Perutusan Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia | Ramadhan 1437H

0
748
Perutusan Ramadhan Wanita IKRAM Malaysia

1 Ramadhan 1437 H:
6 Jun 2016

Marhaban ya Ramadhan!

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan kasih sayang dan rahmat-Nya, kita masih lagi dipilih dapat bersama Ramadan tahun ini.

Firman Allah SWT bermaksud;
“Hai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang beriman sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.”
(Al-Baqarah, 2: 183)

Firman-Nya; “la‘al lakum tattaqun” bermaksud: “dengannya kamu akan memperolehi darjat ketakwaan kepada Allah SWT”.

Kewajipan puasa sebulan Ramadhan bagaikan sebuah madrasah mencetak umat bertakwa.
Ummah yang menjunjung titah perintah Allah SWT: patuh kepada suruhan dan meninggalkan larangan-Nya.

Bulan tarbiah langsung daripada Allah SWT ini tidak wajar dipersia-siakan. Kesempatan ini mesti dimanfaatkan dengan mujahadah, membersihkan jiwa daripada runtunan hawa nafsu, dari pelbagai penyakit-penyakit sosial dan akhlak mazmumah.

Justeru, Wanita IKRAM Malaysia mendoakan agar:

1. Kita telah bersedia menunaikan ibadah suci ini, dengan jiwa dan azam suci, bermujahadah melawan segala runtunan nafsu dengan sepenuh hati dan perasaan;

2. Tidak mensia-siakan peluang keemasan ini, memanfaatkan detik-detik waktu Ramadhan sepenuhnya dengan mengajak diri, keluarga dan masyarakat untuk mengandakan amal-amal soleh, mununaikan ibadah dengan penuh keikhlasan. Paculah diri dan seluruh ahli keluarga untuk merebut ketakwaan;

3. Sentiasa produktif dan tidak menjadikan puasa sebagai alasan untuk menjadi lemah dan bermalasan. Sejarah menyaksikan kekuatan dan kejayaan gilang gemilang umat Islam sejak zaman-berzaman. Kemenangan umat Islam dalam peperangan Badar (2 Hijrah) berlaku pada bulan barakah ini. Pembukaan Kota Mekah (6 Hijrah), pembukaan Andalus (Sepanyol) oleh Tariq Bin Ziyad (92 Hijrah), tentera Islam mengalahkan tentera Monggol (658 Hijrah) dan banyak lagi;

4. Menyuburkan suasana Ramadhann bersama masyarakat dengan menghidupkan majlis-majlis ilmu, tadarrus Al-Quran di rumah-rumah taman kediaman, surau-surau dan masjid-masjid, berbuka puasa bersama, melakukan infak, sedekah dan turut bersama-sama dalam aktiviti-aktiviti masyarakat;

5. Elakan diri anda, ahli keluarga dan masyarakat sekeliling dari terlibat dalam pembaziran makanan dengan menyediakan juadah berbuka yang berlebih-lebihan. Kaum wanita khususnya boleh mengawal untuk mengelakkan situasi ini dari berlaku; dan

6. Tidak melupakan infaq buat saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Mesir, Rohingya, Sri Lanka dan lain-lainnya. Jangan dilupakan juga kepada golongan anak-anak yatim,ibu-ibu tunggal dan mereka yang kurang bernasib baik.

Wanita IKRAM Malaysia mengajak dan mendoakan seluruh umat Islam khususnya wanita agar sama-sama bulatkan tekad, menguatkan azam dan menyemarakkan semangat
bersungguh-sungguh, untuk penuhi bulan yang penuh keberkatan ini dengan amalan yang mulia.

Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kita dan diizinkan Allah untuk meraih anugerah takwa seperti yang dijanjikan.

Ramadhan Mubarak.

Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY