PERUTUSAN TAHUN BARU 2017

0
150

PERUTUSAN TAHUN BARU 2017
Wanita IKRAM Malaysia
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Bersama Kekalkan Keharmonian dan Perpaduan

1 Januari 2017

Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana masih diberi peluang melangkah ke tahun baru dengan nikmat iman dan Islam. Tahun masihi 2016, baharu saja melabuhkan tirainya dengan pelbagai episod suka duka yang dilalui negara, mahupun ummah amnya.

Tahun baru kali ini disambut suram dengan kejatuhan Aleppo, Syria ke tangan musuh Allah. Rakyat Syria yang sejumlah besarnya muslim, semakin diancam keselamatan hidup mereka. Bedilan bom yang menjadi halwa telinga saban hari seolah-olah merenggut keamanan kanak-kanak untuk meraih harapan masa depan.

Tahun 2016 juga menyaksikan saudara Rohingya kita yang terus dizalimi dan dinafikan segala hak asas untuk hidup di tanahair sendiri. Ummah terus bergelut dengan pelbagai cabaran dan musibah akibat perbuatan tangan-tangan manusia sendiri.

Di dalam negara pula rakyat terus resah dengan kejatuhan ringgit yang mendadak dan ramai yang berhadapan dengan risiko kehilangan pekerjaan akibat daripada ketidak tentuan perkembangan ekonomi negara.

Malahan, melangkah ke tahun 2017, ramai yang bertanya adakah nasib rakyat akan terbela, ataupun kos kehidupan akan semakin menghimpit keluarga?

Diambang tahun baru ini, Wanita IKRAM mengajak sekalian rakyat Malaysia agar bermuhasabah dengan setiap azam yang telah ditetapkan pada awal 2016 yang lalu. Sejauh mana diri telah melaksanakan tugas hakiki kita sebagai abid dengan memberi ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Mari menilai kembali, adakah kita telah memainkan peranan sebagai khalifah yang memakmurkan bumi Allah, walaupun hanya dengan sekecil-kecil peranan seperti menjadi rakyat yang prihatin terhadap golongan yang kurang bernasib baik, ataupun menjaga keharmonian alam sekitar.

Seharusnya setiap peristiwa yang berlaku sepanjang tahun 2016, dijadikan iktibar dan pengajaran untuk kita meneruskan perjuangan di tahun 2017 ini.

Dengan kehadiran tahun baru ini, Wanita IKRAM Malaysia menyeru rakyat Malaysia, khususnya umat Islam agar :

1. Kembali kepada keaslian diri sebagai muslim. Berusaha meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Menjaga amalan fardhu dan melazimkan diri dengan amalan-amalan sunat. Bersama mengajak ahli keluarga ke arah cara hidup yang dituntut syariat.

2. Menjadi rakyat yang cakna akan isu semasa yang melanda ummah di dalam dan luar negara. Menolak segala salah guna kuasa oleh pemimpin dan ketirisan dalam pentadbiran, berganding bahu dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih telus, sejahtera dan bersatu padu.

3. Berusaha bersungguh-sungguh mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum dengan menjaga tutur bicara, tingkahlaku serta berusaha mengelakkan provokasi terhadap isu-isu yang boleh merosakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Semoga lembaran baru 2017 memberi sinar harapan kepada semua dalam merealisasikan impian Malaysia sebagai sebuah Negara Rahmah, seterusnya mengembalikan kemanusiaan dalam kehidupan bermasyarakat.

Selamat Tahun Baru 2017.

Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita IKRAM Malaysia

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY