Hormati dan Martabatkan Wanita dalam Masyarakat

0
160

Kenyataan Media

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

Hormati dan Martabatkan Wanita dalam Masyarakat

25 Disember 2016/ 25 Rabiul Awal 1438

Wanita IKRAM sebagai organisasi yang memperjuangkan hak dan martabat wanita
berasa bimbang terhadap perkembangan negatif tindakan beberapa tokoh masyarakat kebelakangan ini yang sewenang-wenang menjatuhkan maruah wanita dalam ucapan umum serta mesej dalam media sosial. Baru-baru ini, kita kecewa dengan sindiran Dato Jamal Yunos terhadap Dato Siti Norhaliza dengan kata-kata bersifat seksis, lucah serta menghina bukan sahaja kaum wanita tetapi juga kaum lelaki.

Kata-kata yang dikeluarkan Dato Jamal itu juga seolah-olah mencabar kuasa Allah swt kerana anugerah anak merupakan rezeki daripada Allah Subhanahu Wa Taala.

Tindakan menghina seorang wanita dengan kata-kata seksis tentu sekali bukan dari akhlak seorang muslim dan bukan juga dari budaya Masyarakat Melayu yang mempunyai nilai-nilai adab yang tinggi.

Sebagai ketua keluarga dan pemimpin masyarakat sebaiknya Dato Jamal menunjukkan contoh yang terbaik untuk diteladani semua. Bukankah beliau juga lahir dari rahim ibunya , seorang wanita.

Wanita IKRAM percaya rakyat Malaysia lelaki dan wanita dari pelbagai kaum di negara ini menolak pemimpin yang rendah akhlak dan tidak beradab seperti ini, tidak kira dari parti mana sekali pun.

Dengan itu Wanita IKRAM menuntut agar budaya menjatuhkan maruah dan martabat wanita diberhentikan dan dibendung supaya tidak menular dalam masyarakat. Yang terlanjur disarankan agar membuat permohonan maaf secara terbuka untuk pengislahan diri.

Marilah kita ikuti contoh terbaik kita, Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam yang mengajarkan manusia menghormati dan memuliakan wanita.

Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita IKRAM Malaysia

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY