PIAGAM WANITA ISLAM DALAM 3 BAHASA

0
337

Piagam Wanita Islam dalam  3 Bahasa

SERI KEMBANGAN – Buat julung kalinya, buku Piagam Wanita Islam Edisi terbaru yang diperkemaskan lagi dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab dilancarkan pada Wacana Hari Wanita Antarabangsa bersempana Sambutan Hari Wanita Sedunia pada 18 Mac 2017 di Crystal Ballroom, di sini.

Naskah Piagam Wanita Islam ini turut menekankan tiga penegasan utama iaitu mengiktiraf kepentingan peranan wanita dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat yang mana peranan lelaki dan wanita adalah saling melengkapi dalam usaha mewujudkan umat pertengahan.

Mengiktiraf prinsip kesamarataan dan kesaksamaan lelaki dan wanita menurut nilai-nilai Islam dengan mengambilkira fungsi biologi dan peranan setiap jantina dan kemampuan mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada keluarga dan masyarakat.

Seterusnya mengiktiraf dan menuntut lelaki dan wanita berperanan dalam memantapkan dan mengukuhkan institusi keluarga.

Buku yang mengupas prinsip asas yang memberi pengiktirafan terhadap peranan, tanggungjawab dan hak wanita serta lelaki dalam semua aspek pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara bagi mewujudkan umat pertengahan (ummatan wasatan) ini telah dilancarkan oleh Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Ustaz Haji Burhanuddin Bin Lukman.

Dalam pada itu, wacana yang diadakan ini bertujuan berkongsi pandangan Wanita IKRAM dalam isu-isu berkaitan pelaksanaan “Sustainable Development Goals” (SDG) bagi wanita dan keluarga di samping masyarakat untuk memahami aspirasi perjuangan wanita.

Sebelumnya pada April 2013, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia telah melancarkan Piagam Wanita Islam dalam usaha menangani isu keganasan terhadap wanita dan usaha-usaha tersebut dimulakan dengan program pembangunan syariah atau jati diri lelaki dan wanita dalam masyarakat agar mereka faham betapa pentingnya keseimbangan dalam memenuhi tuntutan kebendaan, fizikal, spiritual dan emosi.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY