CUTI UNTUK BAPA, MEMBENTUK KELUARGA RAHMAH

0
52
Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
CUTI UNTUK BAPA, MEMBENTUK KELUARGA RAHMAH
21/6/2017
Wanita IKRAM Malaysia mengucapkan tahniah kepada CIMB Bank Bhd kerana memperkenalkan dasar baharu iaitu cuti paterniti berbayar dinaikkan daripada tiga hari bekerja berturut-turut kepada sebulan (30 hari) kepada warga kerjanya. Pengumuman kemudahan ini dibuat bertepatan dengan sambutan Hari Bapa pada 18 Jun lalu.
Dasar yang ditambah baik itu membolehkan golongan bapa meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga menjalankan tanggungjawab bersama isteri dalam menyambut kelahiran ahli keluarga yang baharu.
Inisiatif ini wajar dipuji dan perlu menjadi contoh kepada semua sektor pekerjaan yang lain dalam usaha mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan seharian. Usaha ini juga dapat membantu mengembalikan role model bapa sebagai ketua keluarga dalam membina generasi masa depan yang semakin terhakis pada masa kini, akibat kesibukan seorang bapa dalam mencari rezeki di luar rumah.
Di samping itu, golongan bapa juga diharapkan dapat lebih menghargai dan memberi sokongan kepada fasa pemulihan yang sedang dilalui oleh isteri yang baharu bersalin terutamanya dari segi sokongan fizikal dan emosi daripada suami. Inisiatif ini dapat memberikan kesan positif terhadap kesejahteraan keluarga disamping mengelakkan kejadian kemurungan selepas bersalin (Postpartum depression).
Difahamkan inisiatif dasar baharu ini merupakan usaha CIMB yang sentiasa meningkatkan kebajikan pekerja melalui dasar kesaksamaan gender.
Wanita IKRAM juga ingin mengambil peluang menyarankan para bapa untuk memanfaatkan cuti yang diberi sepenuhnya untuk membantu isteri dan menjalin hubungan erat (bonding) dengan anak serta tidak menggunakannya untuk aktiviti lain.
Semoga nikmat cuti yang disediakan ini memberi peluang kepada kaum bapa mengatur dan membina keluarga yang lebih harmoni dan sejahtera demi pembinaan negara rahmah untuk semua.
Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita IKRAM Malaysia

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY