WACANA HARI WANITA ANTARABANGSA 2017

0
619

WACANA HARI WANITA ANTARABANGSA 2017

SERI KEMBANGAN- Satu Wacana anjuran Wanita IKRAM sempena Hari Wanita Dunia 2017 telah berlangsung dengan jayanya pada 18 Mac 2017 di Crystal Ballroom, Aras 5, The Mines 2, Seri Kembangan.

Wacana Hari Wanita Antarabngsa yang bertemakan “Kesaksamaan Hak: Tanggungjawab Wanita Membina Peradaban Dunia 2030” telah dihadiri oleh 130 hadirin yang terdiri dari pelbagai latar belakang, termasuk wakil dari Sisters In Islam (SIS), MIZAN dan juga Dewan Wanita YaDIM.

Ustaz Hj Burhanuddin Lukman, Naib Presiden IKRAM telah berkesempatan hadir dan merasmikan program ini. Beliau memuji tindakan Wanita IKRAM kerana memilih perkataan yang tepat sebagai tema iaitu kesaksamaan hak kerana maksud saksama itu selari dengan tuntutan Islam dalam memperjuangkan hak. Beliau turut mengingatkan supaya berhati-hati dan teliti dalam menuntut hak agar tidak melampaui dan melanggar syariat Islam.

“Pertubuhan IKRAM Malaysia yakini bahawa ianya tidak akan mampu untuk terbang jauh tanpa sumbangan dan sokongan dari sayap Wanita IKRAM”, petikan ucapan beliau sebelum menutup ucapan perasmian.

ucapan perasmian
Perasmian oleh Ustaz Hj Burhanuddin Lukman. Naib Presiden, Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Ustaz Burhanuddin turut berkesempatan melancarkan buku Piagam Wanita Islam versi 3 bahasa (Bahasa Melayu- Inggeris-Arab), yang merupakan satu inisiatif Wanita IKRAM dalam memberi kefahaman yang jelas mengenai kesaksamaan dan kesamarataan hak Wanita berlandaskan syarak yang ditetapkan oleh Islam.

pelancaran
Pelancaran buku Piagam Wanita Islam versi 3 bahasa (Bahasa Melayu- Inggeris-Arab)

“Wanita IKRAM memilih untuk mengulas tema ‘Kesaksamaan Hak: Tanggungjawab Wanita Membina Peradaban Dunia 2030‘ sempena Hari Wanita Antarabangsa 2017 bukan sahaja untuk dilihat dalam kerangka perjuangan hak asasi semata-mata, tetapi untuk kembali kepada prinsip asas yang mengaitkan di antara peranan, tanggungjawab dan hak wanita dalam aspek pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara”, ucap Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, Ketua Wanita IKRAM ketika menyampaikan Ucaptama beliau.

Tambah beliau lagi, dalam memperjuangkan hak wanita, Wanita IKRAM berpandangan ianya tidak boleh diasingkan dari membicarakan peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh kedua-dua kelompok masyarakat yang terdiri dari lelaki dan wanita, agar pendirian yang terhasil lebih bersifat pandangan pertengahan (wasatiyah) yang tidak terlalu konservatif dan pada masa yang sama tidak juga terlalu liberal.”

dp
Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, Ketua Wanita IKRAM

Wacana ini juga turut menampilkan YBhg Dato’ Dr. Siti Norlasiah Ismail selaku Ketua Pengarah LPPKN, yang telah membentangkan kertas kerja beliau iaitu “Status Wanita dan Keluarga di Malaysia” yang merupakan hasil kajian yang telah diusahakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Dalam membentuk keluarga ini kita mesti ada nilai. Hormat menghormati, taat kepada agama, yang menunjukkan bahawa agama masih penting, berilmu, berdisiplin, kasih sayang, baik hati, berdikari dan kerajinan yang diterapkan dalam didikan anak mereka. Perkara ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia masih menekankan nilai-nilai murni dalam kehidupan,” petikan ucapan YBhg Dato’ Dr. Siti Norlasiah Ismail dalam slot forum. yang bertajuk “Agenda Perjuangan Wanita Dalam Transformasi Malaysia Menuju Negara Rahmah”.

dato'
YBhg Dato’ Dr. Siti Norlasiah Ismail, Ketua Pengarah LPPKN

Selain itu, wacana ini turut menampilkan Dr Hafidzah Mustakim, Timbalan Ketua Wanita IKRAM dan Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh, Naib Ketua Wanita IKRAM yang turut membentangkan kertas kerja masing-masing yang bertajuk: “Membangun Institusi Keluarga Cemerlang” dan “ Membangun Akhlak Masyarakat Bertamadun”.

“Usah dimanjakan anak-anak lelaki, begitu juga anak perempuan. Tetapi bantu mereka untuk alami proses-proses membuat keputusan untuk bertanggungjawab,” antara nasihat Dr Hafidzah Mustakim kepada hadirin yang hadir.

dr
Dr Hafidzah Mustakim, Timbalan Ketua Wanita IKRAM Malaysia
ustzh
Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh, Naib Ketua Wanita IKRAM

Para hadirin juga telah diberi ruang untuk mengajukan soalan secara terus kepada para panelis. Program ini diakhiri dengan slot resolusi yang dikendalikan oleh Ketua Wanita IKRAM, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim. Sebanyak 5 resolusi telah berjaya dikeluarkan hasil perbincangan di wacana ini iaitu;

1. Pembentukan dasar dan polisi yang melibatkan pembangunan dan pembelaan wanita dibuat mengambilkira peranan, tanggungjawab dan hak wanita khususnya bagi memelihara kestabilan institusi keluarga yang merupakan unit penting dalam masyarakat dan tanggungjawab asas wanita sebagai anak,isteri dan ibu tidak terabai

2. Wanita terus memperkasakan dirinya dengan ilmu untuk mengenal matlamat hidup, membina jatidiri, melaksanakan tanggungjawab, menuntut hak dan membuat keputusan dalam hidupnya sesuai dengan tuntutan Islam. Ruang dan peluang terus diberi kepada wanita untuk mencapai cita-cita dan potensi penuh mereka dengan mengadakan sistem sokongan yang bersesuaian mengikut keperluan kaum wanita

3. Sumbangan wanita dalam membangunkan masyarakat dinilai dengan lebih holistik dengan juga melihat kepada pencapaian indek kesejahteraan keluarga, kadar jenayah dan gejala sosial, keruntuhan akhkak generasi muda dan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kualiti hidup rakyat keseluruhannya. Wanita yang memilih untuk mengurus sendiri rumah tangga, anak-anak dan keluarganya, wajar diberikan pengiktirafan dan penghargaan di atas sumbangan mulia ini, tanpa memperkecilkan dan merendah-rendahkan pilihan yang diambil. Wanita ini juga wajar diberikan imbalan yang tertentu dan pengiktirafan ekonomi, selaras dengan usaha dan sumbangan yang diberikan kepada masyarakat dan negara dengan mendidik generasi masa depan negara

4. Masyarakat terus dididik untuk menghormati wanita dan menghargai perbezaan gender dalam menentukan peranan dan tanggungjawab masing-masing samada di dalam keluarga, tempat kerja dan masyarakat; dan

5. Menghentikan semua bentuk keganasan terhadap wanita dan usaha-usaha pembelaan kepada wanita perlu diuruskan dalam suasana yang harmoni, memudahkan dan tidak membebankan atau menyusahkan kaum wanita untuk memperolehi bantuan dan sokongan yang diperlukan.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Setiausaha Agung, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Hj Nahar Md Nor bersama YDP IKRAM Negeri Selangor dan Negeri Sembilan serta wakil YDP IKRAM Negeri Sabah dan Putrajaya.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY