Kanak-Kanak Terpelihara, Negara Sejahtera

0
216

kanak2

Kenyataan Media Wanita IKRAM Malaysia
Sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2016
“Kanak-Kanak Terpelihara, Negara Sejahtera”
26 November 2016
Anak adalah anugerah paling berharga yang diamanahkan oleh Allah SWT kepada para ibu bapa. Ibarat kain putih yang bersih, ibu bapa diberi tanggungjawab untuk mencorak kehidupan anak menjadi seorang manusia yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Oleh itu anak-anak perlu dididik dan dipelihara sebaik mungkin bagi menjadikan mereka seperti permata yang sentiasa bersinar.
Selaras dengan usaha bagi meningkatkan kesedaran bahawa masyarakat berperanan dalam pembangunan dan pembelaan kanak-kanak, maka Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia dengan kerjasama Wanita Ikram Negeri Kedah turut menjayakan Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan pada 26hb November 2016 di Sungai Petani, Kedah. Sambutan ini bertujuan untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada kanak-kanak dan mencetuskan kesedaran bahawa memberi perlindungan, kebajikan dan kesejahteraan demi masa depan kanak-kanak di Malaysia adalah tanggungjawab bersama.
Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, berbagai inisiatif dalam usaha untuk memastikan pembangunan dan perkembangan kanak-kanak selaras dengan kehendak fitrah kanak-kanak. Kaedah pendidikan dan proses mendewasakan kanak-kanak menjadi semakin kompleks dan sentiasa berdepan dengan berbagai cabaran.
Mutakhir ini kita seringkali digemparkan dengan berita tentang kes kanak-kanak hilang atau diculik , salah laku dan masalah disiplin di sekolah, pengaruh yang kurang sihat daripada alam sekeliling , penganiayaan , pengabaian , keganasan dan penderaaan kanak-kanak, menjadi mangsa kepada jenayah siber, pornografi dan pedofilia serta berbagai isu berkaitan dengan kanak-kanak. Maka, hal ehwal pembangunan dan pembelaan serta perlindungan kanak-kanak ini harus dititik-beratkan dan menjadi agenda penting negara.
Sehubungan dengan itu, Wanita IKRAM menggesa agar;
1. Para Ibu bapa berusaha sebaik mungkin memastikan kanak-kanak menerima pendidikan secara holistik daripada segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, sahsiah dan rohani bagi melahirkan generasi yang dinamik, progresif, aktif, berdisiplin dan berinovasi.Tingkah laku ibubapa juga seharusnya menjadi qudwah dan ikutan.
2. Guru-guru terus berusaha dan berikhtiar meningkatkan lagi dedikasi masing-masing kerana para guru merupakan pelindung kanak-kanak daripada gejala-gejala yang merosakkan, kejahilan dan kepalsuan.
3. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta sentiasa bekerjasama bagi memperhebatkan perlaksanaan program pendidikan , kesedaran dan advokasi kepada kanak-kanak.
4. Anggota masyarakat juga perlu sentiasa berusaha untuk melibatkan diri secara aktif dan kreatif dalam setiap usaha pembangunan dan pembelaan kanak-kanak kerana perubahan cara hidup yang dinamik sudah tentu memerlukan pendekatan baru yang kontemporari.
Justeru, sebagai sebuah masyarakat penyayang, marilah kita bersama-sama mendokong kewajipan mempertahankan hak dan menegakkan keadilan untuk kanak-kanak. Mereka perlu diiktiraf sebagai individu yang mempunyai hak untuk hidup selamat dan gembira, disayangi, dilindungi dan terpelihara. Mereka adalah pelapis dan pewaris kita yang akan merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara rahmah dan sejahtera.
“Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu..” (At Tahrim:6)
Haliza Abdul Malik
Pengerusi Biro Pembangunan Dan Pembelaan Kanak-kanak,
Wanita IKRAM Malaysia.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY