Beranak Seorang Menjaga Beramai: Antara Isu dan Kesejahteraan Anak-Anak

Pada 13 Oktober lalu, media utama kembali hangat dengan isu kanak-kanak apabila umum dikejutkan dengan peristiwa tragis yang menimpa bayi berusia 8 bulan yang dibunuh dan dilumur dengan garam oleh bapa kandungnya di Bachok Kelantan. Pada hari yang sama juga laporan dokumentari 999 TV3 menyiarkan serbuan pihak polis menerusi Op Sarang di sebuah flat di Petaling Jaya dengan penahanan 28 penagih dadah termasuk seorang bapa yang diberkas di dalam bilik bersama anak berusia 1 tahun yang sedang tidur.

Sebagai anggota masyarakat yang prihatin, wajarkah kita sekadar membiarkan berita sebegini berlalu di ruangan suapan berita dan mengurut dada sambil berkata “mujur ini bukan keluargaku..”

Kanak-kanak adalah aset penting negara. Menurut Jabatan Perangkaan Negara pada tahun 2019 dianggarkan terdapat 9.3 juta kanak-kanak yang berusia 18 tahun ke bawah di Malaysia. Jumlah ini merupakan hampir 30% dari penduduk di negara ini. Namun, saban tahun pula kita menyaksikan peningkatan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak. Menurut sumber Jabatan Kebajikan Masyarakat, pada tahun 2015 terdapat 4453 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan. Angka ini meningkat kepada 4982 kes pada 2016, dan 5537 kes pada tahun 2017.

Ibu bapa dan penjaga memainkan peranan yang paling utama bagi memastikan hak kanak-kanak sebagai individu dilindungi, serta kebajikan dan keselamatan mereka terjaga. Selain perlindungan fizikal, ibu bapa bertanggungjawab memberikan kasih sayang dan perlindungan dari sudut emosi dan psikologi agar kanak-kanak dapat membesar dan seterusnya menjadi anggota masyarakat yang baik. Banyak kajian menunjukkan pengalaman 5 tahun awal kanak-kanak mempengaruhi tingkah laku dan personaliti kanak-kanak apabila dewasa kelak. Maka, kelangsungan generasi yang baik pastinya bermula daripada pendidikan awal di rumah.

Namun, kebelakangan ini sering kita dengar kes-kes penderaan kanak-kanak yang dilakukan oleh mereka yang diberi tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak itu sendiri.  Ada kalanya rumah bukan lagi tempat yang paling selamat buat seorang kanak-kanak. Di sini terletaknya peranan anggota masyarakat dalam memastikan kanak-kanak di persekitaran tempat tinggal mereka selamat. Jika mereka tidak dilindungi dan tidak mendapat akses kepada pendidikan yang baik, mereka akan membesar menjadi liabiliti kepada masyarakat. Dalam memastikan setiap kanak-kanak di dalam komuniti terjaga, seharusnya tidak wujud istilah “jaga tepi kain orang.” Intervensi awal jiran-jiran dan keprihatinan masyarakat setempat pastinya dapat mengelakkan keadaan lebih buruk seperti kejadian jenayah dan kematian daripada berlaku kepada kanak-kanak.

Badan bukan kerajaan (NGO) juga harus berganding bahu bersama-sama dalam mewujudkan komuniti yang selamat buat kanak-kanak. Sebagai contoh, SURIANA Welfare Society Malaysia yang menjalankan aktiviti kanak-kanak di tempat kediaman padat penduduk untuk menangani isu penderaan kanak-kanak. NGO-NGO juga dapat memainkan peranan dengan memberi pendidikan kepada ibu bapa tentang peranan mereka sebagai benteng pertama kanak-kanak. Pertubuhan IKRAM Malaysia melalui Projek IMPAK (Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak-Anak) berusaha memberi pendidikan keibubapaan kepada ibu bapa dari golongan B40 di seluruh negara. Banyak lagi NGO yang membuat pelbagai inisiatif bagi memberi impak positif kepada kanak-kanak dan ibubapa. Sebagai anggota masyarakat, setiap individu dewasa boleh menyumbang dengan menjadi sukarelawan kepada badan-badan ini supaya lebih ramai ibu bapa dan kanak-kanak mendapat manfaat dari inisiatif-inisiatif yang dijalankan. 

Kerajaan melalui jabatan dan agensinya pula perlu mengambil langkah yang lebih proaktif seperti menyediakan tempat selamat di kawasan kediaman berisiko tinggi seperti projek perumahan B40 di mana isu pengabaian dan penderaan ini sering berlaku. Kerajaan juga perlu mengkaji polisi berkaitan ibu bapa yang dipraktikkan di negara maju, contohnya memberi pendidikan keibu bapaan wajib bagi ibu bapa muda seperti yang dipraktikkan di England. Laporan dari Astro Awani pada tahun 2015 menunjukkan bahawa rata-rata ibu bapa tidak mengetahui mengenai peruntukan dan implikasi yang termaktub di dalam Akta Kanak-Kanak 2001. Polisi yang lebih holistik dan melibatkan pelbagai kementerian perlu dirangka, memandangkan isu pengabaian kanak-kanak berkait rapat dengan masalah kewangan, pengangguran dan kesihatan mental ibu bapa. Hukuman lebih berat perlulah dilihat sebagai jalan terakhir setelah semua langkah proaktif telah dijalankan.

Pepatah Melayu lama ada menyebut, beranak seorang menjaga beramai. Ia mengajar kita bahawa pada hakikatnya, tanggungjawab terhadap kesejahteraan hidup seorang kanak-kanak itu perlu digalas bersama-sama oleh seluruh anggota masyarakat. Tidak ada gunanya kita menuding jari kepada mana-mana pihak apabila melihat statistik pengabaian yang semakin meningkat. Sudah tiba masanya setiap dari kita memainkan peranan yang sewajarnya bagi memastikan hak modal insan terpenting yang bakal mencorak masa depan negara ini terjamin sepenuhnya. Sayangi dan lindungi anak-anak Malaysia!

Nukilan:

Pn. Nurhakimah Mohamud
PSU Wanita IKRAM Pusat
Unit Advokasi Kanak-Kanak Wanita IKRAM Pusat

#perlindungankanakkanak

#sayasayangkanakkanak

#SALAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *