Pengalaman Menyambut Tahun Baru Cina

0
927

Pengalaman Menyambut Tahun Baru Cina

Mengimbau kembali  empat puluh tahun yang lalu , aku masih ingat bagaimana nenek  bertungkus lumus menyiapkan kuih bakul untuk  jiran sekampung yang  juga seorang tauke kedai runcit di kampungku. Setiap tahun, seminggu sebelum sambutan perayaan ini aku akan ke pondok nenek untuk membantunya mengeboh (mengisar) beras pulut bagi membuat bancuhan kuih bakul. Tergiang-giang di telingaku apabila nenek memanggil dan menghulurkan duit sepuluh sen setiap kali aku membantu untuk membancuh, mengacau kuih bakul serta mengukusnya hingga masak.

Keesokannya aku akan menolong nenek menghantar ke kedai tauke Cha Kong (nama glamor yang kami panggil). Ternyata tauke sangat menghormati jiran sekampung kerana semua masakan yang dihidangkan untuk tetamu Islam dipastikan ditempah atau di buat oleh orang Islam.

Kadangkala aku berebut dengan abangku untuk pergi ke kedai menghantar kuih bakul kerana setiap kali kuih di hantar kami akan mendapat habuan Ang Pau daripada tauke. Cha Kong memang baik orangnya. Dia tahu kami anak yatim yang telah kehilangan ayah sedangkan emak hanya surirumah. Emak terpaksa menyara sebelas adik beradik dengan menjual kuih di kampong. Sembilan daripada sebelas adik-beradik masih bersekolah semasa ayah pergi meninggalkan kami.

Tauke Cha Kong tidak lupa juga mengajak kami beraya di kedainya bila hari Raya Cina  (dahulu Tahun Baru Cina disebut Raya Cina). Bukan itu sahaja malah pada hari Raya Puasa beliau akan menghantar sekarton air F&N untuk keluarga kami.

Pengalaman ini tidak lagi dirasai oleh anak-anak generasi millenium. Suasana dikampung pada masa dahulu sangat memberikan kesan terhadap pergaulan dalam masyarakat berbilang kaum. Silang budaya tidak begitu asing dengan kita. Semasa di bangku sekolah pada tahun 70-an, murid-murid di tanamkan dengan nilai murni dan saling menghormati antara satu sama lain. Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan menyebabkan sekolah Kebangsaan menjadi pilihan kepada semua kaum.

Kad ucapan kepada rakan, limau mandarin sebagai buah tangan untuk guru telah menjadi rutin kepada murid dan komuniti setempat. Segala-galanya telah berubah pada zaman sekarang. Budaya berkawan dengan bangsa asing tidak diterjemahkan dalam buku teks apatah lagi dalam kehidupan.

Maka polarisasi kaum makin menampakkan jurang yang sangat besar. Jika adapun hubungan silang budaya adalah berdasarkan kepada kepentingan. Misalnya di sekolah setiap kali perayaan Tahun Baru Cina, pembekal barangan sekolah akan menghantar sekotak buah limau Mandarin atau  hamper kepada Kelab Guru atau ke pihak pengurusan di pejabat.

Inisiatif pengerusi Kelab Guru diharapkan untuk mengadakan jamuan Tahun Baru Cina di peringkat sekolah sebagai tanda meraikan rakan guru dan pelajar berbangsa Cina. Walaubagaimanapun budaya ini juga semakin terhakis bilamana komuniti guru berbangsa Cina semakin berkurang di sekolah terutama di luar bandar.

Perkongsian dan pemuafakatan yang dijalinkan bersama pertubuhan NGO seperti Negeri Sembilan Chinese Assembly Hall (NSCAH) oleh pertubuhan Ikram Negeri Sembilan telah membuka satu dimensi baru dan persepsi positif kearah Malaysia sebagai  Negara Rahmah.

Bermula dengan lawatan penanda arasan ke Sekolah Rendah Islam As Syaidiyyah, Konvoi rumah ibadah Negeri Sembilan, Forum Harmoni dan Harvest Festival telah membuka jalan dan ruang untuk komunikasi dan hubungan kolaboratif antara kaum. Hubungan yang baik ini telah sedikit sebanyak membuka ruang dan menangkis tanggapan negatif terhadap Islam. Sejak perkenalan ini , aku berpeluang menghadiri beberapa kali majlis Perayaan Tahun Baru Cina.

Teratai Restoren Seafood yang di kendalikan oleh revert Chinese Muslim menyaksikan buat pertama kalinya aku menjamah YeeSang (Prosperity Toss) bersama rakan berbangsa Cina. Peluang ini juga telah aku gunakan untuk mengajak seorang rakan guru Cina dari Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar iaitu Pn Lee Soh Hion bersama keluarga besarnya (Ibu, nenek dan anak-anaknya) untuk bersama menikmati juadah Tahun Baru Cina yang di sediakan oleh Pertubuhan Ikram Negeri Sembilan untuk meraikan rakan Cina dan revert Chinese Muslim.

Kehadiran rakan berbilang kaum telah mewujudkan budaya perpaduan seterusnya membuahkan hasil dengan tertubuhnya Gerakan Harmoni Negeri Sembilan. Usaha ini memberikan kesan yang positif kepada landskap politik Negeri Sembilan. Aku juga  tidak melepaskan peluang bersama isteri kepada Mr. Lau Chee Boon iaitu Pengerusi NSCAH semasa perayaan Tahun Baru Cina yang di buat di Temple pada tahun 2014. Kami di hidangkan dengan buah limau dan kuih muih yang di tempah khas daripada pengusaha kuih muih Melayu.

Sikap saling hormat dan menghormati budaya antara kaum ini mesti di terapkan dalam kalangan generasi baru yang sedia kekok (tidak biasa) bila bergaul dengan kaum lain atau bangsa asing. Sekali lagi pada tahun 2015 aku mewakili Wanita Ikram Negeri Sembilan dijemput untuk bersama kepimpinan Ikram Negeri ke Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan City Kingdom, Taman AST Seremban. Majlis ini telah di rasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan. Dalam ucapan perasmiannya beliau telah mengumumkan sejumlah besar Dana Pendidikan kepada SJKC Chan Hwa Port Dickson.

Jamuan yang di hidangkan sangat ringkas, iaitu air, kuih, mee hoon dan buah limau. Menurut pengerusi NSCAH  Mr. Lau Chee Boon, dalam era kemerosotan ekonomi, kita tidak perlu menghabiskan duit untuk makanan yang mewah dan tidak digalakkan membazir. Majlis juga turut meraikan warga emas yang di jemput khas membuat persembahan dan memberi ucapan. Keseronokan ini akan ku nantikan lagi pada 30 Januari ini pada Pertemuan Mesra Tahun Baru Cina 2017 bersamaan hari Isnin. Seakan lama sangat tidak bertemu kerana aku terlepas peluang bersama mereka pada tahun 2016 kerana menunaikan umrah sekaligus menyambut cucu di Madinah.

Begitulah seadanya perkongsian daripadaku. Semuga setiap pertemuan akan membuka ruang dan peluang untuk menyantuni masyarakat belum Islam. Semoga Allah memberikan  taufik dan hidayah kepada kita dan mereka yang mencari redha Allah.

MINAH AHMAD
Ketua Wanita IKRAM Negeri Sembilan

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY