Wanita IKRAM

 
Anda di laman ini: Tazkirah >> Hidupkan Semangat Juang di Kalangan Anak-anakmu

Hidupkan Semangat Juang di Kalangan Anak-anakmu

                               

hamas-children_1594729i
Oleh:
Dr Hafidzah Hj. Mustakim *

15 Mei  yang lalu adalah hari ulangtahun yang ke 65 peristiwa Nakbah , hari malapetaka bagi semua umat Islam apabila negara haram Israel diisytiharkan secara rasmi oleh Perdana Menterinya yang pertama David Ben Gurion. Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam. Sejak itu jugalah tanpa henti-hentinya saudara-saudara kita terus hidup dalam kezaliman dan keganasan.

Serangan dan keganasan terbaru berlaku kelmarin pada 21 Mei 2013 Seorang kanak-kanak cedera ditembak oleh askar zionis di kem pelarian Al-Jalazoun, utara Tebing Barat Ramallah. Kanak-kanak tersebut, Ata Mohamad Sabah, 13 cedera ditembak di bahagian belakang, dan dipindahkan ke Palestine Medical Centre.

Manakala di Barat Baitulmaqdis, Israel memusnahkan dua buah bangunan di Jabel al-Mukaber, iaitu kawasan yang diduduki oleh keseluruhannya adalah warga Palestin. Mereka dituduh membina bangunan tanpa permit.

Jika serangan udara dan darat  Rejim Zionis Israel terhadap Bumi Gaza di Palestin pada  Disember 2008 mendapat liputan dan kecaman  besar-besaran masyarakat antarabangsa, serangan terbaru ini disambut sepi malah tak ramai  umat Islam yang mengetahuinya.

Bilakah semua ini akan berakhir…”.Itulah persoalan yang sering berlegar di fikiran . Tentunya bila kita mengimani bahawa setiap apa yang di taqdirkan Ilahi itu ada kebaikannya , maka kita akan sampai kepada suatu keyakinan bahawa Allah menjadikan bumi barakah Palestin ini sebagai medan pertarungan antara yang haq dan batil; antara kebenaran dan kepalsuan dan sebagai satu medan untuk semua umat Islam mengambil bahagian dalam jihad mempertahankan tanahair kita. Menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mengingatkan diri kita dan masyarakat untuk berterusan dalam memperjuangkan isu Palestin.  

Dalam kempen-kempen selamatkan Gaza, fokus banyak diberikan orang ramai untuk membantu penduduk Gaza. Memang dari sudut material dan fizikal mereka amat kurang dan memerlukan bantuan, Namun di sudut keimanan dan spiritual mereka berada di peringkat yang paling tinggi. Di sudut spiritual inilah sebenarnya kita dan anak-anak kita yang sepatutnya dikasihani. Justru kita selaku ibubapa mestilah mengambil kesempatan di atas malapetaka Gaza ini untuk menumbuhkan kesedaran bertuhan dan meningkatkan kecerdasan spiritual di kalangan anak-anak dan anggota keluarga kita. Kita haruslah mencari jalan dan peluang untuk membina dan meningkatkan jatidiri muslim generasi muda. Apa dan bagaimanakah caranya?

Asas-Asas Pendidikan Rasulullah

Dalam bukunya Keluarga Bersendi Takwa, Dr ’Aid AlQarni menggariskan lima asas pendidikan yang digunakan Rasulullah SAW dalam mendidik para sahabat baginda sehingga lahirlah generasi sahabat yang begitu kukuh keimanannnya dan kental semangat perjuangannya sehingga mereka sanggup mengorbankan nyawa dan harta mereka demi Allah dan agama ini. Sejarah berulang kembali . Di abad ke 21 ini kita dapati para pejuang dan mujahidin di bumi Palestin adalah mereka yang berjaya dididik berasaskan prinsip-prinsip ini. Assyahid Sheikh Ahmad Yassin dan orang-orang yang terdahulu syahid berjaya mentarbiyah generasi pelapis perjuangan pembebasan Al Aqsa berasaskan lima prinsip berikut:

 1. Mendidik mereka agar mencintai Allah dan Rasul melebihi segala-galanya hatta melebihi diri mereka sendiri . Cinta hakiki inilah yang diajar  oleh Rasulullah SAW kepada sahabat seperti Umar AlKhattab r.a. sehingga Umar berikrar untuk mencintai Allah dan Rasul melebihi harta, keluarga , anak dan dirinya sendiri. Cinta jenis inilah juga  yang mengobarkan semangat jihad dalam diri Hanzalah AlGhasil yang sanggup meninggalkan isteri di malam pertamanya selepas menikah untuk bergegas ke medan perang dalam keadaan junub. Dia terbunuh syahid di jalan Allah mengorbankan dirinya sebagai bukti kecintaan kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda ketika baginda memandang ke langit:

”Demi zat yang jiwaku di dalam genggamanNya, sesungguhnya aku benar-benar melihat para malaikat memandikannya di antara langit dan bumi.”

Rupa-rupanya kisah cinta kelas pertama ini berulang kembali di bumi Palestin apabila ternyata begitu ramai saudara-saudara kita yang sanggup mengorbankan diri mereka syahid di jalan Allah . Bagi para ibu bapa amat wajar sekali kita menghayati kisah syuhada’ seperti Assyahid Ayat Muhammad AlAkhras untuk kita ceritakan kepada anak-anak kita. Ayat AlAkhras adalah seorang pemudi Palestin berusia 18 tahun yang memilih untuk syahid semata-mata kerana cintakan Allah dan mencari keredhaanNya. Cintanya kepada Allah dan Rasul melebihi cintanya kepada dunia dan seluruh isinya . Ayat seorang remaja cerdik dan bijak selalu berpesan kepada rakan-rakannya agar ”rajin belajar kerana penguasaan teknologi amat penting dan diperlukan untuk mendukung perjuangan, apapun bentuknya” . Tentang jihad Ayat selalu berkata jihad adalah kewajipan setiap muslim termasuk wanita. Apabila perjuangan menemui jalan sukar kerana mereka terkepung dari segala penjuru Ayat memilih untuk terlibat dalam  amaliyah isytisyhadiah (operasi mendapatkan syahid) pada tahun 2002 . Sukar untuk digambarkan oleh orang biasa bagaimana Ayat ,bakal mempelai sanggup melakukannya meninggalkan segala perancangan dan impiannya untuk berkahwin termasuk persiapan pakaian pengantin yang telah dijahitnya sendiri  . Ini tidak lain dan tidak bukan kerana kejelasan matlamat hidupnya dan kecintaannya hanya kepada Allah yang Esa. Di akhir hidupnya Ayat sempat berwasiat kepada pemimpin dunia Arab untuk bangkit dari tidur dan menjalankan kewajipan kepada Palestin. Kisah lanjut tentang  Ayat boleh diperolehi dari buku Nostalgia Syuhada’ karangan Ibnu Ismail

 2.  Mendidik mereka dengan keberanian sehingga sanggup berhadapan dengan musuh tanpa rasa gundah dan gentar. Rasulullah berjaya menerapkan sifat ini di kalangan sahabat termasuk yang masih kecil. Dalam sejarah termaktub kisah Abdullah Ibn Zubair yang sewaktu kecil tidak berganjak dari tengah jalan  sebagaimana rakannya yang lain apabila terserempak dengan Umar Alkhattab. Apabila ditanya Umar mengapa beliau tidak lari maka dia menjawab: ”Aku tidak melakukan kejahatan, lalu mengapa aku mesti takut kepadamu. Tidak pula jalan tersebut sempit sehingga aku mesti melapangkan jalan untukmu”. Semangat keberanian luar biasa ini juga kita saksikan di kalangan penduduk Palestin.  Keyakinan mereka kepada ayat Allah dalam surah Ali Imran 3:139

“Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi  jika kamu orang-orang yang beriman. “ begitu menyerlah sekali .

 3. Mendidik mereka dengan ketegasan dan kejelasan matlamat perjuangan

Sebagaimana Rasulullah mendidik para sahabat untuk menjadikan hidup ini semata-mata untuk pengabdian kepada Allah begitulah semangat yang ditanam kepada para pejuang Palestin.   Menurut Nadia Nadia Musa Abu Marzooq, isteri kepada Ketua Biro Politik Hamas, wanita Palestin juga memainkan peranan yang penting berdiri disamping kaum lelaki mereka berjihad dan meniupkan semangat juang dikalangan anak-anak mereka. Antara kisah yang masyhur adalah tentang seorang ibu  yang bergelar Ummu Syuhada  kerana berjaya memberi dorongan kepada  6 anaknya untuk ke medan juang.( 3 daripada mereka syahid). Malah anaknya yang baru berumur 17 tahun telah membunuh sebanyak 19 orang Yahudi sebelum syahid terkena serangan udara rejim Zionis. Ibunya selalu  berkata pada anaknya, “Anakku, jangan pulang sebelum kudengar kalian mati syahid" . Peristiwa ini seharusnya menjadi kisah teladan yang mesti diratibkan di kalangan ibu-ibu dan anak-anak kita. Merekalah yang seharusnya menjadi contoh kita. Kisah ini mengulangi  sejarah Al Khansa’ di zaman Rasulullah SAW yang mendapat gelaran Ibu para syuhada’ . Khansa’ berjaya mendidik dan menghantar empat orang anak lelakinya yang semuanya gugur syahid dalam perang AlQadisiah. Perhatikan kata-kata Khansa’ kepada anak-anaknya

'Wahai anak-anakku, sesungguhnya kalian memeluk agama ini tanpa paksaan. Kalian telah berhijrah dengan kehendak sendiri. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kalian ini putra-putra dari seorang lelaki dan dari seorang perempuan yang sama. Tidak pantas bagiku untuk mengkhianati bapakmu, atau membuat malu pamanmu, atau mencoreng arang di kening keluargamu.Jika kalian telah melihat perang, singsingkanlah lengan baju dan berangkatlah, majulah paling depan niscaya kalian akan mendapatkan pahala di akhirat. Negeri keabadian. Wahai anakku, sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah dan bahwa Muhammad itu Rasul Allah. lnilah kebenaran sejati, maka untuk itu berperanglah dan demi itu pula bertempurlah sampai mati. Wahai anakku, carilah maut niscaya dianugerahi hidup.'

Inilah yang sepatutnya membakar semangat kita kaum ibu agar sentiasa berusaha mendidik anak-anak kita mengikut acuan Rasulullah SAW.

 4. Mendidik mereka dengan kelembutan

Rasulullah sememangnya sebaik-baik contoh yang telah menunjukkan bagaimana sifat lemah lembut dan memahami berbanding kekerasan akan dapat memenangi hati masyarakat untuk akhirnya memeluk Islam. Kejayaan Hamas menang besar dalam pilihanraya paling bersih tercatat dalam  sejarah Palestin pada tahun 2006 adalah disebabkan kerja-kerja kebajikan dan perkhidmatan kepada masyarakat Palestin tanpa mengira kaum dan agama. Walaupun perancangan Israel ingin menjatuhkan imej Hamas namun ternyata rencana Allah jauh lebih hebat.

 5. Mendidik mereka dengan optimisme dan kemahuan yang tinggi

Rasulullah SAW mendidik para sahabat agar tetap berpegang kepada tali Allah disamping berpandangan jauh dan optimis bahawa kemenangan akan berpihak kepada orang yang benar. Ketika dikejar Suraqah sewaktu peristiwa hijrah Rasulullah pernah menjanjikan gelang Kisra, maharaja Parsi yang akan diberikan kepada Suraqah satu masa kelak. Ternyata janji Rasulullah itu benar.

Di Palestin juga mereka begitu yakin dengan janji pertolongan Allah kepada mereka dan janji Allah sememangnya benar. Menurut  Dr Sami Abu Zuhri, jurucakap kanan kerajaan Hamas  “Apa yang berlaku ke atas Gaza tidak dapat dinilai berdasarkan nilaian material. Tapi saya yakin, sesungguhnya Allah bersama kami. Kerana itulah kejayaan dapat diperolehi Gaza dan Hamas.” Tentera Israel telah membuat pengakuan bahawa mereka dapat menyaksikan tentera yang berpakaian putih, sedangkan sebenarnya tentera mujahidin di Gaza tidak mempunyai pakaian sebegitu. Ada juga yang menyaksikan seorang tentera berpakaian putih yang tingginya sampai ke langit. Ada juga tentera Israel yang tidak dapat melihat kerana dia merasakan salah seorang dari tentera mujahidin telah mencampakkan kepada mereka sesuatu yang menyebabkan mereka tidak dapat melihat. Allah SWT berfirman, ’sekiranya kamu menolong Allah, Allah akan tolong kamu dan menetapkan langkah-langkah kamu.’ Oleh itu kami sangat yakin pertolongan Allah turun di Gaza, kerana itu kami mencapai kemenangan,”

Bagi membuktikan komitmen mereka terhadap perjuangan , Dr Sami berkata  “Pada musim panas yang lalu Gaza telah mengeluarkan 5,000 hafiz al-Quran. Dan kami akan menyediakan untuk musim panas yang akan datang 10,000 hafiz al-Quran. Oleh kerana itu kami sangat yakin bahawa usaha Israel akan gagal.”

Penutup

Akhirnya bagaimanakah caranya  untuk kita menerapkan prinsip-prinsip ini dalam diri anak-anak kita. Wahai ibubapa sekalian , sebenarnya tiada jalan singkat untuk kita melakukannya. Walau sesibuk mana kita pun , anak-anak mesti kita dampingi. Berganding bahu dan berpakatlah dengan pasangan kita untuk membimbing anak-anak. Cerita dan tunjukkan kepada mereka tokoh- tokoh pejuang Palestin yang ramainya muda-muda belaka namun sebahagiannya jelas terdapat tanda sujud di dahi mereka. Kongsikan kepada anak-anak kita firman Allah yang bermaksud:

"..kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keridaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud.” (Al-Fath : 29)

Carilah jalan dan peluang untuk mengkisahkan kepada mereka cerita-cerita pejuang Islam hari ini yang terbentang di depan mata. Jadikan kisah mereka sebagai Bedtime stories untuk kita dodoikan anak sebelum tidur. Marilah kita menjadikan diri kita contoh teladan yang terbaik untuk diikuti oleh anak-anak. Tarbiyah yang praktikal biasanya jauh lebih berkesan dari hanya secara teori. Setiap rumah mestilah mempunyai Tabung bersamamu Palestin untuk kita latih anak-anak berinfak sebahagian wang saku mereka untuk jalan dakwah. Bawalah anak-anak untuk bersama-sama dalam kempen perjuangan membebaskan Al Aqsa. Terdekat marilah sama-sama menjayakan pelbagai program bersama Global March to Jeruselam (GMJ) pada 7 Jun 2013 yang diadakan serentak di seluruh dunia .  Sempena  GMJ Malaysia kali ini, Sekretariat Projek Rose2Rose dari Wanita Malaysia untuk  Wanita Palestin akan menganjurkan pelbagai aktiviti menarik termasuklah Flashmob , jualan bunga ros, kempen tandatangan untuk tahanan Palestin di penjara Israel dan pelbagai acara lain.  Maklumat lanjut boleh di dapati dengan melayari Facebook Aqsa Syarif Malaysia. Samada kita sebagai penganjur atau sebagai peserta libatkan semua anggota keluarga . Galakkan mereka  untuk berperanan di kalangan rakan-rakan mereka. Jangan ketinggalan meniupkan semangat dan menyalakan obor perjuangan di kalangan generasi muda. Kita mampu melakukannya!

 

*Dr Hafidzah Hj Mustakim adalah AJK Wanita Ikram Pusat dan Aktivis Aqsa Syarif . Beliau  bertugas sebagai Doktor di Klinik Perdana Cawangan Islah, Kota Bharu. Beliau boleh dihubungi melalui drhafidzahmustakim @gmail.com

 

AA

Share
 

Wanita IKRAM Pulau Pinang

Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan