Perutusan Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia | Hari Kanak-Kanak Antarabangsa 2016

0
1939

Kenyataan Media
Wanita IKRAM Malaysia
Sempena Hari Kanak-Kanak Antarabangsa 2016
1 JUN 2016

“BERSAMA MEMELIHARA KESELAMATAN DIRI KANAK-KANAK”

Sempena Hari Kanak-kanak Antarabangsa yang disambut setiap tahun pada 1 Jun, Wanita IKRAM ingin mengajak semua untuk memperingati dan menghargai kanak-kanak yang merupakan generasi harapan negara. Hari Kanak-kanak Antarabangsa bukan merupakan sekadar hari untuk meraikan kanak-kanak semata-mata, tetapi hari untuk mengingatkan dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia yang dewasa terhadap tanggungjawab mereka terhadap kanak-kanak.

Amat menyedihkan sekali, apabila didapati penganiayaan terhadap kanak-kanak masih berlaku di seluruh dunia. Kanak-kanak merupakan golongan yang sangat terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman dan penganiayaan termasuk ancaman seksual, fizikal dan psikologi. Ramai yang masih hidup menderita terhimpit di dalam pelbagai konflik yang diakibatkan oleh orang dewasa. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak dapat menikmati kehidupan yang sempurna, makanan yang seimbang, pendidikan yang teratur, kemudahan pembelajaran yang terbaik dan sebagainya yang sudah pasti meninggalkan kesan yang sangat mendalam di dalam jiwa mereka seperti trauma fizikal dan kesan psikologi.

Di dalam negara juga, sering kali kita mendengar berita kanak-kanak hilang, diculik, didera, diperkosa malahan ke tahap ada yang dibunuh. Kes pedofilia yang melibatkan kanak-kanak, tidak terkecuali dari berlaku di dalam negara ini, malahan telah mendapat liputan berita di peringkat antarabangsa. Begitu juga isu-isu pemerdagangan kanak-kanak dan perkahwinan di awal usia.

Sehubungan dengan itu, sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Antarabangsa 2016, Wanita IKRAM menyarankan perkara-perkara berikut:

1. Semua Ibubapa dan penjaga perlu sentiasa bertanggungjawab, mengambil berat dan memantau pergerakan anak masing-masing dan menekankan aspek keselamatan diri sejak dari kecil lagi.

2. Masyarakat setempat perlu lebih prihatin dan peduli dengan situasi-situasi yang mengancam keselamatan kanak-kanak yang berada di sekitar tempat tinggal mereka. Mereka hendaklah segera melaporkan kepada pihak berkuasa seperti pasukan keselamatan sekiranya berhadapan dengan keadaan yang mencurigakan.

3. Media massa perlu memainkan peranan menyebarkan maklumat yang membina dan bukan merosakkan pembangunan kanak-kanak. Media juga mempunyai peranan yang penting dalam menyampaikan mesej perlindungan keselamatan kepada semua lapisan masyarakat. Pada masa yang sama, unsur-unsur negatif seperti keganasan serta bahan lucah dan seksual perlu di sekat sepenuhnya kerana ianya boleh mempengaruhi minda dan nafsu yang menjadi faktor penyumbang kepada berlakunya jenayah.

5. Pihak kerajaan sebagai pihak berkuasa mengambil tindakan yang lebih tegas dalam membenteras kegiatan-kegiatan tidak sihat yang boleh menjejaskan keselamatan kanak-kanak yang terus berleluasa dalam masyarakat. Rondaan-rondaan pihak polis yang lebih kerap di kawasan-kawasan berisiko tinggi dijangka akan dapat membantu orang ramai dan mengurangkan kes-kes jenayah yang berlaku.

6. Badan-badan bukan kerajaan perlu memperhebatkan usaha-usaha memberi kesedaran dan kemahiran mengenai perlindungan kanak-kanak kepada pelbagai golongan masyarakat melalui pelbagai bentuk program seperti ceramah, kempen kesedaran, bengkel dan latihan-latihan keselamatan.

7. Semua bentuk jenayah berbentuk penganiayaan terhadap kanak-kanak hendaklah dihentikan serta-merta dan pelakunya dibawa ke muka pengadilan dengan hukuman yang berat. Usaha-usaha penjagaan dan perlindungan kepada kanak-kanak perlu dilaksanakan dengan penuh kasih sayang dan rasa tanggungjawab oleh seluruh anggota masyarakat.

Marilah kita sama-sama berusaha membina masa depan yang terbaik untuk kanak-kanak Malaysia dan seluruh dunia. Mereka adalah harapan dan masa depan kita. Semoga segala usaha-usaha ini akan membawa Malaysia menjadi sebuah negara rahmah yang melindungi dan memberikan hak kepada setiap warganya.

Selamat menyambut Hari Kanak-kanak Antarabangsa.

DATIN PADUKA HAJAH CHE ASMAH IBRAHIM
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY