Perutusan Hari Bapa 2017

0
63
Perutusan Hari Bapa
Wanita IKRAM Malaysia
19 Jun 2017/ 24 Ramadan 1438H
Selamat Hari Bapa 2017: Mengambil Ibrah Nasihat Luqman
Dalam al Quran Surah Luqman, terdapat kisah tauladan tentang seorang bapa iaitu Luqman al-Hakim yang menasihati anaknya tentang beberapa perkara. Luqman al-Hakim yang diceritakan dalam surah ini bukanlah seorang nabi, tetapi merupakan seorang bapa yang telah diberikan oleh Allah SWT permata hikmah iaitu kebijaksanaan. Beliau dikurniakan makrifah tauhid hingga menjadikan dirinya seorang abid serta memiliki akhlak yang terpuji dan sentiasa menjauhkan diri daripada perkara-perkara buruk apalagi mungkar.
Oleh yang demikian, Wanita IKRAM Malaysia mencadangkan agar kita mentadabbur nasihat-nasihat Luqman al-Hakim yang terdapat dalam Surah Luqman ini, antaranya:-
1.       Bahayanya dosa mensyirikkan Allah. Dalam ayat ke-13 Surah Luqman, beliau telah mengingatkan anaknya tentang dosa mempersekutukan Allah.
Dosa syirik ini disifatkan sebagai kezaliman yang besar. Persoalan akidah yang diungkapkan pada ayat ini mencakupi kesemua aspek aqidah termasuklah sebarang pernyataan atau ungkapan yang meletakkan kedudukan Allah SWT setaraf dengan makhluk sama ada pada zat atau sifat, mengingkari kewujudan Allah SWT atau menyifatkan Allah SWT dengan sesuatu sifat kekurangan.
Justeru itu, janganlah sesekali mempersekutukan Allah SWT di dalam ibadat, percakapan atau perbuatan. Sebaliknya ikhlaslah dalam setiap perbuatan dan pertuturan kita terhadap Tuhan yang menciptakan kita iaitu Allah SWT.
2.       Bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang dikurniakan yang tidak terhitung luasnya.
Antara cara menzahirkan kesyukuran adalah dengan mengerjakan amal ibadah yang telah difardhukan ke atas kita, melakukan amal-amal taqarrub ilallah (mendekatkan diri kepada Allah), berusaha mendapatkan keredhaan Allah melalui amalan, pertuturan mahupun tulisan serta memperbanyakkan berzikir serta memuji-Nya.
3.       Berterima kasih serta bersyukur kepada kedua ibubapa yang telah banyak berkorban dan bersusah payah untuk membesarkan kita.
Salah satu bentuk kesyukuran kepada ibubapa adalah dengan mentaati mereka.
Walaubagaimanapun, ketaatan kepada ibubapa tidak dibolehkan dalam perkara maksiat serta melanggar perintah Allah.
Berdasarkan nasihat-nasihat Luqman al-Hakim ini, beberapa perkara penting yang wajar diberi perhatian dalam aspek keibubapaan, antaranya ialah:-
1.       Sebagai seorang bapa, Luqman al-Hakim telah menjadi contoh atau qudwah yang baik terhadap anaknya.
Ini dibuktikan bahawa Luqman al-Hakim mempunyai ciri-ciri peribadi yang baik, disamping merupakan seorang abid yang taat kepada Allah.
Di dalam konteks kekeluargaan, seorang anak sering melihat ayahnya sebagai seorang ‘role model’ atau pemimpin dalam keluarga.
Oleh yang demikian, contoh ikutan yang baik adalah sangat penting supaya anak-anak ini dapat dibimbing dengan baik.
Di samping itu, anak-anak cenderung meletakkan kepercayaan mereka terhadap ayah yang baik, yang mana akan membantu proses mentarbiah dalam keluarga.
2.       Sebagai seorang ayah yang baik, Luqman al-Hakim sentiasa memberikan nasihat-nasihat yang baik kepada anaknya. Nasihat-nasihat yang baik ini akan sentiasa menjadi peringatan dan pengajaran kepada anak-anak di dalam menjalani kehidupan mereka.
3.       Luqman al-Hakim juga menggunakan pendekatan kasih sayang ketika menasihati anaknya. Ini jelas apabila beliau menggunakan gelaran yang baik untuk menasihati anaknya.
Pendekatan kasih sayang terbukti memberikan kesan yang lebih baik berbanding pendekatan kekerasan.
Hakikat kehidupan hari ini amat merisaukan. Kos sara hidup yang meningkat telah menyumbang pelbagai masalah keruntuhan moral dan akhlak.
Sebagai contoh, kes kematian seorang pegawai kadet laut, arwah Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tanggal 1 Jun yang lepas. Kes ini telah membongkarkan pelbagai kes buli dan samseng di pelbagai peringkat sektor pendidikan yang dianggap sebagai sesuatu yang biasa. Hakikat yang melukakan ini terus menghantui masyarakat kita untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
Persekitaran sekolah yang sepatutnya selamat serta aman, kini bertukar sebagai satu tempat yang menggerunkan anak-anak kita.
Bersempena Hari Bapa 2017 pada 18 Jun 2017 ini, Wanita IKRAM Malaysia mengajak semua lapisan masyarakat untuk menghargai dan menyelami pengorbanan serta peranan seorang bapa.
Seorang bapa yang baik tentunya berusaha menjalankan tanggungjawabnya dengan menyediakan nafkah kepada keluarga. Maka, sentiasalah kita bersyukur dengan setiap pengorbanan yang telah diberikan dan ucapkanlah terima kasih.
Sebagai seorang bapa juga hendaklah sentiasa memperbaiki diri serta meningkatkan kualiti hubungan dengan Allah. Ini kerana akan menjadikan seseorang itu hamba yang taat serta bertanggjawab.
Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita IKRAM Malaysia

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY