Berita- “Selamatkah Anak-anak Kita?”

0
567

kalte 2

KOTA BHARU – Satu forum ‘Ancaman Pedofilia, Pornografi dan Jenayah Siber’ dengan tema ‘Selamatkah Anak-anak kita?’ telah diadakan dengan kerjasama Wanita IKRAM Kota Bharu, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Islam Aman pada Jumaat, 14 April 2017.

Program dimulakan dengan ucapan oleh Pengarah program Dr Fatimah Az-Zahra Dinsuhaimi dengan penekanan kepada pentingnya kesedaran ahli masyarakat dan ibubapa serta guru tentang ancaman pedofilia dan pornografi.

“Masyarakat perlu diberi peringatan dan kesedaran tentang bahaya pedofilia, pornografi dan jenayah siber yang telah menjadi wabak di dalam kalangan anak muda kita. Walaupun ia adalah sesuatu yang taboo untuk diperkatakan namun dengan adanya program seperti ini diharap mesej bahaya ancaman ini dapat disebarkan kepada masyarakat umum di Kelantan ini”, demikian kata Timbalan Dekan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat PPSG, Dr Azlina Ahmad semasa merasmikan program ini yang bertempat di Dewan Kuliah 1 PPSG, Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan.

Menurut Timbalan Wanita IKRAM Malaysia, Dr Hafidzah Hj Mustaqim  dalam ucaptama beliau, “Keluarga adalah satu unit kecil yang sangat penting dalam mengawal tingkah laku dan membentuk peribadi anak-anak. Ibu bapa yang boleh mengesan perkara berpotensi mengancam keselamatan dan perkembangan anak-anak akan berupaya melindungi mereka dengan lebih baik. Anak yang dididik dengan kaedah yang betul dapat menangani cabaran menjadi mangsa dan pemangsa kepada ancaman pedofilia dan pornografi serta jenayah siber ini”.

Namun peranan daripada semua pihak amatlah perlu untuk melindungi anak-anak daripada mereka yang tidak bertanggungjawab. Beliau juga menyeru semua ahli masyarakat termasuk guru untuk bersama perihatin membentuk suasana dan persekitaran yang selamat kepada anak-anak. Beliau berkata demikian sebelum melancarkan kempen Mothers Against Pornography (MAP) peringkat negeri Kelantan. Kempen MAP ini adalah satu usaha IKRAM untuk membimbing kanak-kanak seawal usia lima tahun tentang sentuhan selamat dan tidak selamat dan memberi kesedaran terhadap ancaman pedofilia, pornografi dan jenayah siber ini.

Slot forum menampilkan perkongsian dari 3 orang panel iaitu Puan Azlina Roszy Mohammad Ghaffar, Pakar Klinikal Psikologi Kanak-Kanak Hospital Pakar An-Nur Bangi; Dr Norzila Zakaria, Pakar Psikiatri Kanak-Kanak USM, dan ASP Tengku Maslina Tengku Mansor, Pegawai Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak IPK Kota Bharu serta En Mohd Afiq Kamarudin sebagai moderator forum.

“Pedofilia adalah salah satu penyakit psikiatri iaitu kecelaruan seksual dalam kalangan pelakunya terutama lelaki dewasa yang mengalami kecenderungan dan fantasi seksual terhadap kanak-kanak bawah umur baligh. Ia diklasifikasikan sebagai jenayah seks ke atas kanak-kanak dan sebahagian kes membawa kepada aksi seksual terhadap kanak-kanak” jelas panel pertama Dr Norzila Zakaria. Namun kurang kesedaran tentang pedofilia dan kekeliruan kanak-kanak mangsa pedofilia menyebabkan banyak kes-kes yang tidak dikenalpasti atau dilaporkan.

Menurut panel kedua pula Puan Azlina Roszy “Pornografi pula adalah sejenis dadah alaf baru dan merupakan satu industri mensasarkan golongan muda yang mana akses kepada bahan tersebut adalah percuma tak perlu dibeli, malahan berada dalam rumah kita sekarang”.

Pendedahan yang melampau kepada dunia siber merisikokan anak-anak dengan pornografi. Walaupun kebanyakan video pornografi ini dimainkan dalam masa yang singkat namun pendedahan yang berulang kali membawa kepada masalah ketagihan yang serius kepada anak-anak yang dalam proses perkembangan minda.

Panel ketiga, ASP Tengku Maslina dalam menyentuh tentang akta dan penguatkuasaan dalam melindungi kanak-kanak dari ancaman ini dan keganasan seksual juga turut membangkitkan beberapa halangan yang dihadapi pihak polis dalam membawa pelaku ke muka pengadilan. Pihak polis turut mengajak masyarakat untuk lebih perihatin dan tampil membantu mangsa jika mempunyai maklumat berkaitan.

Penerangan daripada panel pada hari ini menyimpulkan bahawa pedofilia dan pornografi adalah perkara yang berkait. Walaupun pedofilia adalah satu penyakit mental namun kecelaruan yang dialami oleh pelaku pedofilia sebahagian besar adalah dibentuk dan dibina sebagai contoh dari ketagihan pornografi. Jadi langkah pencegahan amatlah perlu dimulakan sejak kecil bermula dari rumah. Ibu bapa sebagai orang yang paling rapat dengan anak perlu mempunyai kesedaran dan ilmu untuk mengelakkan anak-anak mereka menjadi pemangsa pedofilia apatah lagi mangsa. Mangsa dan pemangsa kepada pedofilia dan pornografi ini memerlukan rawatan daripada pakar beserta bimbingan daripada masyarakat.

Sekitar 100 orang peserta hadir ke program ini terdiri daripada staf USM, ibu bapa, guru-guru dan beberapa NGO di sekitar Kota Bharu. Turut serta dalam program ini juga ialah seorang aktivis sosial terkenal iaitu Syed Azmi Al-Habsyi. Wanita IKRAM berharap dapat menyebar luaskan kempen ini dan akan mengadakan siri ceramah kesedaran ke seluruh Kelantan.

Disediakan oleh: Norhasmah Mohd Zain, Setiausaha Program

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY