Perutusan Tahun Baru Cina Wanita IKRAM Malaysia

0
143

Perutusan Tahun Baru Cina Wanita IKRAM Malaysia

Xīn Nián Kuài Lè! 新年快乐!

‘Kukuhkan Perpaduan, Raikan Kepelbagaian’
26 Januari 2017/ 27 Rabiul Akhir 1438H
Wanita IKRAM mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina – Xin Nian Kuaile dan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh bangsa Tiong Hua di Malaysia.
Lazimnya, antara tradisi besar masyarakat Cina ialah Sambutan Tahun Baru Cina yang disambut mengikut kalendar Lunar. Secara tradisinya, Tahun Baru Cina ini disambut dengan membersih dan menghias rumah, berkumpul sekeluarga untuk makan bersama, pemberian hadiah sehinggalah hari ke-15 iaitu hari terakhir sambutannya dengan mengadakan Pesta Tanglung. Keunikan budaya kaum Cina ini mestilah dihormati dan dipertahankan. Ia adalah warisan yang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri.
Adalah menjadi satu keperluan untuk semua pihak mengenali ciri-ciri khusus masyarakat ini bagi memastikan kita semua dapat hidup secara aman dan saling bekerjasama dalam banyak aspek kehidupan.
Wanita IKRAM berharap aktiviti-aktiviti yang diadakan sempena sambutan Tahun Baru Cina ini akan mengukuhkan lagi persaudaraan sesama manusia khususnya dalam keluarga di samping mengingatkan kita akan kepentingan menghargai perbezaan.
Sebagai perayaan terpenting masyarakat Cina, Tahun Baru Cina sangat signifikan sebagai satu titik permulaan dalam kehidupan masyarakat Cina. Maka tentunya sambutan tahun ini wajar disematkan bersama satu semangat baru untuk membentuk Malaysia sebagai sebuah Negara Rahmah berbilang kaum yang adil dan saksama.
Wanita IKRAM merasa beruntung dengan keharmonian yang wujud di antara kaum yang telah dipupuk sekian lama di negara ini. Inilah semangat perpaduan dan hormat menghormati yang perlu Rakyat Malaysia pertahankan.
Hakikatnya, sambutan perayaan kaum-kaum terbesar di Malaysia menghasilkan elemen silang budaya, yang boleh diamalkan dalam masyarakat Melayu selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Contohnya, memberi buah tangan berupa buah oren dan angpau berupa sampul merah berisi duit semasa Tahun Baharu Cina.
Dalam Menuju Negara Rahmah, tentunya Rakyat Malaysia inginkan Malaysia yang dicintai ini senantiasa makmur, bebas daripada rasuah dan rakyatnya hidup dalam kerukunan serta harmoni. Perpaduan perlu dijalin demi kemaslahatan negara.
Maka inilah saat dan ketikanya untuk semua,bukan sahaja masyarakat Cina, tetapi segenap lapisan rakyat Malaysia bersama-sama membulatkan tekad menjana perubahan untuk Malaysia.
Xin Nian Kuai Le (新年快乐)
Gong Xi Fa Chai (恭喜发财)

Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita IKRAM Malaysia

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY