Pesanan kepada Pengantin

0
329

Pesanan seorang ibu kepada puterinya yang akan memasuki gerbang perkahwinan

Diriwayatkan bahawa Amru bin Hajar meminang Ummu Iyas binti Auf. Pada malam perkahwinan, ibu kepada Ummu Iyas, Bintu al-Haris berpesan kepada puteri kesayangannya:

Wahai puteriku, sekiranya tidak memberi nasihat itu suatu adab yang mulia nescaya aku tidak akan menitipkan pesanan ini kepadamu.

Tetapi, ketahuilah bahawa nasihat itu merupakan peringatan kepada orang yang lalai, penolong kepada orang yang bijak pandai.

Dan seandainya seorang perempuan itu tidak perlu berkahwin kerana kedua orang tuanya telah kaya dan kedua orang tuanya sangat berhajat kepadanya nescaya engkaulah perempuan yang paling tidak berhajat kepada perkahwinan. Tetapi hakikatnya, wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk wanita.

Wahai puteriku, sesungguhnya engkau akan berpisah dari persekitaran tempat engkau dilahirkan, engkau akan tinggalkan rumah tempat engkau membesar, engkau akan memasuki rumah yang engkau tidak ketahui keadaannya, engkau akan mendampingi orang yang tidak pernah engkau kenali sebelumnya. Dan dia akan menjadi raja dan berkuasa ke atasmu. Maka jadikanlah dirimu sebagai hamba kepadanya, nescaya dia juga akan menjadikan dirinya sebagai hamba kepadamu.

Wahai puteriku, peliharalah untuknya sepuluh perkara nescaya dia akan menjadi bekalan berharga buatmu:

Pertama dan Kedua: Merendah diri kepadanya dan berpada dengan apa yang ada, dengar dan taat apa titah perintahnya.

Ketiga dan Keempat: Ambil berat apa yang dilihat oleh matanya dan apa yang dihidu oleh hidungnya. Jangan biarkan matanya terpandang sesuatu yang tidak elok pada dirimu dan jangan biarkan dia menghidu pada tubuhmu kecuali dalam keadaan yang paling harum dan wangi.

Kelima dan Keenam: Jagalah waktu tidur dan waktu makannya. Sesungguhnya kelaparan menyemarakkan api kemarahan dan kekurangan tidur mencetuskan baran.

Ketujuh dan Kelapan: Jagalah hartanya dengan amanah, peliharalah dan didiklah anak-anaknya. Anak kunci pengurusan harta ialah berjimat cermat dan anak kunci penjagaan anak-anak ialah pengurusan yang bijak.

Kesembilan dan Kesepuluh: Jangan derhaka kepadanya dan jangan dedahkan rahsianya. Sesungguhnya jika engkau derhaka, engkau tanam kebencian di dalam hatinya. Dan jika engkau dedah rahsianya, engkau tidak akan selamat daripada tipudayanya.

Kemudian, tambahan kepada itu semua: Awas, jangan engkau bergembira di hadapannya ketika dia berduka dan jangan berduka di hadapannya ketika dia gembira. Bergembira di kala dia berduka merupakan kecuaian. Berduka  di kala dia gembira, mengeruhkan keadaan.

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY