Sofiyyah binti Abdul Muttalib: Ibu Tunggal yang Cekal

0
634

Beliau adalah bonda saudara Rasulullah s.a.w. Ibu tunggal yang sangat cekal, bijak, tegas dan berani. Ayahnya ketua kaum Quraisy yang amat disegani dan ditaati merupakan datuk kepada Rasulullah s.a.w. Ibunya bernama Halah binti Wahab adik beradik kepada Aminah binti Wahab, bonda kepada baginda.

Kali pertama, Sofiyyah berkahwin dengan al-Harith bin Harb adik beradik Abu Sufyan bin Harb, ketua Bani Umayyah. Selepas kematian al-Harith, Sofiyyah berkahwin dengan al-‘Awwam bin Khuwailid adik beradik Khadijah binti Khuwailid r.a.

Suami kedua juga meninggal dunia meninggalkan seorang putera yang masih kecil bernama az-Zubair bin al-‘Awwam.

Sofiyyah mendidik puteranya dengan cara yang agak keras dan tegas agar puteranya menjadi seorang pahlawan yang pintar, gagah dan berani. Mengasah mata panah dan membaiki busur menjadi permainan puteranya sejak kecil. Dia membiasakan puteranya bermain di tempat-tempat yang berbahaya dan menakutkan. Jika dilihat puteranya teragak-agak kerana ketakutan, dia tidak bertolak ansur sedikitpun, malah kadang-kadang beliau memukulnya dengan agak teruk. Apabila bapa saudaranya menegur cara didikannya yang keras itu, Sofiyyah menjawab:

“Sesiapa yang berkata aku marah kepadanya (az-Zubair), maka sesungguhnya dia telah berdusta. Sesungguhnya aku memukulnya supaya dia menjadi orang yang tangkas, mengalahkan tentera musuh dan membawa pulang harta rampasan!”

Sofiyyah dan puteranya antara golongan yang terawal memeluk Islam dan tercatat dalam senarai mujahidin dan mujahidat yang ulung. Meskipun usia beliau telah menjangkau enam puluhan, namun beliau tidak menjadikannya alasan untuk turut serta ke medan jihad bersama Rasulullah s.a.w.

Beliau keluar bersama Rasulullah s.a.w. ke medan perang Uhud. Tugas yang beliau laksanakan adalah menyediakan minuman kepada tentera, menajamkan panah, memperbaiki busur dan lain-lain. Apabila beliau melihat ramai dari kalangan tentera Islam lari tak keruan, sedang tentera musyrikin sudah menghampiri Rasulullah s.a.w. untuk membunuh baginda, dengan pantasnya Sofiyyah mencampakkan bekas air yang ada di tangannya dan melompat seperti seekur ibu singa ketika anak kecilnya diserang. Dia mengambil anak panah daripada salah seorang tentera dan terus mara ke medan sambil berteriak kepada tentera Islam, “Kenapa kamu tidak mempertahankan Rasulullah?” Apabila Rasulullah s.a.w. ternampak Sofiyyah sedang mara, baginda bimbang Sofiyyah akan terserempak dengan jenazah saudaranya Hamzah yang telah syahid dan keadaan jenazahnya yang sangat teruk diperlakukan oleh tentera musyrikin, baginda s.a.w. menyuruh az-Zubair supaya menghalang ibunya dari terus mara. Az-Zubai mendekati ibunya dan berkata: “Rasulullah menyuruh ibu berundur.” Sofiyyah bertanya: “Kenapa aku harus berundur? Aku telah diberitahu bahawa saudaraku diperlakukan dengan teruk sekali. Itu semua dijalan Allah.” Manakala Rasulullah s.a.w. mengetahui pendiriannya, baginda berkata: “Biarkan ibumu meneruskan misinya.”

Ketika melihat keadaan jenazah saudaranya Hamzah r.a. beliau beristighfar sambil berkata:

“Sesungguhnya ini semua demi agama Allah. Sesungguhnya aku redha dengan ketentuan Allah. Demi Allah aku akan bersabar dan mengharap ganjaran daripadaNya insyaAllah.”

Semasa peperangan al-Khandak, Sofiyyah sekali lagi mempamerkan ketangkasan dan keberanian yang mengkagumkan.

Menjadi kebiasaan Rasulullah s.a.w. apabila keluar berperang, baginda akan menempatkan kaum wanita di dalam kubu pertahanan demi mempastikan mereka selamat daripada diserang hendap oleh musuh semasa baginda serta angkatan tentera sibuk berjuang di medan. Ketika peperangan Khandak, baginda menempatkan kaum wanita di dalam kubu Hassan bin Thabit r.a. Kubu yang diwarisi dari ayahnya itu merupakan kubu yang kukuh di Madinah dan paling sukar untuk diceroboh.

Ketika umat Islam sibuk berkawal di sekitar parit untuk mematahkan seraganan kaum Quraisy dan sekutu-sekutu mereka, mereka tidak sempat memberikan perhatian kepada kaum wanita yang berlindung di dalam kubu. Ketika itu Sofiyyah ternampak satu susuk sedang bergerak menghampiri kubu. Fajar baru mula beransur terbit. Justeru, suasana masih gelap. Beliau memberikan tumpuan sepenuhnya untuk mengecam susuk tersebut. Kemudian ternyata susuk itu seorang Yahudi sedang berjalan penuh hati-hati menuju ke kubu. Yahudi tersebut merupakan perisik yang cuba mengintip untuk mendapat kepastian adakah terdapat lelaki yang berkawal di sekitar kubu atau hanya membiarkan kaum wanita dan kanak-kanak di dalamnya tanpa kawalan. Sofiyyah terfikir bahawa Yahudi Bani Quraidzah telah memungkiri janji mereka dengan Rasulullah s.a.w. dan membantu Quraisy memerangi umat Islam. Di kubu ini tidak ada lelaki yang mengawal. Kalau mereka berjaya menembusi kubu ini, semua wanita Islam akan ditawan dan diperhambakan oleh mereka. Ini sudah tentu satu bencana yang tidak mungkin dibiarkan berlaku.

Maka Sofiyyah segera mengemaskan bajunya, membelit kepalanya dengan selendang dan mengambil sebatang kayu. Beliau turun menuju ke pintu kubu lalu membukanya perlahan-lahan sambil memerhatikan pergerakan musuh. Apabila yakin jarak antara dia dengan musuh sudah dekat, beliau terus memukul kepada Yahudi itu dengan kayu yang dibawanya tiga kali berturut-turut sehingga musuh Allah tersungkur ke bumi dan nafasnya terhenti. Sofiyyah mengeluarkan sebilah pisau dan memotong kepada Yahudi yang sudah tidak bernyawa itu. Beliau memanjat kubu sehingga apabila tiba di bahagian paling atas, beliau mencampakkan kepala musuh Allah itu ke bawah. Ia tergolek-golek sampai ke tempat kaum Yahudi yang sedang berkumpul menanti perkhabaran yang dibawa oleh perisik mereka. Apabila melihat kepala yang tiba, mereka yakin bahawa Muhammad tidak membiarkan wanita dan kanak-kanak sendirian di dalam kubu. Bahkan ada lelaki yang mengawal mereka. Dan puak Yahudi yang pengecut itupun beredar pulang ke tempat masing-masing.

Semoga Allah redha kepadamu, Sofiyyah. Engkau teladan muslimah sejati. Mendidik putera seorang diri dan terhasil sebagi wira yang sukar ditandingi.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY