Ketatkan Kawalselia Penggunaan Internet Kanak-Kanak

Seluruh masyarakat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita yang cukup meresahkan apabila media melaporkan satu insiden malang membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun merogol kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun pada minggu lalu.

Amat mendukacitakan kerana kedua-duanya adalah kanak-kanak dalam lingkungan umur yang perlu dilindungi. Lebih menyedihkan lagi apabila pelaku kesalahan merupakan anak kepada pengasuh yang diamanahkan untuk memberi perlindungan sementara kepada mangsa semasa ketiadaan ibu bapanya.

Sebagaimana yang dilaporkan media, perlakuan tersebut berlaku akibat terangsang selepas menonton video lucah di telefon bimbit. Bagaimana kanak-kanak berusia 12 tahun boleh terdedah kepada gajet dan video lucah yang mendorongnya melakukan perbuatan jijik dan terkutuk itu?

Namun kanak-kanak yang melakukan perbuatan tersebut tidak boleh didakwa sebagai merogol kerana mengikut undang-undang, kanak-kanak lelaki di bawah 13 tahun tidak berupaya melakukan kesalahan rogol. Bagaimana pula perlakuan tersebut boleh berlaku terhadap seorang kanak-kanak kecil sebanyak tiga kali tanpa disedari oleh penjaganya? Bagaimana emosi kanak-kanak mangsa berumur 4 tahun itu?

Hakikatnya ialah kedua-duanya adalah mangsa dari kecuaian orang dewasa dan kedua-duanya memerlukan bantuan segera dan sewajarnya.

Dengan penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia menyeru agar:

1) Setiap individu dewasa dalam masyarakat perlu bersikap prihatin dan menyedari bahawa tanggungjawab melindungi kanak-kanak berada di atas bahu setiap mereka tanpa boleh disangkal lagi

2) Tindakan untuk melindungi kedua-dua kanak-kanak tersebut perlu diambil dengan segera. Kanak-kanak yang didakwa dan yang menjadi mangsa perlu menjalani proses pemulihan dan kaunseling oleh pakar-pakar yang berkaitan.

3) Media perlu memainkan peranan yang berkesan bukan sekadar melapor malah mendidik masyarakat dengan maklumat yang berguna agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi.

4) Ibu bapa perlu peka dan mengambil peranan utama dalam memberikan pendidikan seksual dan kesihatan reproduktif kepada kanak-kanak sesuai dengan usia mereka. Justeru, ibu bapa perlu sentiasa memerhatikan aktiviti anak-anak, perubahan tingkah laku dan tabiat supaya intervensi awal dapat dilakukan sebelum terjadinya ketagihan dan mendorong kepada perbuatan keji ini.

5) Institusi keluarga perlu diperkasakan melalui pendidikan holistik dan menitikberatkan pendidikan agama. Penggunaan gajet seperti telefon bimbit yang mudah kepada akses internet perlu dikawal dan dipantau secara ketat.

6) Tindakan tegas perlu diambil ke atas ibu bapa atau penjaga pelaku sepertimana termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001 di mana ibu bapa mesti bertanggungjawab dan tidak akan terlepas sekiranya anak di bawah jagaan mereka melakukan sebarang perlakuan jenayah. Ini adalah satu cara bagi memastikan kanak-kanak yang telah melakukan jenayah atau yang menjadi mangsa tidak terus hanyut dan menderita.

7) Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui agensinya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu mengenakan kawalan yang sepatutnya terhadap laman-laman web dan portal pornografi daripada dapat diakses di atas talian.

Masalah yang berakar umbi dari ketagihan pornografi ini adalah masalah kita bersama. Setiap kita perlu berperanan mencetuskan kesedaran tentang permasalahan ini dan membantu mengekangnya dari terus merebak. Jika peranan penting ini dipandang serius, dijiwai dan dilaksanakan bersama di semua peringkat, tabiat buruk ini tidak mustahil dapat di kekang hingga akhirnya dapat menjamin masa depan yang sejahtera bagi generasi kanak-kanak kita.

Ustazah Hjh Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita,
Pertubuhan IKRAM Malaysia.
5 Julai 2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *