Lindungi Kanak-Kanak: Keselamatan Mereka,Tanggungjawab Kita

0
348
Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
“Lindungi Kanak-kanak: Keselamatan Mereka, Tanggungjawab Kita”
1 September 2016
Untuk kesekian kalinya, pada 11 0gos 2016, rakyat Malaysia dikejutkan lagi dengan  berita kehilangan seorang  anak lelaki berusia  5 tahun yang dikenali sebagai Noor Emila Edrus Norsham di sekitar Jinjang, Selangor hinggakan kejadian ini mengundang keresahan dihati. Dan seminggu  berikutnya, negara kita digemparkan dengan penemuan mayatnya di Kampung Kemensah, Hulu Kelang dalam keadaan yang amat meluluhkan hati.
Wanita IKRAM Malaysia  amat bersedih atas kejadian ini dan merakamkan  ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham  adik Edrus atas pemergian anak syurga ini. Menatap wajah polos anak ini sudah tentu naluri kemanusiaan sesiapa pun sukar untuk mempercayai dan tidak boleh diterima oleh akal yang waras bahawa masih ada manusia yang sanggup melakukan penculikan dan  pembunuhan kejam terhadap insan  yang sepatutnya dilindungi dan dijaga keselamatannya.
Tragedi ngeri yang telah menimpa adik Nurin dan Sharlinie (hingga kini masih tiada khabar berita) sudah cukup meninggalkan kesan dan kegusaran yang mendalam sehingga kita tertanya-tanya ke manakah hilangnya sifat insaniah manusia dewasa ini sehingga anak-anak kecil yang tidak berdosa dijadikan mangsa nafsu serakah, tempat melempiaskan kemarahan dan dendam kesumat?
Sedarlah wahai manusia, insan kerdil ini mendambakan dakapan, pelukan, ciuman, belaian dan kasih sayang. Tubuh kecil dan tulang belulang mereka yang masih rapuh tidak mampu menampung sebarang hentakan dan kekasaran. Perbuatan kasar dan tidak berperikemanusiaan itu adalah perbuatan terkutuk yang dilarang keras oleh agama. Perbuatan ini hanya akan memusnahkan keturunan serta aset penting negara pada masa akan datang.
Anak merupakan amanah daripada Allah yang dianugerahkan kepada setiap ibubapa. Anak adalah generasi pewaris yang mewarnai kehidupan. Mencintai dan menyayangi anak-anak serta berbuat kebaikan kepada mereka adalah suruhan agama sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Cintailah anak-anak kecil dan sayangilah mereka. Jika engkau menjanjikan sesuatu kepada mereka, penuhilah janjimu itu. Kerana mereka itu hanya dapat melihat, bahawa dirimulah yang memberi rizeki kepada mereka.” [HR. Bukhari]
Oleh itu, Wanita IKRAM berpendirian bahawa setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya dan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar:
1. Tragedi pilu dan mendukacitakan yang menimpa Allahyarham adik Edrus mesti dihentikan dan segenap lapisan masyarakat wajib mengambil peranan agar peristiwa seperti ini tidak akan berulang lagi.
2. Gerakerja Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat  perlu diselaraskan dan dijadikan agenda utama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Semua golongan masyarakat perlu digembleng untuk mengangkat isu keselamatan kanak-kanak ini.
3. Seluruh masyarakat mesti dididik dan diberi kesedaran agar melaksanakan  kewajipan mempertahankan hak dan menegakkan keadilan untuk kanak-kanak. Mereka perlu diiktiraf sebagai individu yang mempunyai pemikiran dan hak untuk hidup selamat dan gembira, sebagaimana yang termaktub dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) 1995.
4. Kanak-kanak mesti  dilindungi daripada sebarang bentuk penderaan, eksploitasi, kecuaian, keganasan dan bahaya samada daripada segi rohani, jasmani, emosi dan fizikal. Hak ini perlu diberi perhatian sebaiknya kerana kanak-kanak mudah dipengaruhi. Justeru, mereka memerlukan jagaan dan perlindungan khasnya daripada ahli keluarga.
5. Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016 yang telah diwartakan pada 25 Julai 2016 yang lalu dikuatkuasakan segera. Kita berharap pihak berwajib akan mengenakan tindakan lebih tegas ke atas sebarang bentuk penderaan atau pengabaian dan kekejaman terhadap kanak-kanak.
Wanita IKRAM menyeru seluruh masyarakat agar kembali menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan dalam membina sebuah negara rahmah yang mana setiap warganya terbimbing melalui wahyu Ilahi. Islam telah mengajar dan menerapkan sikap yang baik yang perlu diamalkan oleh setiap umatnya dalam melayan dan memuliakan anak-anak. AI-Quran juga telah menjelaskan tentang azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik kerana anak-anak adalah merupakan amanah Allah.
Puan Hajah Mahayati Ibrahim
Biro Pembangunan dan Pembelaan Kanak-kanak
Wanita IKRAM Malaysia

14138782_1101911679890550_1241748143576772754_o

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY