“Keselamatan Kanak-Kanak Tanggungjawab Bersama”

0
3061

Kenyataan Media
Wanita IKRAM Malaysia
Sempena Hari Kanak-Kanak Antarabangsa 2017

1 JUN 2017

“Keselamatan Kanak-Kanak Tanggungjawab Bersama”

Bersempena sambutan Hari Kanak-Kanak Antarabangsa, (International Children’s Day) yang disambut pada 1 Jun setiap tahun, Wanita IKRAM ingin mengajak semua memperingati dan menghargai kanak-kanak yang merupakan generasi harapan negara.
Amat menyedihkan apabila didapati penganiayaan terhadap kanak-kanak masih berlaku di seluruh dunia. Daripada Januari hingga April 2017, pada setiap bulan, ada sahaja isu berkaitan penderaan terhadap kanak-kanak.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Azizah Mohd Dun di Dewan Rakyat pada Mac 2017 lalu, membentangkan sebanyak 2,470 kes penderaan fizikal terhadap kanak-kanak yang direkodkan dalam tempoh dua tahun ini dan perbalahan keluarga adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada penderaan kanak-kanak. (berdasarkan rekod sebanyak 3,718 kes dicatatkan sepanjang 2012 hingga 2016)
Penderaan seksual membabitkan kanak-kanak yang dicatatkan dalam tempoh yang sama, adalah sebanyak 2,012 kes (43.25 peratus) dan penderaan emosi sebanyak 170 kes (3.65 peratus). Dalam kebanyakan kes yang serius, penderaan terhadap kanak-kanak sehingga mengakibatkan kepada kematian.
Keadaan yang terjadi ini, menyebabkan kanak-kanak tidak dapat menikmati kehidupan yang sempurna, makanan yang seimbang, pendidikan yang teratur, kemudahan pembelajaran yang terbaik dan perlindungan yang sewajarnya.

Sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Antarabangsa 2017, Wanita IKRAM menyarankan:

1. Kesedaran masyarakat awam mengenai isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak perlulah dipertingkatkan dengan mengadakan ceramah, kempen kesedaran, bengkel dan latihan-latihan keselamatan.
2. Peranan agensi kerajaan dan NGO untuk mengambil inisiatif meningkatkn kesedaran secara formal iaitu meningkatkan usaha bagi membanteras kegiatan-kegiatan yang tidak diingini daripada terus berleluasa dalam masyarakat. Rondaan-rondaan pihak polis sudah tentu dapat membantu orang ramai dan mengurangkan kes-kes jenayah yang berlaku.
3. Seksyen 28 Akta Kanak2 2001 (Akta 611) – mengenakan tugas kepada ‘ahli keluarga’ kanak-kanak untuk melaporkan kejadian penderaan dan pengabaian jika berlaku dalam keluarga tersebut
4. Media massa mempunyai peranan penting dalam menyampaikan mesej perlindungan keselamatan kepada semua lapisan masyarakat. Pada masa yang sama, unsur-unsur negatif seperti keganasan serta bahan lucah dan seksual perlu di sekat sepenuhnya kerana ia boleh mempengaruhi minda dan nafsu yang menjadi faktor penyumbang kepada berlakunya jenayah.
5. Semua bentuk penganiayaan terhadap kanak-kanak hendaklah dihentikan serta-merta dan usaha penjagaan serta perlindungan kanak-kanak perlu dilaksanakan dengan penuh kasih sayang dan rasa tanggungjawab oleh seluruh anggota masyarakat.
Marilah kita berusaha membina masa depan yang terbaik untuk kanak-kanak Malaysia dan seluruh dunia. Mereka adalah harapan dan masa depan kita. Semoga segala usaha ini akan membawa Malaysia menjadi sebuah Negara Rahmah yang melindungi dan memberikan hak kepada setiap warganya.
Selamat menyambut Hari Kanak-kanak Antarabangsa.

DATIN PADUKA HAJAH CHE ASMAH IBRAHIM
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY