Sokongan Penyusuan Susu Ibu Ke Arah Kesejahteraan Sejagat

KENYATAAN MEDIA WANITA IKRAM
Sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 1-7 Ogos
1 Ogos 2020 / 11 Zulhijjah 1441H
Sokongan Penyusuan Susu Ibu Ke Arah Kesejahteraan Sejagat

Penyusuan susu ibu merupakan salah satu komponen utama dalam pendidikan awal seorang anak. Ia hanya dianugerahkan kepada kaum wanita bersesuaian dengan sifat keibuannya. Penyusuan susu ibu sepenuhnya mampu melengkapi segala yang diperlukan oleh seseorang bayi yang sihat untuk enam bulan pertama kehidupan. Di samping itu, belaian dan dakapan semasa proses penyusuan juga dapat meningkatkan perasaan kasih sayang antara ibu dan anak.

Penyusuan susu ibu amat penting sehingga ianya disebut oleh Allah swt melalui firmannya: “Para ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan” (Surah Al Baqarah ayat 233). Namun penyusuan susu ibu bukan hanya tugas seorang wanita. Ia memerlukan dorongan yang padu daripada suami dan ahli keluarga, sokongan daripada kaunselor yang mahir, penyedia penjagaan kesihatan, majikan, pembuat dasar dan masyarakat umumnya.

Penyusuan susu ibu adalah penting untuk menyediakan setiap kanak-kanak permulaan hidup yang paling sihat. Kolostrum yang merupakan susu pertama yang dihasilkan oleh tubuh ibu bukan sahaja menyediakan semua nutrien yang amat sempurna dan sesuai untuk bayi baru lahir, malah turut mengandungi sel-sel hidup yang akan melindungi bayi dari ancaman kuman, virus dan agen-agen berbahaya. Susu ibu juga adalah sumber pemakanan terbaik, dan dapat meningkatkan perkembangan otak. Selain itu, kajian menunjukkan bahawa menyusukan bayi dengan susu ibu dapat meningkatkan perkembangan psikomotor, emosi dan sosial yang lebih baik, perkembangan daya intelek yang lebih baik (IQ tinggi), kurang risiko kencing manis, kanser, jangkitan telinga dan pneumonia, antibodi tinggi untuk melawan penyakit, kurang risiko Sindrom Kematian Mengejut.

Dengan itu, jelas bahawa penyusuan susu ibu adalah lebih baik daripada memberi bayi pemakanan dengan pengganti susu ibu (Breast Milk Substitute – BMS). Bukan hanya dari aspek kesihatan dan pertumbuhan bayi malahan ianya adalah lebih mesra alam sekitar. Perusahaan tenusu biasanya mengeluarkan banyak gas seperti methana dan gas rumah hijau yang lain. Tambahan pula, proses penyediaan dan pembuatan, pembungkusan dan pengedaran BMS memerlukan tenaga dan air dan ini memberi kesan kepada persekitaran.

Menurut The World Alliance for Breastfeeding Action (WABA), meningkatkan penyusuan susu ibu yang optimum dapat mencegah lebih dari 823 000 kematian anak dan 20 000 kematian ibu dan boleh mengakibatkan kerugian ekonomi sekitar $ 302 bilion setiap tahun. WABA juga mengatakan, menggalakkan penyusuan susu ibu dapat membantu negara untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG) terutamanya melalui SDG ke-1 (Tiada Kemiskinan), ke-2 (Lapar Sifar), ke-3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), dan ke-12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilapor mensasarkan peningkatan peratusan bayi yang diberi susu ibu secara eksklusif kepada 70 peratus menjelang 2025. Data kementerian semasa menunjukkan bahawa 47.1 peratus bayi, atau bayi di bawah usia enam bulan, diberi susu ibu secara eksklusif. Beberapa usaha harus dilakukan untuk mencapai sasaran termasuk bekerjasama dengan badan-badan tertentu dan World Alliance of Breastfeeding Action (WABA) bagi memberi kesedaran mengenai amalan penyusuan kepada masyarakat. Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2020 (# WBW2020) pada 1-7 Ogos menekankan hubungan antara penyusuan susu ibu dan kesihatan planet kita. Kempen #wbw2020 bertemakan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Ke Arah Kesejahteraan Sejagat bertujuan:
1. Memberi kesedaran kepada masyarakat kaitan di antara penyusuan susu ibu dan perubahan iklim serta persekitaran.
2. Menjuarai isu penyusuan susu ibu sebagai keputusan yang bijak untuk menangani perubahan iklim.
3. Melibat urus individu dan organisasi berpengaruh untuk menghasilkan impak lebih besar.
4. Meningkatkan usaha memperbaiki kesejahteraan sejagat dan manusia melalui amalan penyusuan.

Justeru, Wanita IKRAM menyarankan perlu untuk:
1. Meningkatkan kesedaran di kalangan pembuat keputusan mengenai sumbangan penyusuan susu ibu terhadap keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar.
2. Menyokong dasar yang bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon dari industri Pengganti Susu Ibu (BMS).
3. Mendidik masyarakat mengenai kesan pemberian BMS pada persekitaran.
4. Melaksanakan garis panduan Initiatif Hospital Mesra Bayi (BFHI 2018) yang ditambah baik di semua pusat kesihatan termasuk hospital swasta.

Rantaian sokongan yang dihasilkan melalui jaringan NGO dan pihak berwajib mampu mencipta persekitaran yang memperkasakan semua wanita/ ibu untuk menyusukan bayi secara optimum. Bersama-sama, kita boleh mencapai sasaran menyelamatkan manusia dan planet ini.

Ustazah Hjh Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *