Perutusan Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia | Hari Pekerja 2016

0
505

PERUTUSAN KETUA WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA

HARI PEKERJA 2016

”HARGAI PEKERJA DENGAN MENJAGA KEBAJIKAN MEREKA ”

1 Mei 2016

Setiap tahun, Hari Pekerja disambut dan diraikan di seluruh dunia bagi memperingati usaha pergerakan kesatuan sekerja yang memperjuangkan dan menuntut supaya tempoh waktu bekerja diseimbangkan dengan hak untuk bersama keluarga dan beristirahat.

Sempena Hari Pekerja 2016 dengan temanya,
, Wanita IKRAM mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menghargai peranan dan sumbangan golongan pekerja yang terdiri daripada lelaki dan wanita, warganegara dan juga bukan warganegara di negara ini. Golongan pekerja telah banyak menyumbang secara terus kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan negara yang dikecapi sehingga ke saat ini. Islam menuntut agar umatnya terlibat melakukan pekerjaan yang baik, terutamanya yang membawa kebaikan kepada masyarakat. Memiliki pekerjaan yang baik dan berusaha keras untuk menyara diri serta keluarga dengan rezeki yang halal adalah dituntut ke atas orang Islam khususnya kepada kaum lelaki. Manakala, keterlibatan wanita dalam bidang pekerjaan pula adalah berdasarkan pilihan mereka dan wanita yang tidak keluar bekerja tidak harus dipandang rendah atau dianggap tidak menyumbang ke arah pembangunan negara. Tambahan pula, wanita hari ini khususnya di Malaysia mempunyai keupayaan yang tinggi untuk terlibat dalam pelbagai bidang pekerjaan di luar rumah lantaran kemahiran yang mereka miliki diperlukan oleh masyarakat.

Tidak dapat dinafikan lagi, peranan dan keterlibatan wanita dalam sektor pekerjaan pada masa kini amat penting bagi melonjakkan perkembangan ekonomi negara. Ini terbukti apabila kadar penyertaan tenaga kerja wanita telah bertambah daripada 46.8 peratus (2010) kepada 54.5 peratus (2015). Dengan peningkatan penglibatan wanita dalam medan kerja, Wanita IKRAM menegaskan perlunya kepada penyediaan dasar dan pembentukan undang-undang serta peraturan sokongan yang bersifat lebih mesra wanita bagi menyokong dan memberi keadilan kepada wanita dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pekerja tanpa mengabaikan tanggungjawab asas dalam membangunkan institusi keluarga.

Selain itu, statistik penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara kini masih lagi tertumpu pada pekerjaan perkhidmatan dan jualan (29%) mendahului perkeranian (17%) dalam kumpulan pekerjaan separuh mahir dan hampir 10% dalam pekerjaan asas yang berkemahiran rendah. Situasi ini juga mampu membuka peluang kepada salah guna kuasa apabila kebajikan pekerja wanita kurang diberi perhatian kerana mereka dinilai berdasarkan jenis pekerjaan mereka.

Dengan itu, Wanita IKRAM menyeru pihak kerajaan, para majikan, komuniti korporat dan ahli masyarakat untuk lebih prihatin kepada keperluan dan cabaran semua pekerja amnya dan pekerja wanita khususnya, dengan mengambil tindakan-tindakan berikut:

1. Menghargai kepentingan dan sumbangan golongan pekerja sebagai penyumbang penting kepada pembangunan negara dan bukan hanya diukur dari sudut pencapaiaan kewangan atau keuntungan semata-mata, tetapi juga dilihat dari sudut yang lebih holistik yakni peranan setiap pekerja dalam membangunkan masyarakat termasuk mendidik generasi akan datang melalui pengukuhan institusi keluarga;

2. Membangunkan kemahiran pekerja di samping meraikan kepentingan pembangunan modal insan yang seimbang dan menjaga kesejahteraan individu, keluarga serta negara demi menjayakan agenda pembangunan ekonomi negara. Ini amat bertepatan dengan saranan Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme, ETP) negara yang dilancarkan pada tahun 2010 yang meletakkan Pembangunan Modal Insan sebagai Inisiatif Reformasi Strategik yang menumpukan kepada transformasi tempat kerja dan transformasi kemahiran pekerja;

3. Mengambil pendekatan yang lebih telus dan rahmah bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan selamat kepada pekerja khususnya wanita agar ia dapat menarik, memupuk dan mengekalkan bakat tenaga kerja dalam negara;

4. Menyediakan pilihan waktu bekerja yang anjal kepada pekerja lelaki dan wanita yang memerlukan bagi menyeimbangkan tanggungjawab mereka sebagai pekerja dan tanggungjawab asas mereka di dalam institusi keluarga. Kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk mengubah Akta Pekerjaan bagi membolehkan perkara ini berlaku dengan baik.

Apabila sifat belas kasihan kepada golongan pekerja dapat direalisasikan, ia akan membantu perjalanan negara dalam membina Malaysia menuju Negara rahmah.

Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

13131402_1020682261346826_6504347378018973646_o

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY