PERUTUSAN RAMADAN 1438H

0
256

Perutusan Ramadan 1438H
Wanita IKRAM Malaysia

27 Syaaban 1438/ 24 Mei 2017

Marhaban ya Ramadan

Seluruh alam buana sedang ternanti-nanti ketibaan bulan mulia, bulan yang diberkati, bulan yang dilimpahi rahmah dan maghfirah, bulan di mana para mukminin dan mukminaat berlumba-lumba mengejar pahala, menggandakan amal ibadat dan menjauhi maksiat.

Marhaban ya Ramadan

Sesungguhnya Ramadan adalah lambang cinta ar-Rahman kepada makhlukNya, khususnya makhluk yang bernama manusia. Lantaran cintaNya kepada makhlukNya, maka Dia menyeru agar mereka menghiaskan diri dengan ciri-ciri yang disukai dan digemariNya.

Bukankah bila kita sukakan seseorang, kita selalu ingin melihat dia berada dalam keadaan yang menyenangkan hati kita? Bukankah bila kita sukakan seseorang, kita selalu akan melakukan apa yang dia suka?

Allah sering menyebut di dalam Kitab SuciNya bahawa Dia cintakan orang yang bertaqwa (muttaqin), Dia cintakan orang yang sabar (sobirin), Dia cintakan orang berbuat kebaikan (muhsinin), Dia cintakan orang yang banyak bertaubat (tawwabin).

Kerana Allah cintakan kita, maka Allah mahu kita memiliki ciri-ciri hamba yang Dia cintai. Maka didatangkan kepada kita Ramadan, bulan yang dikhususkan untuk kita meraih ciri-ciri tersebut.

Dia mensyariatkan puasa untuk mentarbiah kita agar jadi orang yang bertaqwa, iaitu orang sentiasa takut kepada azab Allah dengan mematuhi segala suruhan dan menjauhi segala laranganNya.

Puasa tidak akan dapat disempurnakan tanpa kesabaran; sabar menahan lapar dan dahaga, sabar menahan nafsu yang menggoda, sabar menahan perasaan marah yang bergelora. Tanpa menahan diri daripada semua itu, maka puasa tidak mencapai tujuannya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – قَالَ :
الصِّيَامُ جُنَّةٌ ، فَإِذَا كَانَ أَحَدُكُمْ صَائِمًا فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ ، فَإِنِ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ ، فَلْيَقُلْ : إِنِّي صَائِمٌ ، إِنِّي صَائِمٌ

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa itu perisai. Maka apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah dia mencarut dan berkelakuan bodoh. Sekiranya seseorang memeranginya atau mencelanya, maka hendaklah dia berkata: “Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa!” Riwayat Abu Daud dan lain-lain.

Di dalam bulan Ramadan, ditambat syaitan-syaitan sebagaimana dinyatakan di dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim. Ia bertujuan untuk memudahkan kita melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan tanpa kekangan, tanpa hasutan. Maka ruang kebaikan terbuka luas tanpa batasan.

Buatlah kebaikan semaksimumnya sama ada kebaikan pada diri sendiri dengan membanyakkan solat, tilawah al-Quran, menambah ilmu dengan membaca atau menghadiri kuliah-kuliah pengajian dan sebagainya. Berbuat baik kepada sesama manusia seperti menziarahi orang sakit, bersedekah, mengajak berbuat perkara yang makruf, melarang kemungkaran, membantu orang yang kurang upaya dan banyak lagi. Tidak ketinggalan juga berbuat baik untuk agama seperti beradakwah, menjelaskan kekeliruan dan membetulkan salah faham mengenainya dan lain-lain.

Dan Ramadan adalah bulan yang dijanjikan pengampunan dosa untuk orang yang berpuasa pada siang hari dan qiam pada malamnya. Justeru, mukmin mesti merebut peluang ini untuk memperbanyakkan istighfar dan bertaubat agar pintu taubat yang terbuka luas tidak dibiarkan kosong dan sepi.

Marilah kita sambut Ramadan yang penuh kebaikan ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki diri, ummah dan masyarakat agar menjadi hamba yang dicintai dan mencintai Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang dengan menghayati ciri-ciri yang disukaiNya: taqwa, sabar, ihsan dan taubat. Penghayatan ciri-ciri tersebut merupakan asas kepada tegaknya negara rahmah: negara tayyibah yang dilimpahi maghfirah.

Ustazah Maznah Daud
Naib Ketua Wanita IKRAM Malaysia?

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY