Kutuk Tindakan Seksis di Parlimen

0
186
Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

Kutuk Tindakan Seksis YB Dato’ Sri Tajuddin Bin Abdul Rahman, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani di Parlimen

 22 November 2016
Wanita IKRAM Malaysia menyatakan rasa kesal atas kenyataan seksis wakil rakyat yang telah berlaku di Parlimen Malaysia pada 21 November 2016; apabila YB Dato’ Sri Tajuddin Bin Abdul Rahman, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani memperolok-olokkan nama salah seorang daripada 222 Wakil Rakyat.
Sungguh gelaran yang diberikan oleh wakil rakyat ini adalah tidak berakhlak, dan ini bukanlah melambangkan hati budi seorang Melayu yang beragama Islam, apatah lagi ia ditujukan kepada wanita. Kenyataan ini sangat menyinggung peribadi Ahli Parlimen Seputeh; YB Teresa Kok dan kaum wanita seluruh negara. Ianya juga merupakan unsur penghinaan kepada seluruh kaum wanita di negara ini. Tindakan sebegini juga melambangkan betapa rendahnya moral dan akhlak seorang Wakil Rakyat apatah lagi seorang Timbalan Menteri. Amat malang sekali negara ini memiliki individu sebegini sebagai pemimpin negara.
Maksud Ayat-Ayat Allah dalam Surah Al Hujurat ayat 11;
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) barangkali puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) barangkali puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka…”
Wanita IKRAM yang memperjuangkan Kempen Hentikan Keganasan terhadap Wanita (Stop Violence Against Women) (VAW) menyeru kepada sekalian rakyat Malaysia, kaum wanita khususnya untuk bangkit dan mengutuk tindakan Timbalan Menteri yang tidak berakhlak ini. Sungguh dia telah memalukan agama yang dipercayainya dan memalukan orang Melayu serta rakyat Malaysia.
 Kesal dengan apa yang berlaku, Wanita IKRAM menuntut agar;
1. Datuk Sri Tajudin memohon maaf khususnya kepada YB Teresa dan amnya kepada semua kaum wanita
2. Semua Rakyat Malaysia menolak wakil rakyat dan pemimpin yang tidak berakhlak serta menghina wanita seperti ini melalui kuasa undi masing-masing.
Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita IKRAM Malaysia

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY