

Kemunculan pandemik Covid-19 telah banyak mengesani cara hidup semua lapisan masyarakat dunia termasuk Malaysia. Antara kesan yang ketara adalah terdapat peningkatan berlakunya keganasan terhadap wanita yang semakin membimbangkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 lalu. Pertubuhan Pertolongan Wanita atau Women’s Aid Organisation (WAO) telah melaporkan bahawa pertanyaan mengenai keganasan rumah tangga yang ditujukan kepada talian perkhidmatan mereka telah meningkat lebih daripada tiga kali ganda pada bulan Mei berbanding pada tahap awal PKP dijalankan.

Wanita IKRAM ingin menegaskan bahawa:

• Keganasan terhadap wanita boleh berlaku dalam rumah tangga mahupun di tempat awam yang meliputi bukan hanya keganasan yang berlaku dalam bentuk fizikal malah juga keganasan yang berbentuk seksual, psikologi dan emosi. Jenis-jenis keganasan yang berlaku merangkumi penderaan terhadap ahli keluarga yang dilakukan oleh pasangan sendiri atau ahli keluarga terdekat, rogol, gangguan jalanan, stalking (mengendap), gangguan siber dan pemerdagangan manusia.

• Wanita dan kanak-kanak sebagai golongan yang lemah perlu dilindungi dan diselamatkan sekiranya didapati keselamatan mereka terganggu

.• Pihak berkuasa seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mahkamah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) perlu terus berperanan secara bersinergi dan bersepadu dalam membanteras isu ini.

• Segala inisiatif yang telah diusahakan oleh pihak KPWKM perlu diperkasakan untuk menunjukkan keseriusan pihak kerajaan dalam isu menangani keganasan terhadap wanita. Akta gangguan seksual yang telah digubal oleh pihak kementerian bersama agensi kerajaan yang lain dan juga NGO perlu diperhebatkan usaha untuk segera diluluskan. Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga yang telah dimulakan perlu dilonjakkan peranannya bagi memastikan langkah-langkah intervensi dapat dilaksanakan.

• Infrastruktur dan sokongan dalam menangani isu ini perlu ditingkatkan seperti menambah rumah perlindungan sementara, memberikan bantuan kewangan kepada pemandiri (mangsa) secara terus di samping memperbanyakkan peruntukan kewangan kepada perkhidmatan sokongan bagi kes keganasan rumah tangga dan jenayah terhadap wanita.

• Kerajaan serta agensinya bertanggungjawab menyediakan persekitaran selamat bagi membolehkan setiap ahli masyarakat hidup dan berkembang dengan sihat serta sejahtera.

Wanita IKRAM mengajak semua warga Malaysia untuk bersama-sama:

1. Memberi kesedaran serta pendidikan tentang isu ini kepada ahli keluarga dan kenalan. Tiga isu utama yang menjadi kerisauan kepada wanita ialah gangguan seksual, eksploitasi wanita dan kanak-kanak perempuan di media serta keganasan rumahtangga. Walaupun kebanyakan kita merasakan isu yang berlaku adalah berkaitan masalah keluarga tersebut, namun apabila berlaku keganasan, ia sudah menjadi jenayah yang perlu diambil peduli oleh jiran tetangga mahupun masyarakat sekeliling.

2. Membantu pemandiri dengan mengubah persepsi wanita yang merasakan bahawa dirinya sebagai golongan lemah dan membiarkan diri terus menjadi mangsa keganasan serta perlakuan jenayah sehingga membawa kemudaratan kepada bukan sahaja diri mereka malah orang-orang di bawah jagaan mereka.

3. Merujuk serta melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlakunya isu ini di kalangan ahli keluarga atau kenalan.

4. Menzahirkan sokongan terhadap usaha-usaha NGO seperti IKRAM dengan menyertai kempen mengenai keselamatan wanita. Sila lawati laman sesawang Wanita IKRAM dan facebook Wanita IKRAM Malaysia.

Bersama kita “Hentikan Keganasan Terhadap Wanita”

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh

Ketua Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *