PEMUDA, GLAMOUR DAN VIRAL

0
281

PEMUDA, GLAMOUR DAN VIRAL.

‘‘Di setiap umat ada rahsia kebangkitannya, di setiap kebangkitan mereka ada rahsia kekuatannya, dan di setiap ideologi mereka ada para pengusung panjinya.

Kata-kata ini dirakam daripada seorang tokoh yang hebat. Tokoh yang dikenali dan dikagumi. Tokoh yang pemikirannya bagaikan seorang syeikh dan ulama’, semangatnya membara bagaikan seorang pemuda. As Syahid Imam Hassan Al Banna. Dalam setiap hujjah dan pandangan beliau, pasti mengenengahkan ciri-ciri pemuda.

Dalam marcapada, bagaimanakah nilai seorang pemuda? Realitinya, mereka gah melopori generasi abad ini, namun mampukah mereka menjadi pewaris untuk generasi mendatang?

Menurut William Strauss dan Neil Howe dalam teori generasi, ada lima generasi yang lahir setelah perang dunia kedua dan berhubungan dengan masa kini.

  1. Baby Boomer (lahir tahun 1946- 1964)
  2. Generasi X (lahir tahun 1965 – 1980)
  3. Generasi Y (lahir tahun 1981 – 1994)
  4. Generasi Z (lahir tahun 1995 – 2010)
  5. Generasi Alpha (lahir tahun 2011 – 2025)

Artikel ini bukanlah untuk menghuraikan setiap baik-buruk generasi, tetapi kembali menjadi fokus tentang pemuda abad ini. Kementerian Belia dan Sukan menetapkan had umur belia bermula daripada 15 tahun hingga 30 tahun pada tahun 2012 berbanding sebelumnya bermula pada usia 15 tahun sehingga 40 tahun. Penetapan usia ini dilaksanakan bagi menyesuaikan had usia belia di negara ini agar setanding dengan usia belia yang digunakan masyarakat antarabangsa. Jadi, mereka adalah dalam kalangan pertengahan generasi Y dan Z.

Saidina Umar menukilkan bahawa, jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada pemuda hari ini. Pemuda seharusnya disiapkan untuk memimpin Negara ke arah yang lebih baik. Bukan hanya fokus kepada pembinaan peribadi untuk membangunkan Negara, tetapi perlu terlebih dahulu dilihat kepada pembinaan individu itu sendiri. Remaja yang bijak sedar akan kepentingannya untuk membangun potensi diri, menggilap bakat dan kemampuan yang ada untuk masa depan yang lebih cerah. Mereka sibuk mempersiapkan diri dengan ilmu kewangan contohnya, ilmu pengurusan, kemahiran-kemahiran yang bermanfaat untuk digunakan pada masa akan datang.

Lain pula jadinya pada masyarakat umum pemuda kita pada hari ini. Mereka sibuk mengejar glamour dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah malah hanya membuang masa dan tenaga. Remaja hipster, raver, remaja panjat bangunan tinggi, budak-budak wichet, seks bawah umur, penyalahgunaan dadah dan alkohol adalah contoh-contoh gejala yang mewarnai kehidupan remaja kita. Tidak pasti apakah tujuan sebenar mereka melakukan semua aktiviti itu, tetapi yang pastinya aktiviti ini memberikan mereka kepuasan atau mengisi kelapangan masa yang mereka ada.

Perlu diingatkan kembali bahawa setiap amal itu bermula dengan niat. Untuk kamu apa yang kamu niatkan. Jika semua aktiviti diniatkan untuk mencapai mardhatillah iaitu keredhaan Allah, seperti inikah bentuk aktiviti yang akan kita lakukan? Kerana itu peringatan ini bermanfaat bagi manusia. Manusia itu perlu diingatkan terutamanya para remaja yang membesar dengan keterujaan dan penuh rasa ingin tahu untuk meneroka uniknya kehidupan dunia.

Jadi apa peranan kita yang tahu dan sedar akan kelemahan dan kepincangan masyarakat remaja kita sekarang?

Mulalah dengan diri sendiri, perlulah kita menitik beratkan kepentingan ilmu pengetahuan supaya ia menjadi panduan kepada hidup yang lebih harmoni. Berpeganglah kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengannya kita tidak akan terpesong. Sentiasa bergaul dengan orang-orang yang positif supaya kita sentiasa mahu menambahbaik kehidupan seharian kita. Jangan memberi alasan, kerana alasan itu melemahkan. Jika ingin glamour, cukupkah mencarinya hanya pada pandangan penduduk bumi? Tidak mahukah glamour dalam pandangan penduduk langit? Fikir-fikirkan.

Tidak terhenti di sini. Buat generasi yang ingin menjadikan kami, pemuda ini sebagai pewaris dan penyambung ketamadunan anda, didiklah kami. Mendidik dengan penuh hikmah. Usah samakan kami dengan zamanmu. Generasi kami lain pula cabarannya. Teruslah memberi bimbingan selagi usia masih berbaki. Sampaikan amanat, cita-cita dan azam kepada kami agar generasi mendatang akan terus aman menjaga bumi tuhan selagi ia masih bertahan.

 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY