Hentikan Eksploitasi Wanita; Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan

0
430
Kenyataan Media Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
Hentikan Eksploitasi Wanita; Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan
6 April 2017M bersamaan 9 Rejab 1438H
Pendedahan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung aduan seorang calon pramugari yang dikatakan melalui prosedur temuduga Malindo Air yang mengaibkan dirinya telah mengejutkan masyarakat khususnya kaum wanita di negara ini.
Wanita IKRAM merasa amat kecewa dan mengecam tindakan syarikat yang telah menjalankan proses temuduga dengan cara yang melampaui batas kesopanan, mengekploitasi wanita serta boleh dianggap sebagai penindasan dan gangguan seksual terhadap golongan wanita.
Tambah mengecewakan apabila pihak Malindo Air dalam kenyataan balasnya mempertahankan prosedur temuduga mereka yang bertentangan dengan nilai-nilai murni dalam masyarakat bermaruah , sebagai sesuatu yang biasa (normal).
Tindakan syarikat penerbangan ini menunjukkan betapa maruah seorang wanita itu dengan mudah dijadikan sebagai bahan dagangan oleh pihak syarikat untuk mengaut keuntungan. Peranan seseorang pramugari atau pramugara di dalam sesebuah syarikat penerbangan adalah untuk memastikan penumpang selesa sepanjang perjalanan dengan menyediakan keperluan-kepeluan yang munasabah. Segala layanan yang diberikan hendaklah di dalam batas kesopanan dan bukan melalui cara mengekspoitasi susuk badan wanita dengan menghendaki mereka berpakaian yang tidak sopan dan menjolok mata semasa menjalankan tugas mereka.
Wanita IKRAM dengan ini menggesa supaya
1. Semua syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia menyemak semula etika berpakaian petugas khususnya pramugari; secara langsung terkait dengan prosedur temuduga yang dijalankan seperti di Malindo Air. Syarikat penerbangan perlu berusaha meningkatkan nilai tambah kualiti perkhidmatan yang diberikan seperti kualiti makanan yang disediakan serta kemudahan-kemudahan lain yang sewajarnya untuk keselesaan pelanggan semasa penerbangan. BUKAN dengan mempamerkan wanita-wanita cantik berpakaian seksi sekaligus menghadkan keselesaan pergerakan mereka dalam menjalankan tugas dengan baik.
2. Pihak Kerajaan melihat kepada keperluan memastikan polisi dan prosedur temuduga perjawatan khususnya yang melibatkan kaum wanita oleh pihak majikan, dibuat dengan lebih sejahtera serta menghormati hak-hak mereka sebagai insan, tidak mengandungi unsur-unsur menindas, mengekspoitasi atau membuli.
3. Kaum Wanita terus meningkatkan ilmu pengetahuan, mengambil tahu akan hak-hak mereka dalam menjaga maruh diri. Mereka juga seharusnya berani tampil untuk membuat aduan ke atas mana-mana pihak yang didapati menjurus ke arah mengeksplotasi wanita atau pun melakukan gangguan seksual .
Wanita IKRAM menyeru semua pihak agar menghormati dan memartabatkan kaum wanita di negara ini dengan memelihara maruah diri mereka dalam usaha merealisasikan Malaysia sebagai Negara Rahmah
Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY