Wanita IKRAM

 
Anda di laman ini: Aktiviti >> Berita >> Ketaatan Isteri Kepada Suami Bukan Ketaatan Yang Membuta Tuli

Ketaatan Isteri Kepada Suami Bukan Ketaatan Yang Membuta Tuli

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia terpanggil untuk memberikan pandangan terhadap penubuhan Kelab Taat Suami yang dilancarkan baru-baru ini. Pada dasarnya sebagai pertubuhan dakwah,dan kebajikan yang mengambil peduli tentang urusan-urusan kehidupan masyarakat, Wanita IKRAM  mengalu-alukan usaha pelbagai pihak termasuk Kelab ini yang ingin mendatangkan kebaikan kepada masyarakat. Namun Wanita IKRAM  begitu kesal dengan kenyataan  Dr Rohaya Mohamad, Naib Presiden kelab tersebut yang mengumpamakan isteri sebagai objek seks dan perlu menjadi pekerja seks bagi suami sebagai tanda ketaatan  kepada suami disamping  mengelakkan suami dari berlaku curang. Dalam majlis pelancaran itu itu juga Dr Rohaya dilaporkan sebagai berkata isteri harus baik dan taat kepada suami walaupun didera sebagai tanda ketaatan kepada suami.

Kenyataan seperti ini sebenarnya tidak tepat, menghina dan merendahkan martabat wanita  serta  boleh mengakibatkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam terhadap kedudukan dan peranan sebenar wanita sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam. Wanita IKRAM ingin menegaskan bahawa:

Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 menunjukkan faktor utama perceraian ialah tiada persefahaman, curang dan enggan dimadukan, tidak bertanggungjawab, campur tangan mentua atau ipar duai, disebabkan ketagihan dadah atau alkohol, masalah kewangan, terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan serta didera.

  1. Ajaran Islam selaku sistem hidup yang lengkap , adil dan menyeluruh serta rahmat bagi sekalian alam telah memartabatkan wanita sebagai rakan kongsi lelaki yang mempunyai hak-hak yang sama walaupun mungkin berbeda peranan dalam pelbagai bidang kehidupan baik di sudut  individu, berkeluarga dan kehidupan bermasyarakat.
  2. Ketaatan wanita kepada suaminya adalah dalam rangka dan batasan ketaatan kepada Allah . Ianya bukanlah suatu ketaatan membuta tuli sehingga merelakan segala perbuatan suami walaupun ternyata suami telah berbuat kedurhakaan terhadap Allah. Rasulullah SAW bersabda “Tiada ketaatan dalam keadaan maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara makruf” (Sahih Bukhari dan Muslim) . Peringatan Allah dalam surah An Nisa 4:34 wajar menjadi ingatan bagi kita semua.” Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, Dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha besar.
  3. Meletakkan kesalahan kepada isteri dalam memberikan layanan seksual kepada suami semata-mata sebagai punca lelaki berlaku curang adalah satu pandangan yang amat dangkal .  Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati tiada persefahaman, tidak bertanggungjawab, masalah akhlak dan sosial, masalah ekonomi dan masalah seksual adalah punca utama perceraian di kalangan pasangan Islam.Kajian dibuat syarikat Pfizer pada tahun 2008 pula menunjukkan 62 peratus lelaki dan 73 peratus wanita di negara ini yang tidak berasa puas dengan kehidupan seksual mereka.Mengapa tidak di tekankan kepentingan untuk para suami menjalankan peranan mereka dengan sempurna dan memberikan perhatian yang lebih teliti dalam memenuhi keperluan lahir dan batin isteri mereka.
  4. Wanita IKRAM  menerima dan menyedari bahawa poligami dibenarkan dalam Islam  sebagai satu institusi yang mempunyai pelbagai hikmah dan kebaikan sekiranya dijalankan dengan betul berlandaskan syarat yang digariskan syara’ dalam semua peringkat perlaksanaannya. Persepsi masyarakat perlu diperbetulkan selain pengamal poligami terutama golongan lelaki perlu mendapat pendidikan dan latihan sebelum mengamalkannya.
  5. Semua pihak lelaki dan wanita , suami dan isteri haruslah kembali berpegang dan mengamalkan ajaran Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadisnya yang masyhur; “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” ( Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban).  Al Quran menunjukkan kita “ Dan orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” At Taubah 9:71

Semoga dengan ini kita dapat membetulkan persepsi kita tentang peranan wanita dalam Islam  disamping   memperbaiki kehidupan berkeluarga dalam usaha kita untuk mempertahankan institusi keluarga ini sebagai unit asas dalam pembinaan masyarakat yang harmoni dan sejahtera

Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Timbalan Ketua Wanita
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
019-322 6800

Share