Kenyataan Media Wanita IKRAM Malaysia || Hari Wanita Kebangsaan 2016

0
537

Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

Sempena Hari Wanita Kebangsaan 2016

‘SEPADU USAHA, TIADA WANITA KETINGGALAN’

25 Ogos 2016

Sempena kehadiran 25 Ogos 2016, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada seluruh wanita di Malaysia. Hari Wanita Kebangsaan ini diraikan sebagai satu pengiktarafan kepada sumbangan wanita kepada pembangunan dan kemajuan negara selama ini.

Tema sambutan Hari Wanita tahun ini adalah “Sepadu Usaha – Tiada Wanita Ketinggalan”. Tema ini selaras dengan komitmen Malaysia untuk terus memperkasakan wanita ke arah kesaksamaan gender. Menurut YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat , tema ini membawa mesej jelas bagi memastikan setiap wanita mencapai potensi yang paling optimum. Kerjasama dan usaha secara bersama semua pihak adalah agenda yang paling utama.

Wanita IKRAM berpendirian bahawa kesaksamaan dan kesataraan gender yang diperjuangkan mestilah tidak bercanggah kepada pegangan agama dan mengambil kira adab budaya masyarakat berkenaan. Disamping itu perjuangan memperkasakan wanita mestilah seiring dengan usaha mendidik kaum lelaki sebagai rakan kongsi yang komited dalam semua usaha bersama dalam membina dunia yang adil lagi selamat.

Bagi merealisasikan tema Hari Wanita 2016, Sepadu Usaha, Tiada Wanita Ketinggalan, Wanita IKRAM menyeru kepada kaum wanita khususnya; dan rakyat Malaysia serta pihak kerajaaan supaya:

1. Memberi tumpuan kepada usaha mendidik wanita dan ahli keluarga merangkumi pendidikan yang holistik dan seimbang bagi membina IQ, EQ dan SQ yang dapat melahirkan wanita berjati diri tinggi; kukuh nilai dalamannya, bebas minda dan cara pemikirannya, mulia akhlaknya serta mampu menyerlahkan keperibadian yang mampu menyumbang ke dalam pembangunan masyarakat dan negara;

2. Pembabitan wanita Malaysia dalam sektor pekerjaan mestilah tidak sampai menjejaskan keupayaan wanita menjalankan fungsi asasnya sebagai ibu dan isteri, yang menjadi tulang belakang keutuhan institusi keluarga.
Pengukuhan institusi keluarga hendaklah menjadi asas yang perlu diambil kira dalam semua pembentukan dasar dalam melibatkan polisi penggunaan tenaga kerja wanita. Ia memerlukan keprihatinan dan timbang rasa sepadu daripada semua pihak, sama ada wanita, suami, majikan serta ahli masyarakat.

3. Wanita juga perlu peka dan prihatin terhadap perkembangan ekonomi dan urus tadbir negara dan terlibat dalam menentukan kepimpinan negara bagi memastikan pembuat keputusan menyuarakan kepentingan kaum wanita dengan adil. Antara usaha paling minima yang boleh dibuat kearah ini adalah dengan mendaftar sebagai pengundi dan melengkapkan diri dengan ilmu juga kefahaman terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita.

Wanita Malaysia, perlu terus gigih membangunkan diri, keluarga, masyarakat dan tanahair bagi membina sebuah negara rahmah sebagaimana yang diinginkan agar Malaysia terus maju dan berdaya saing dalam erti kata sebenarnya di mana nikmat pembangunan itu dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat tanpa ada yang terpinggir.

Semestinya, dengan memastikan Malaysia memenuhi ciri ‘Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghofur’ yang bermaksud negeri yang sentosa, adil dan makmur di bawah lindungan Yang Maha Pengampun, tiada warga, tiada wanita yang akan ketinggalan.

Selamat Hari Wanita Kebangsaan 2016

Datin Paduka Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY