Perutusan Wanita IKRAM Malaysia || Hari Raya Aidiladha 1437H

0
404
Perutusan Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
Sempena Hari Raya Aidil Adha 2016/1437H
Ibadah Korban Lambang “Ketaqwaan Contoh” Sebuah Keluarga.
11 September 2016 bersamaan 9 Zulhijjah 1437H.
Tahun ini, Hari Raya Aidil Adha; 10 Zulhijjah 1437 Hijrah bersamaan 12 September 2016. Ibadah Korban atau udhiyyah dalam Bahasa Arabnya, bermaksud menyembelih haiwan ternakan yang dikategorikan sebagai al-An’am, pada Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan hari-hari Tasyrik(11,12 dan 13 Zulhijjah) bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadah korban ini, telah disyariatkan melalui firman Allah SWT yang bermaksud:
“Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” (Surah al-Kauthar:2)
Ibadah korban hukumnya sunat muakkad iaitu ibadah yang sangat dituntut ke atas orang Islam yang berkemampuan untuk melaksanakannya.
Ibadah ini mempunyai hikmah dan kelebihan yang banyak, di antaranya ialah memperingati peristiwa sejarah tentang keimanan dan ketaatan Nabi Ibrahim A.S., anaknya Nabi Ismail A.S. dan ketaatan contoh seorang wanita mukminah iaitu Hajar isteri Nabi Ibrahim A.S. terhadap perintah Allah’Azza wa Jalla. Boleh juga dikatakan memperingati ketaatan sebuah “keluarga contoh” dalam sejarah Islam.
Bermula dengan ketaatan seorang suami dan seorang bapa, yang diuji “kecintaan/ keimanan” dan ketaatan nya terhadap Pencipta ‘Azza wa Jalla Allah SWT, yang memerintahknnya supaya menghantar kedua-duanya ke suatu tempat gersang berdekatan kota Makkah.
Di daerah itulah, Hajar tabah melaksanakan perintah, mendidik anaknya Ismail dengan aqidah yang mantap, sehingga sanggup  dan redha atas ketaatan meskipun kehidupan dan nyawanya menjadi taruhan; Al-Quran merakamkan peristiwa ini dengan Firman Allah SWT bermaksud;
“….Dia (Ismail) menjawab, ” wahai ayahku ! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepada mu; insyaa Allah engkau akan mendapatiku termasuk dalam kalangan orang yang sabar.” surah As-Saffaat (37) :102.
Bersempena dengan kedatangan Aidil Adha pada tahun ini, Wanita Ikram menyeru seluruh umat Islam khususnya para wanita agar mengambil iktibar daripada keseluruhan kisah hidup Nabi Ibrahim A.S atas kesungguhan dan kejayaan baginda memupuk kepatuhan dan ketaatan mutlak  kepada Allah dalam diri setiap ahli keluarganya.
Wanita Ikram berharap, hari raya korban ini dapat meningkatkan rasa kesyukuran seluruh wanita di Malaysia dan seluruh dunia; untuk mensyukuri nikmat Allah SWT yang tidak terhingga banyaknya itu dan meningkatkan sifat sanggup berkorban apa sahaja demi membentuk sebuah keluarga Rahmah, harmoni dan sejahtera yang menjadi batu asas untuk seterusnya melahirkan masyarakat dan negara rahmah, sesuai dengan sifat dan ajaran Islam.
Marilah kita memupuk azam yang kuat dan tinggi, untuk melakukan proses islah, memperbaiki anggota masyarakat daripada unsur-unsur negatif, gejala keruntuhan akhlak dan moral generasi muda yang kini berada di tahap yang membimbangkan.
Semoga setiap amalan kebaikan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan, bermula dari menjelangnya anak bulan Zulhijjah hingga ke hari raya Adha, dapat benar-benar melahirkan anggota masyarakat rahmah, dengan ketaatan total dan akhlak mulia kepada Pencipta alam semesta yang  disaksikan oleh orang-orang yang beriman dan diterima oleh Allah SWT.
Selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha 1437H,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.
Ketua Wanita,
Pertubuhan IKRAM MALAYSIA.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY