“Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah”

0
650
KENYATAAN MEDIA
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
Sempena Sambutan Maulidur Rasul 2016
Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah
12 Rabiul Awal dalam kalendar Hijri disambut sebagai hari kelahiran utusan Allah yang terakhir, Nabi Muhammad SAW. Kehadiran tarikh ini saban tahun pastinya menggamit kerinduan kita kepada baginda.
Tiadalah makna sambutan Maulidur Rasul jika yang diukur ialah meriahnya perarakan, mahupun merdunya marhaban. Akan tetapi, yang lebih aula untuk kita muhasabahkan ialah sejauh mana kita benar-benar mengimani hakikat tauhid yang dibawa baginda, dan sejauh mana kesungguhan kita mengamalkan sunnahnya.
Mutakhir ini kita menyedari realiti masyarakat dan negara yang semakin lelah dan sakit dengan pelbagai masalah yang menimpa. Budaya samseng, penjualan bayi, penyakit pornografi yang semakin parah, ketirisan wang rakyat, amalan rasuah, pergeseran dan perselisihan pendapat antara kaum, hak rakyat yang tidak terbela, ketidakstabilan ekonomi, dan lain-lain. Kesemua perkara ini berkait rapat dengan kepincangan kepimpinan negara dalam memikul amanah melaksanakan urus tadbir yang baik.
Bagi merealisasikan tema Sambutan Maulidul Rasul 2016, Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah, Wanita IKRAM menyeru kepada kaum wanita khususnya, dan rakyat Malaysia serta pihak kerajaaan supaya:
1. Menelusuri sirah Rasulullah, yang menyaksikan kehebatan baginda mendamaikan kaum Aus dan Khazraj yang telah berpecah sekian lama, mempamerkan kebijaksanaan nabi memimpin negara Madinah dengan manhaj nubuwah yang dibawanya, seterusnya menyatukan kaum muslimin dan kafirin yang hidup di bawah kepimpinan Ar Rasul sebagai ikutan dalam membentuk sebuah masyarakat yang rahmah.
 2. Menjadikan Rasulullah sebagai figura yang seharusnya kita teladani keperibadiannya. Gelaran “Al-Quran bergerak” yang dinisbahkan pada baginda membuktikan keindahan akhlak dan diri baginda sebagai insan dan teladan terbaik untuk diikuti.
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” (Al-Anbiya :107)
3. Bersama mendidik diri dengan akhlak Islami dan menghidupkan keluarga yang mawadah bertunjangkan ajaran al-Quran.
4. Memanifestasikan cinta kita terhadap Rasulullah dengan mengamalkan sunnahnya yang terbesar iaitu dakwah kepada Allah dengan menjadi penyambung kepada perjuangan dakwah baginda memakmurkan seisi bumi dengan hidayah dan nur Islam.
Rakyat Malaysia hendaklah sentiasa berusaha gigih merealisasikan tema Maulidur Rasul dalam diri masing-masing demi mencapai matlamat pembentukan Malaysia menjadi sebuah Negara rahmah.
Selamat menyambut Maulidur Rasul 1438H.
Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
12 Disember 2016/ 12 Rabiul Awal 1438H

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY