1 Februari | Hari Hijab Sedunia

0
93

Hijab dari segi bahasa ialah tudung atau penutup yang menutupi sebahagian aurat pada anggota kepala. Rambut merupakan aurat bagi wanita sepertimana tubuh badan yang lain kecuali tapak tangan dan muka.  

1 Februari telah dinobatkan sebagai Hari Hijab Sedunia atau World Hijab Day (WHD) bagi mengiktiraf wanita bertudung di seluruh dunia. Australia di samping Belanda, Perancis, German dan Belgium telah melarang penggunaan hijab di tempat-tempat terbuka. Tanpa kita sedar, ada saudara Muslimah kita disekat malah dicemuh untuk mempertahankan hak mereka sebagai seorang Muslim. Mereka malah disisihkan dalam kegiatan masyarakat walhal dalam hak pendidikan sekalipun.

Pada hemah saya sebagai seorang Muslimah yang hidup di negara majoriti penduduknya Islam, WHD adalah satu inisiatif yang baik kerana ia secara tidak langsung memberitahu kepada masyarakat dunia untuk menghormati pendirian dan pegangan seorang Muslimah yang berpegang kepada apa yang diwajibkan kepadanya. Dengan adanya hari yang mengiktiraf penggunaan hijab ini, masyarakat dunia faham dan tahu tentang kepentingan wanita Muslimah untuk mengenakan tudung di kepala, dan secara tidak langsung tidak menyekat atau memandang pelik mereka sebagai pengganas dan sebagainya. Kesedaran ini perlu diperluaskan lagi agar kecaman tidak berlaku kepada mereka yang berhijab dan keharmonian dapat dicapai dalam kehidupan masyarakat dunia khususnya.

Selain memberi ilmu dan kefahaman kepada masyarakat tentang kepentingan berhijab, WHD turut meraikan mereka yang bertudung kerana dengan adanya WHD ini, mereka terasa dihargai dan bersyukur atas tuntutan yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Mereka seharusnya sedar bahawa berhijab bukanlah kerana peredaran zaman atau fesyen semata-mata, malah ia adalah kewajipan sepertimana dalam firman Allah

“…. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasan (auratnya) kecuali kepada suami mereka, ayah mereka….” (24:31).

Tidak dinafikan, berhijab memberi kita perlindungan dan penghormatan. Sepertimana hadiah yang terbungkus elok, ia nampak istimewa berbanding dengan hadiah yang telah sedia ada terbuka. Wanita seharusnya bersyukur dengan tuntutan berhijab dan berusaha sebaiknya menjaga diri dan peribadi sesuai sifat hijab yang dikenakan itu iaitu memelihara. Benarlah bahawa hijab itu bukan ukuran peribadi seseorang, tetapi mereka yang taat kepada Allah pasti akan mengikut segala apa yang digariskan oleh agama. Hijab seharusnya bukanlah hanya menutup kepala, tetapi juga menjaga kita daripada sifat tercela.

Nai’mah Isa
Penulis Wanita IKRAM Nasional (PenaWan)

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY